Ini Bagaimana Cara Badan Tentukan Di Mana Lemak Disimpan

Setiap daripada kita mempunyai lemak dalam badan, namun lemak-lemak ini disimpan di tempat yang berbeza bagi orang yang berlainan. Sesetengah orang mempunyai lebih lemak di bahagian perut, manakala yang lain di kawasan seperti paha dan pinggul, termasuk kawasan umum yang lain.

Malangnya, kita tidak boleh mengawal di mana lemak disimpan dalam badan kita. Lemak baik memainkan peranan yang penting, bukan sahaja menyediakan tenaga kepada badan kita tetapi juga menyelia suhu badan, penghasilan hormon, pengurangan keradangan dan sebagainya.

Persoalan yang paling membingungkan ramai orang adalah bagaimana badan kita menentukan di mana untuk menyimpan lemak dalam badan?

Bagaimana lemak dihasilkan?

Sebelum itu, kita harus mengetahui bagaimana lemak terhasil. Apabila nutrien yang hancur dalam usus kecil diserap ke dalam aliran darah kita, tahap glukosa atau gula dalam darah kita meningkat. Pankreas, yang sentiasa memantau paras gula dalam darah, akan merembeskan hormon yang dipanggil insulin apabila ia merasakan peningkatan itu.

Insulin yang dikeluarkan di dalam aliran darah memberikan isyarat kepada sel-sel otot dan sel-sel lain dari badan kita untuk mengambil glukosa dari darah untuk mengurangkan paras gula darah. Sel-sel ini menerima mesej tersebut dan mengambil glukosa dari darah sebagai tenaga.

Apabila sel telah mengambil semua tenaga yang diperlukan, insulin memberi isyarat kepada hati untuk mengambil glukosa dan menyimpannya sebagai kanji yang dipanggil glikogen (glikogen akan diubah menjadi glukosa apabila kandungan gula dalam darah berkurangan).

Walau bagaimanapun, apabila simpanan glikogen sudah penuh, ia akan merangsang proses lipogenesis atau penghasilan lemak.

Di mana lemak disimpan?

Lemak disimpan dalam adiposit, sel-sel tisu penghubung yang longgar yang dikenali sebagai tisu adipos. Adiposit adalah seperti paket kecil di mana titisan lemak boleh disimpan.

Tisu adipos ditemui di bawah kulit (subkutaneus), di sekitar organ dalaman (visceral) dan di dalam sumsum tulang serta di dalam tisu payudara. Ia dijumpai di lokasi berlainan dalam badan, yang dikenali sebagai depot adipos. Tisu adipos bawah kulit (subkutaneus) ditemui di bahagian perut, pinggul, paha dan lain-lain. Dan tisu adipos visceral pula terletak di sekitar perut organ-organ penting badan.

Pengagihan lemak wanita vs lelaki

Kita sering mendengar istilah-istilah jenis badan ‘epal’ atau ‘pir’ berkaitan dengan kawasan badan di mana lemak disimpan. Jenis badan yang berbentuk epal menyimpan lemak di bahagian tengah badan, sementara badan berbentuk pir pula menyimpan lemak di bahagian bawah badan.

Hormon steroid memainkan peranan besar dalam proses ini. Oleh itu, rembesan pelbagai hormon steroid dan ketumpatan kawasan reseptor akan menentukan sebahagian besar daripada pengagihan jisim adipose.

Perbezaan berdasarkan jantina adalah di mana wanita mempunyai lebih banyak lemak yang disimpan di bawah kulit berbanding lelaki, dan mempunyai kadar lemak visceral yang lebih tinggi. Di samping itu, wanita mempunyai tisu adipos yang lebih besar di bahagian pinggul dan paha. Penyimpanan lemak di kawasan ini disebabkan oleh aktiviti lipase lipoprotein yang lebih tinggi akibat hormon steroid seks wanita.

Akibat hormon ini, wanita menyimpan sebahagian besar lemak mereka di bahagian bawah badan, sedangkan lelaki menyimpannya secara merata di seluruh badan mereka, terutamanya di bahagian tengah.

Sebaliknya, wanita cenderung untuk mengalami pengagihan semula lemak ke arah bahagian perut dan peningkatan lemak visceral selepas menopaus, mungkin disebabkan oleh penurunan kadar estrogen (hormon seks wanita).

Wanita, sebelum menjangkau menopaus, mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk melindungi simpanan lemak visceral mereka sehingga tahap obesiti. Lelaki pula mengumpul lemak di bahagian ini hampir selari dengan kawasan-kawasan lain.

Kesan tekanan (stress) kepada pengagihan lemak

Tekanan kronik untuk jangka masa yang panjang adalah faktor utama dalam menentukan di mana lemak disimpan, tidak mengira jantina. Pendedahan kepada tekanan akan merembeskan hormon terkanan iaitu kortisol. Tahap hormon ini yang meningkat lebih daripada paras normal akan menyebabkan lemak disimpan di tengah-tengah badan iaitu di kawasan perut.

Semua orang terdedah kepada tekanan, tetapi tidak semua orang bertindak balas dengan merembeskan tahap kortisol yang sama. Oleh itu, orang yang mengeluarkan hormon kortisol yang lebih tinggi akan mempunyai lebih banyak lemak di perut.

Faktor-faktor lain

Genetik memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan tindakbalas kita terhadap tekanan, metabolisma, kepekaan terhadap insulin dan lain-lain, semuanya menyumbang dalam menentukan di mana tubuh kita menyimpan lemak.

Faktor seperti gaya hidup dan umur juga sangat mempengaruhi tahap lemak perut seseorang. Alkohol, merokok, kurang tidur dan kurang bersenam menyumbang kepada jumlah lemak perut yang lebih tinggi.

Lemak yang berlebihan, tanpa mengira bahagian mana ia disimpan akan mencetuskan banyak masalah kesihatan. Namun, lemak yang disimpan di bahagian perut adalah lebih berisiko daripada lemak disimpan di bahagian bawah badan. Dengan kata mudah, lemak visceral adalah lebih berbahaya berbanding lemak subkutan.

Obesiti abdomen membawa risiko penyakit kardiovaskular, diabetes, rintangan insulin dan kesan sampingan lain yang serius. Tak kira lah sama ada badan anda berbentuk epal atau pir, pemakanan yang betul, senaman dan gaya hidup sihat adalah penting untuk kekal sihat.

Author: admin

Leave a Reply