Adakah anda pencinta kucing dan mempunyai banyak kucing? Atau rakan anda mempunyai kucing yang banyak? Pasti anda akan dapat lihat persamaan pada mereka-mereka yang pencinta kucing ini, kan? Mereka lebih ceria, tenang dan manja, betul tak?
Kucing sememangnya terkenal dengan kelebihan mereka iaitu sangat comel dan manja. Mereka juga mempunyai perwatakan yang sangat kelakar dan menghiburkan yang mampu menceriakan sesiapa sahaja.
Walaupun kadang-kadang mereka agak nakal dengan mencakar sofa atau “melabur” merata-rata, namun terdapat banyak lagi kelebihan yang terdapat pada kucing yang mampu membantu membaikkan kehidupan manusia.
Kami ingin berkongsi 7 manfaat kesihatan yang anda boleh dapat dengan membela kucing.
7. Membantu kanak-kanak Autisma
Memelihara kucing di rumah dapat membantu dalam menenangkan kanak-kanak yang mengalami autisma. Kucing bukan sahaja dapat menjadi rakan dan peneman mereka, malah membantu komplikasi yang mereka hadapi. Tiada apa yang lebih efektif dan semulajadi dalam membantu kanak-kanak autisma untuk lebih tenang daripada ditemani oleh haiwan comel ini. Saintis-saintis percaya ini adalah salah satu manfaat kesihatan mempunyai kucing.
Ini satu kisah bagaimana kucing membantu kanak-kanak autisma.
6. Terapi “purr”
Kucing biasanya mengeluarkan bunyi purr lebih-lebih lagi ketika mereka sedang tidur. Bunyi ini bukan sahaja dapat menenangkan saraf-saraf kita tetapi juga boleh menjadi penawar. Bunyi purr ini mempunyai julat frekuensi terapi antara 35 hingga 150 Hz yang menjadi agen penawar kepada tulang. Bukan itu sahaja, bunyi ini dapat menghilangkan rasa sakit, membantu memperbaiki otot dan tendon.
5. Merangsang daya ketahanan
Kehadiran kucing ketika bayi sedang membesar dapat menguatkan daya tahan badan mereka. Bayi yang terdedah terhadap kucing dalam tahun pertama mempunyai risiko lebih rendah untuk terkena jangkitan, alahan dan masalah saluran pernafasan. Terdapat bukti yang menunjukkan kanak-kanak yang membesar bersama haiwan peliharaan lebih sihat daripada mereka yang tidak.
4. Membangkitkan mood
Perasan atau tidak, meluangkan masa bersama kucing anda dapat meningkatkan mood anda, yang mana ia menyebabkan berlakunya rembesan serotonin. Serotonin dianggap sebagai pengstabil mood semulajadi yang membantu mengurangkan kemurungan dan mengawal kebimbangan. Apabila tahap serotonin dalam badan anda meningkat, mood anda menjadi semakin ceria seterusnya menjadikan badan dan kesihatan serta hari anda lebih baik.
3. Terapi kasih sayang
Dengan kehadiran kucing di persekitaran anda, badan anda akan merembeskan hormon oxytoxin yang bertanggungjawab mengawalselia kasih sayang dan kepercayaan. Jika anda berasa tertekan, kecewa atau marah, bercakap dengan kucing boleh membantu anda. Anda akan berasa lebih lega kerana dapat meluahkan perasaan anda tanpa dihakimi, tak seperti luahkan perasaan kepada manusia.
2. Mengurangkan tekanan
Kucing dapat membantu mengurangkan tahap cortisol dalam badan, yang mana terhasil disebabkan tekanan. Apabila tahap kortisol semakin berkurang, tekanan akan berkurangan dan anda akan rasa lebih tenang. Tekanan ini boleh menyebabkan penyakit seperti sakit kepala, kemurungan serta kematian pramatang. Selain itu, kortisol ini dapat menggemukkan badan anda, jadi dengan adanya kucing di rumah, secara tak langsung anda boleh kurus!
1. Kebaikan kepada jantung
Mereka yang mempunyai kucing dirumah lebih kurang berisiko sebanyak 30% untuk mengalami strok. Bagaimana? Tidak dapat dinafikan kucing dapat membantu manusia menghilangkan tekanan dan membuatkan anda berasa lebih tenang, yang mana tekanan adalah antara penyebab masalah jantung. Masalah jantung merupakan antara masalah penyebab kematian tertinggi di dunia, jadi dengan membela kucing, anda dapat menjaga jantung anda dengan lebih baik.