“Sikitnya gaji aku, boleh ke nak hidup. Cukup ke nak tahan sampai hujung bulan.”
Situasi ini mesti ramai yang mengalaminya. Tapi ramai yang tidak sedar, rezeki sikit atau banyak bukan persoalannya, yang penting adalah keberkatan.
Kita akan sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada. Dan kadang-kadang tu kita rasa macam lebih dari cukup. Ini adalah salah satu petandanya sebab orang yang dapat rezeki tanpa keberkatan akan rasa sentiasa dalam kekurangan dan tidak puas dengan apa yang dia ada. Contohnya bila dapat duit, duit tu rasa sekejap saja habis. tapi kalau duit tu ada keberkatan, boleh cukup belanja sebulan dan boleh sampai tahap cukup buat simpanan.
Bila perilaku atau keadaan dalam keluarga dilihat stabil atau bahagia, ia boleh dikatakan yang rezeki keluarga itu ada keberkatan. Punca permasalahan dalam keluarga kadang-kadang boleh dilihat kembali pada akarnya, iaitu punca mendapatkan nafkah keluarga. Bila bercampur harta halal dan haram seperti rasuah maka wang tersebut sentiasa rasa tak cukup.
Apa guna rezeki banyak tapi tak berkat. Jadi, bersyukur dengan apa yang ada. Jadi, jika anda inginkan rezeki yang melimpah ruah, jangan lupa untuk lakukan 6 perkara ini!
1. Mudahkan urusan orang
Ketika kita senangkan urusan orang lain, urusan kita juga akan lebih mudah. Jangan berat tulang menolong dan meringankan beban orang lain kerana di situ juga akan mendatangkan keberkatan dalam rezeki yang kita nak dapat.
2. Sedekah
Bersedekah adalah cara untuk membersihkan harta. Ringankan tangan untuk bersedekah kerana dengan cara itu rezeki yang kita dapat lebih berkat. RM1 pun sudah mencukupi, yang penting adalah niat.
3. Jangan abaikan ibu dan ayah
Ramai terlupa tanggungjawab sebagai seorang anak. Jangan berkira untuk hulurkan wang saku pada ibu dan ayah setiap bulan. Jika kita gembirakan kedua orang tua, kita akan mendapat redhaan.
4. Muliakan anak yatim
Jika anda anda rezeki lebih, kongsikan bersama mereka yang memerlukan seperti anak yatim. Bila kita berkongsi, rezeki kita makin luas.
5. Sentiasa melakukan kebaikan
Jika kita inginkan rezeki yang banyak, buat baik sentiasa sesama manusia dan juga haiwan. Kalau kita buat jahat, bukan sahaja rezeki tak cukup, hati pun tak tenang.
6.Ada rezeki lebih, dahulukan haji dan umrah
Jika berkemampuan dan ada rezeki lebih, lakukan haji dan umrah. Jangan sampai ada yang sanggup habiskan duit pergi bercuti, tak pun beli barang berjenama sehingga lalai terhadap kewajipan haji dan umrah itu.
Dalam kita memahami pengertian rezeki yang berkat, kita tidak boleh membataskan rezeki itu hanya pada wang ringgit tetapi meliputi kesihatan. Ilmu,sahabat, masa lapang, idea dan berbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki. Bila kita dapat memahami makna rezeki yang berkat secara tidak lansung kita sudah menambahkan rezeki dengan meluaskan pengertian rezeki itu sendiri. Jika seseorang mendapat gaji yang besar tetapi tidak merasai cukup kerana terlalu banyak perkara yang perlu di bayar dan merasai sentiasa tak cukup.
Sedangkan ada setengah orang berpendapatan sederhana tetapi mencukupi menyara isteri dan anak-anak, mampu membeli rumah, kereta dan mampu membiayai pengajian anak-anaknya ke universiti. Ini adalah petanda rezeki yang tak berkat dengan rezeki yang berkat.