Ini Cara Simpan Duit Persaraan Lebih Bijak, Barulah Tak Cepat Habis

Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, setiap perbelanjaan perlu diurus dengan lebih cermat. Selepas bersara, wang persaraan hendaklah digunakan secara berhemah. Mengurus wang persaraan dengan sebaiknya bukannya satu hal yang mudah. Andai boros, bimbang duit yang menggunung tinggi akan habis begitu saja.

Amalkan tip ini untuk membantu mengurus kewangan anda dengan bijak.

1. Beli barang dengan harga diskaun

Untuk membantu anda berjimat, beli barang yang menawarkan diskaun. Promosi ini harus sentiasa disedari melalui hebahan, surat khabar dan iklan yang diberikan ketika berkunjung ke pasar raya. Beli barangan itu secara pukal dan pastikan ia tidak mudah rosak. Dengan ini anda akan lebih berjimat.

2. Masak & simpan

Sudah pasti warga emas ini menghadapi cabaran memasak untuk dua orang makan. Namun semua itu boleh diatasi apabila anda memasak sekali sahaja dalam sehari. Makanan itu, boleh dimakan pada waktu makan tengah hari dan malam. Jika anda memasak hidangan lebih rumit seperti rendang, masak lebih sedikit. Simpan makanan itu di dalam peti ais. Makan apabila perlu. Ia lebih menjimatkan masa dan wang.

3. Guna keistimewaan sebagai warga emas

Guna keistimewaan potongan harga yang diberikan kepada warga emas dengan diskaun sebanyak 50 peratus berbanding harga normal. Contohnya menggunakan perkhidmatan kemudahan awam seperti pengangkutan, hospital dan sebagainya. Namun, anda perlu memohon kad keahlian warga emas untuk menikmati keistimewaan itu.

4. Elak tempah tiket pelancongan awal

Jika teringin melancong, elak tempah tiket penerbangan terlalu awal. Di usia sebegini kesihatan diri tidak menentu. Daripada anda terpaksa membayar lebih banyak wang untuk mengubah tarikh perjalanan, lebih baik anda mencari promosi pada tarikh yang hampir dengan waktu ingin melancong. Bagi menempah hotel, anda perlu bijak untuk membuat perbezaan harga yang terdapat pada laman web.

5. Tanam sendiri sayur-sayuran

Masa yang ada boleh diisi dengan menanam di laman rumah sayur-sayuran dan ulaman. Hobi sebegini dapat mengurangkan perbelanjaan harian dan pastinya juga lebih sihat dan berkhasiat.

6. Buat aktiviti santai

Jangan hanya duduk di depan komputer atau menghadap telefon sepanjang hari, keadaan ini tidak bagus untuk kesihatan diri. Anda boleh membuat aktiviti santai bersama rakan-rakan tanpa sebarang kos. Seperti menyertai aktiviti amal yang dibuat oleh NGO atau mengikut program agama yang dibuat di masjid.

7. Simpan ke akaun pelaburan

Ramai individu berfikir apabila menghampiri usia 55 tahun, mereka berhasrat mengeluarkan kesemuanya wang pencen atau KWSP itu. Simpan sedikit wang itu untuk menikmati kadar faedah yang tinggi setiap tahun. Anda boleh meletakkannya di dalam akaun pelaburan Skim Amanah yang diiktiraf Bank Negara.

Author: JVC

Leave a Reply