“Nampak si Along tu kalau tengah tengok TV, menghadap laptop, atau tengok handphone, asyik nak cabut rambut saja. Nak kata banyak rambut gatal tak juga. Nanti makin lama makin nipis pula rambut dia. Ish…” Tabiat mencabut rambut gatal atau uban adalah perbuatan yang biasa kita lihat. Mungkin kawan kita, saudara-mara, atau kita sendiri melakukannya.
Walaupun nampak remeh, tapi tak ramai tahu bahawa perbuatan ini merupakan tanda gangguan psikologi yang digelar trichotillomania.
Tabiat Suka Cabut Rambut Petanda Gangguan Mental. Semak 7 Perkara Ini
1. Apakah Trichotillomania
Pesakit trichotillomania memiliki keinginan yang kuat untuk mencabut rambut sama ada secara sedar atau tidak. Selain mencabut rambut, pesakit trichotillomania juga mempunyai tabiat mencabut bulu lain pada muka seperti bulu mata, bulu kening atau pada anggota badan lain.
Trichotillomania tergolong dalam kategori impulse disorder menurut sudut psikologi. Gangguan kawalan diri ini membuatkan seseorang rasa ketagih untuk melakukan satu tabiat yang sama walaupun mereka sedar bahawa perbuatannya akan membawa mudarat pada diri sendiri. Antara impulse disorder lain ialah ‘kleptomania’ iaitu ketagihan untuk mencuri dan ‘pyromania’ iaitu ketagihan untuk bermain dengan api.
Walaupun seseorang tiada motif yang jelas untuk melakukan perkara tersebut, mereka menjadi lebih lega selepas melakukannya – malah lebih gembira. Namun setelah beberapa lama, dia rasa bersalahatas perbuatan yang dilakukan.
2. Simptom Trichotillomania
Selain kekerapan mencabut rambut, tanda-tanda lain orang yang mengalami trichotillomania adalah:
- Tetap meneruskan tabiat ini walaupun sudah sedar bahagian tersebut semakin botak.
- Pernah cuba menghentikan tabiat ini beberapa kali.
- Mempunyai kelakuan seperti suka memeriksa rambut dari akar, memintal rambut dan boleh mencapai ke tahap mengunyah bahagian folikel, iaitu lapisan yang terdapat pada akar rambut.
- Tidak berada di bawah sebarang pengaruh ubat-ubatan atau penyakit berkaitan kulit.
3. Punca Trichotillomania
Sehingga ke hari ini punca gangguan ini masih belum dapat dikenalpasti. Namun sesetengah pakar berpendapat bahawa tabiat ini berpunca daripada aktiviti otak yang memberi kesan kepada emosi, pergerakan serta tabiat yang tidak dapat dikawal.
Ada juga yang berpendapat bahawa tabiat ini disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh seseorang. Ada pesakit trichotillomania yang cenderung mencabut bulu mata.
4. Diagnosis
Secara umumnya, tiada ujian spesifik yang dapat mengesahkan penyakit ini. Namun, seseorang akan dirawat berdasarkan tanda-tanda yang dijelaskan kepada doktor.
Doktor juga akan merujuk kepada ahli psikiatri untuk rawatan selanjutnya bagi memastikan sekiranya simptom-simptom yang ditunjukkan tergolong dalam ‘impulse disorder’ iaitu sejenis gangguan mental yang membuatkan seseorang melakukan tindakan yang membahayakan diri walaupun dalam keadaan sedar.
5. Emosi Pesakit Trichotillomania
Tabiat mencabut rambut berkait rapat dengan emosi seseorang. Ia sebenarnya menjadi cara seseorang menangani emosi negatif seperti kesepian, keletihan mahupun kecewa. Orang yang menghadapi gangguan ini juga cenderung untuk mengulanginya kerana dengan melakukannya, ia meninggalkan emosi positif seperti puas hati sehingga terus menjadi tabiat kerana mahu kekal berasa gembira.
Dalam keadaan sedar dan fokus, seseorang akan mengulangi tabiat ini apabila mahu melepaskan tekanan yang dirasai. Dalam situasi ini, seseorang akan menumpukan perhatian, memilih rambut gatal daripada akar dan kemudian mencabutnya.
Dalam keadaan tanpa sedar pula, seseorang akan melakukannya apabila berasa bosan atau ketika melakukan aktiviti santai seperti bermain gajet, menonton televisyen atau membaca. Sesetengah posisi juga membuatkan seseorang menjadi lebih cenderung untuk mencabut rambut seperti berehat dengan meletakkan tangan di kepala dan ketika sikat rambut.
6. Kesan Trichotillomania
Kebiasaan mencabut rambut ini boleh membuatkan seseorang akhirnya mengalami kebotakan pada bahagian tertentu. Lama-kelamaan ia dapat membuatkannya hilang rasa keyakinan dan berusaha untuk menyembunyikan bahagian botak tersebut.
7. Cara Rawatan
Terapi utama yang biasa dipraktikkan oleh ahli psikologi bagi gangguan mental ini ialah dengan menggunakan teknik habit reversal training. Dalam latihan ini, seseorang dilatih untuk menggantikan tabiat yang tidak sihat dengan perkara lain yang tidak berbahaya. Apabila mula terbit rasa untuk mengulangi tabiat tersebut, mereka dilatih supaya bertenang dan melakukan perkara lain untuk meredakan keinginan untuk mencabut rambut.
Di rumah, anda juga boleh berlatih sendiri dengan menyibukkan diri dengan perkara yang lebih berfaedah seperti keluar bersiar-siar dengan keluarga apabila ada masa lapang atau mulakan hobi baru yang boleh membuatkan anda lebih fokus dan terhindar daripada mengulangi perbuatan tersebut.
Ingatkan juga pada diri bahwa perbuatan tersebut bukan sahaja memudaratkan malah tidak berfaedah dan sekadar membuang masa.
Bantu Diri Sendiri Atau Sesiapa Dengan Tabiat Ini
Memang sukar untuk seseorang mengaku bahawa kita mengalami penyakit yang memalukan, lebih-lebih lagi penyakit mental. Apabila anda atau sesiapa yang lain mengalami masalah ini, semak simptomnya dengan jelas dan cuba dapatkan bantuan untuk menghentikannya segera.
Jika perlu, rujuklah kepada pakar untuk tindakan lanjut. Mulakan hobi yang positif supaya masa lapang lebih terisi dengan perkara yang lebih sihat dan berfaedah.