Kisah Rumahtangga: Isteri Risau Suami Dikelilingi GRO

Isteri risau suami dikelilingi GRO

Bukan namanya rumah tangga jika tidak diuji. Ia pula ada pelbagai, ada yang mudah diatasi, yang sukar dan paling menyakitkan hati yang terpaksa memendam rasa dan makan hati.

Dalam sesetengah kes, ada pasangan yang berdepan dengan kerenah suami disebabkan pekerjaannya yang memerlukan dia berbuat begitu. Contohnya, ahli perniagaan yang terpaksa bersaing dengan peniaga lain untuk mendapatkan tender atau bisnes.

Berhibur di kelab malam, coffee house dan trip ke luar negara menjadi agenda penting dalam kehidupan mereka, jika tidak melepaslah bisnes.

Dalam rumah tangga persefahaman, tolak ansur, kejujuran dan saling hormat-menghormati menjadi faktor utama kebahagiaan.

Pun begitu ia tidak semudah yang dikatakan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya mereka yang merasanya sahaja yang tahu.

Begitu kata Lina (bukan nama sebenar) dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini. Dalam kehidupan ini katanya, kemewahan tidak dapat menjamin bahagia dalam rumah tangga jika hati tidak tenang.

Ingin tahu kenapa? Kita ikuti kisah yang diceritakan oleh Lina kepada saya untuk iktibar kita bersama.

“Saya berusia lewat 50-an, mempunyai empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan. Tiga sudah bekerja seorang masih menuntut di universiti.

“Syukur Alhamdulillah, kehidupan saya agak mewah kerana mempunyai seorang suami yang berjawatan tinggi, ada kedudukan. Semua yang saya dan anak-anak inginkan boleh diperoleh dengan mudah.

“Kami telah berkahwin selama 27 tahun. Sepanjang tempoh itu hidup saya tidak tenang, selalu berfikir tentang perkara negatif yang mungkin dibuat oleh suami di belakang saya walaupun saya tahu dia tidak berbuat demikian.

“Namun naluri seorang isteri amat kuat, selalu saya syak wasangka dan buruk sangka terhadapnya terutama apabila dia berada di luar negara.

“Memang saya bahagia sebab hidup mewah, sarat dengan kasih sayang dan anak-anak sentiasa menyokong saya, tetapi saya selalu susah hati. Bimbang jika suami akan berubah hati dan mencari perempuan lain.

“Saya kenal suami saya, dia bukan kaki perempuan tetapi kedudukannya menjadikan dia diintai ramai wanita termasuk gadis yang masih remaja yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

“Begitulah kehidupan ahli perniagaan ternama, sentiasa menjadi tumpuan dan buruan gadis yang ingin hidup mewah.

“Bertemu klien, melepak di coffee house, kelab malam dan kelab dangdut menjadi amalan suami. Sudah tentu GRO ini akan menjadi peneman.

“Pernah beberapa kali saya menasihatinya supaya mengubah cara hidup dan bekerja secara lebih berhemah tetapi alasan yang diberikan tetap sama, semuanya bergantung pada klien. Jika tidak, bisnes tak masuk.

“Saya tidak ada masalah untuk memahami kerjanya itu tetapi kadang-kadang apabila tertekan saya menjadi tidak seronok dan mula berfikir yang bukan-bukan.

“Masalahnya ialah setiap kali suami bercerita tentang pertemuannya dengan klien di kelab-kelab semuanya mesti ada GRO. Muda-muda dan cantik-cantik belaka. Malah saya juga selalu membaca mesej dan WhatsApp yang dikirim oleh mereka kepada suami dengan kata-kata yang menggugat kesabaran saya sebagai isteri.

“Ayat-ayat cinta seperti I miss you, I love you sudah menjadi lumrah dalam setiap mesej atau WhatsApp yang dihantar. Kadang-kadang saya terasa hati tetapi kata suami, dia tidak hairan dengan kata-kata itu, sebab itu ayat cari makan golongan GRO tersebut.

“Saya faham dengan gaya hidup suami tetapi ada kalanya, hati isteri juga tersentuh dengan kata-kata seumpama tersebut, itu belum termasuk gambar-gambar seksi yang dikirim oleh gadis-gadis itu kepada suami melalui telefon.

“Semuanya dengan niat menggoda. Saya tidak tahu kenapa gadis sekarang terlebih berani untuk meraih kemewahan…,saya juga pelik mengapa klien perlu menggunakan GRO untuk mendapatkan bisnes.

“Bila difikirkan saya menjadi sedih dan tidak boleh tidur malam. Dalam usia yang semakin tua ini, hati mudah tersentuh. Walaupun saya tahu suami tidak seperti apa yang saya sangka, naluri saya tetap terasa.

“Pernah beberapa kali saya nasihatkan suami supaya tidak lagi melakukan urusan bisnes seperti itu tetapi nampaknya masih tidak ada perubahan.

“Suami selalu beritahu saya supaya bersabar kerana dia tidak pernah berubah hati terhadap saya. Tetapi sebagai isteri saya pasti semua pembaca faham dengan apa yang saya alami.

“Anak-anak juga memberi sokongan kepada saya dan yakin ayah mereka tidak berubah hati. Kata mereka, GRO itu hanya cari makan mama, jangan susah hati.

“Saya terfikir juga, kalau suami hendak buat jahat sudah tentu dia akan buat di peringkat awal lagi, tetapi sehingga kini setelah 27 tahun hidup bersama, saya tidak nampak sikapnya berubah terhadap saya lebih-lebih lagi apabila bercakap tentang GRO ini.

“Saya berdoa agar suami tidak akan berubah hati dan menjaga keharmonian rumah tangga yang kami nikmati sekarang sehingga ke akhir hayat kami.

“Saya selalu berdoa agar dalam masa terdekat, suami akan terbuka hatinya untuk berubah dan menukar cara hidup kepada yang lebih baik dan bersih di sisi Allah SWT.

“Mudah-mudahan Allah akan makbulkan doa saya ini, ” begitu Lina menamatkan ceritanya dengan air mata bergenang.

Saya faham dengan perasaan Lina yang inginkan perubahan dalam hidupnya ke jalan yang lebih diredai oleh Allah SWT.

Bersabarlah Lina. Insya-Allah akan ada perubahannya kelak dan jangan lupa bersyukur dengan kehidupan mewah yang Allah kurniakan kepada Lina dan keluarga selama ini.

Banyakkan bersabar dan berdoa selalu agar dalam masa terdekat Allah akan buka pintu hati suami untuk berubah dan mengubah cara hidupnya. Ingat, Allah bagi kita kemewahan dan Dia akan uji dengan cara lain. Inilah yang sedang Lina hadapi.

Menutup kata, pesanan saya, jangan resah apabila di dalam kesusahan kerana ia akan membuatkan anda merasa hampa, sebaliknya banyakkan berdoa dan bersyukur kerana di situ ada jalan menuju ketenangan. :-Utusan ~


www.panduansuamisteri.blogspot.com

Author: admin

Leave a Reply