Umum

Dalam Tempoh 1 Jam 3 Kes Cerai Berlaku Di Malaysia

Dalam Tempoh 1 Jam 3 Kes Cerai Berlaku Di Malaysia

Tiga kes cerai berlaku dalam kalangan pasangan beragama Islam di negara ini dalam tempoh satu jam.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata maklumat diperoleh hasil kajiannya terhadap statistik perceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi 2011.
Ia berikutan purata 70 kes perceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi 2011.

“Statistik perceraian JAKIM dari 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkan peningkatan kes perceraian setiap tahun,” katanya kepada BERNAMA.

Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia berlaku kerana kebanyakan individu yang mendirikan rumah tangga didapati tidak memahami atau mengetahui falsafah sebenar perkahwinan.

Justeru, beliau meminta masyarakat melengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengurangkan kes perceraian.

“Institusi keluarga adalah asas pembangunan negara dan kalau institusi keluarga berjalan dengan baik, negara pun akan jadi lebih baik,” katanya.
Mengenai belia, beliau meminta kerajaan memperbanyakkan penganjuran program keilmuan dan keagamaan bagi golongan itu di negara ini dalam usaha melahirkan belia berakhlak mulia pada masa depan.

Tahap membimbangkan

Noor Aziah berkata, berdasarkan kajiannya, gejala sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan minum arak dalam kalangan belia Islam kini berada pada tahap membimbangkan.

“Antara kaji selidik saya lakukan adalah Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009, Kajian Belia, Dadah dan HIV:Punca dan Hak pada 2010 serta Kajian Pembinaan Modul Ta’dib di Sekolah Henry Gurney, Melaka 2011.

“Hasil kajian ini membuatkan saya risau akan akhlak golongan belia pada masa ini kerana berpunca daripada tidak menghayati ilmu agama sepenuhnya walaupun ada pendidikan agama tetapi tidak mengamalkannya.

“Kebanyakan responden menjawab tidak tahu sembahyang atau sudah lupa macam mana untuk sembahyang.

“Menerusi kajian, saya dapati kanak-kanak mula mencuba seks semuda 12 tahun dan ketika membuat kajian ‘Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia’ pada 2007, ibu paling muda mengandung yang saya temu bual ialah 13 tahun,” katanya.

Noor Aziah berkata, kira-kira 80 peratus golongan belia bermasalah datang daripada keluarga ibu tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa.

www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

− 1 = 4