Benarkah Air Hujan Penyebab Sakit Kepala & Demam Selesema, Ini Penjelasan Doktor.

Benarkah Air Hujan Penyebab Sakit Kepala & Demam Selesema, Ini Penjelasan Doktor. | Sekarang Malaysia berada di musim monsun tengkujuh.Tidak hairanlah boleh dikatakan cuaca agak tidak menentu ketika ini termasuk hujan turun secara tiba-tiba.

Malah hari Jabatan Mateorologi meramalkan hujan serta ribut petir akan melanda di kebanyakan negeri dan orang ramai diminta berhati-hati khususnya di kawasan rendah mudah dinaiki air.

Dalam pada itu, bila sebut soal air hujan, ramai yang akan mencari tempat teduh untuk berlindung. Kadang kita mendengar alasan akan sakit kepala atau alami demam selesema kalau terkena air hujan.

Benarkah air hujan penyebab penyakit. Dalam satu perkongsian oleh Dr Latif Saad dari page The Diagnosa, beliau berkongsi mengenai air hujan. Adakah benar terkena air hujan kita akan jatuh sakit?

Kitakan selalu dengar orang tua-tua cakap dimana jika seseorang itu main air hujan, dia boleh terkena demam selesema. Oleh itu, adakah perkara ini benar?

Kajian berkenaan perkara ini telah dibuat di mana telah terbukti keadaan yang sejuk akan menyebabkan jumlah kes demam selesema meningkat dan perkara ini termasuk juga disebabkan pada waktu musim hujan.

Daripada kajian di Malaysia, demam selesema ini selalunya berlaku pada hujung tahun iaitu pada bulan Disember – Januari dan Mei -Julai. Jika keadaan pada ketika itu adalah musim hujan, maka akan lebih ramai orang yang akan mengalami demam selesema.

Bagaimana perkara ini berlaku?

Teori yang boleh diterima pakai bagi menjelaskan masalah ini adalah kerana sistem imun badan pada ketika itu kurang berfungsi disebabkan suhu yang rendah.

Apabila suhu menjadi rendah, badan secara automatiknya akan cuba mengekalkan suhu badannya pada tahap yang normal. Oleh itu, beberapa tindak balas akan berlaku untuk mengekalkan suhu dalam badan dan salah satunya adalah pengecutan saluran darah dibahagian yang terdedah dengan suhu yang sejuk.

Salah satu saluran darah yang akan mengecut adalah pada bahagian hidung. Ini akan menyebabkan hidung menjadi kering dan kurang menghasilkan hingus untuk menapis kuman yang akan masuk melalui lubang hidung.

Disebabkan itu, kuman lebih mudah menjangkiti badan melalui lubang hidung atau paru-paru dan menyebabkan pesakit mengalami demam dan selesema.
Jika di kawasan sejuk seperti Eropah, hujung tahun adalah waktu musim sejuk dan ini akan menyebabkan kes demam selesema meningkat. Bahkan kes jangkitan paru-paru juga akan meningkat pada akhir tahun. Ia mungkin disebabkan hidung tidak mampu menapis kuman yang berbahaya supaya ia tidak masuk terus ke dalam paru-paru.

Hasilnya, kes jangkitan paru-paru juga akan meningkat pada akhir tahun termasuk kes kematian disebabkan perkara ini dan kebanyakan disebabkan virus influenza.

Ada tak punca lain yang menyebabkan selesema setelah main air hujan?

Terdapat satu punca lain yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami selesema sahaja tanpa mengalami demam.

Pesakit selalunya akan cepat mengalami selesema setelah main hujan ataupun berada dalam keadaan sejuk.

Pesakit ini juga akan mengalami simptom yang lain seperti hidung gatal, hidung tersumbat dan selalu bersin.

Jika semua simptom ini berlaku ketika mana pesakit baru lepas main hujan ataupun berada di dalam keadaan sejuk atau awal pagi, pesakit mungkin mengalami satu penyakit iaitu resdung ataupun dalam istilah perubatannya dipanggil sebagai Allergic rhinitis.

Jadi jika seseorang itu mengalami selesema sahaja setelah main hujan, ia bermaksud pesakit tersebut mungkin mengalami resdung berbanding demam selesema biasa. Oleh itu, cara rawatan untuk mereka yang mengalami resdung ini adalah berbeza sedikit daripada mereka yang mengalami demam selesema.

Kesimpulan

Air hujan bukanlah penyebab utama kepada demam selesema tetapi suhu yang sejuk tersebut. Jadi jika anak anda bermain hujan, pastikan dia mandi menggunakan air pada suhu biasa ataupun air suam selepas itu. Ini untuk membuatkan sistem imun pada kawasan hidungnya berfungsi seperti biasa dan boleh mengelakkan demam daripada berlaku.

Bagi mereka yang mengalami Resdung (allergic rhintis) pula, pesakit juga boleh cuba untuk mandi air suam selepas itu. Jika simptom masih ada, pesakit boleh menggunakan ubat anti-histamine seperti loratadine untuk mengurangkan masalah simptom resdung tersebut.

Rujukan:
Sam, I-Ching & Murad, Aizuri & Karunakaran, Rina & Rampal, Sanjay & Chan, Yoke-Fun & Nathan, Anna & Ariffin, Hany. (2010). Clinical features of Malaysian children hospitalized with community-acquired seasonal influenza. International journal of infectious diseases : IJID : official publication of the International Society for Infectious Diseases. 14 Suppl 3. e36-40. 10.1016/j.ijid.2009.10.005. Gambar: Klikdoktor.com/ Kalam Indah.com

Author: admin

Leave a Reply