Ibu Bapa Perlu Lakukan 5 Perkara Ini Supaya Anak Mencontohi Anda. Mudahnya!

Anak merupakan amanah yang harus dijaga dengan baik oleh setiap ibu bapa. Ibu bapa merupakan cermin bagi anak-anak kerana apa yang dilakukan oleh ibu bapa cenderung untuk ditiru oleh anak-anak. Sedari usia mudalah mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni agar mereka membesar menjadi seorang yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.

Kanak-kanak ibarat kain putih, kita sebagai ibu bapalah yang berperanan untuk mencorak peribadi mereka. Oleh itu, ibu bapa harus tunjukkan perilaku yang baik sebagai panduan buat anak-anak. Nak tahu apa yang patut anda lakukan di hadapan anak anda? Jom baca sama-sama.

CIUM DAN PELUK PASANGAN DEPAN ANAK

Mungkin sesetengah ibu bapa jarang untuk mempraktikkan perbuatan ini di depan anak-anak. Apa kata sekali sekala anda cuba cium dan peluk pasangan anda di depan anak-anak. Penting untuk ibu bapa pamerkan sifat penyayang di depan mereka. Ianya dapat membentuk imej mental dan menjadi landasan kepada mereka apabila mereka dewasa kelak. Secara tidak langsung, perbuatan tersebut juga dapat mengajar mereka untuk saling memupuk unsur kasih sayang dan hormat-menghormati.

Namun, harus diingatkan, cium dan peluk pasangan sendiri sahaja ya!

SENTIASA MENOLONG PASANGAN ANDA

Tidak ada salahnya, sekiranya anda ringankan tulang membantu pasangan yang sedang sibuk melakukan kerja rumah seharian. Contohnya, melipat kain, memandikan anak, mengemas ruang tamu dan sebagainya. Walaupun pertolongan anda tidaklah sebesar mana, tetapi amat bermakna pada pasangan anda kerana sedikit sebanyak anda telah meringankan beban kerjanya. Bak kata orang, “It’s the effort that counts”.

Ianya sekaligus dapat mengajar anak-anak bahawa sifat saling bantu membantu adalah penting dalam keharmonian rumah tangga. Secara tidak langsung, anak yang melihat akan merasakan bahawa kerja rumah bukan hanya dilakukan oleh kaum wanita sahaja tetapi adalah tanggungjawab semua. Oleh itu, para bapa, rajin-rajinlah bantu para ibu di rumah ya. Tak hilang macho pun, malah isteri lebih sayang!

SELALU MENGUCAPKAN TERIMA KASIH SEBAGAI PENGHARGAAN

“Terima Kasih Sayang..”. Cuba praktikkan ayat magic ini setiap kali pasangan anda melakukan sesuatu untuk anda. Bukan sahaja dapat menenangkan hati, tetapi dapat menyemarakkan lagi kasih sayang antara anda dan pasangan, seterusnya dapat mendidik anak anda yang melihat untuk menghargai usaha seseorang dan bertimbang rasa terhadap perasaan orang lain.

Anda juga boleh mempraktikkan ucapan ini untuk anak anda sekiranya mereka berjaya melakukan sesuatu. Mesti dia akan merasakan bahawa dirinya dihargai. Jangan lupa cium pipinya sekali!

MEMOHON MAAF SETIAP KALI MELAKUKAN KESALAHAN

Walaupun nampak mudah, tetapi memohon maaf dan mengakui kesilapan sendiri adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan bagi sesetengah individu. Lebih-lebih lagi dalam perhubungan suami isteri. Bak kata P. Ramlee,  “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.

Mengakui kesilapan dan memohon maaf dari pasangan dapat memberi kesan positif kepada anak yang melihat. Mereka akan belajar untuk tidak menjadi ego untuk memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan.

Setiap kali pergaduhan, apa kata anda cium, peluk erat-erat dan mintak maaf kepada pasangan anda di depan anak-anak. Nak lagi sweet, hantarlah bunga kepadanya!

MEMBERI BANTUAN PADA ORANG YANG MEMERLUKAN

Tentu anda mahu jadi role model buat anak anda kan? Anak-anak ibarat span, apa yang mereka lihat itulah yang akan mereka lakukan. Bila ternampak orang buta mahu melintas jalan, pimpin mereka. Bila ada kucing terjatuh di dalam longkang, ajak anak anda bantu.

Secara tidak langsung, mereka akan terbiasa dengan sikap bantu membantu dan menganggap anda sebagai hero mereka. Siapa tak bangga kan!

BELUM TERLAMBAT UNTUK MENJADI ROLE MODEL ANAK ANDA!

Sumber: Sirap Limau

Author: admin

Leave a Reply