Ayahku Ada Perempuan Simpanan

Ayahku Ada Perempuan Simpanan

SAYA berusia 19 tahun dan berasal dari keluarga sederhana. Dua tahun lalu, ketika ingin menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mendapat tahu ayah mempunyai perempuan simpanan.

Saya mula mengesyakinya pada pertengahan 2008 lalu namun saya bukanlah jenis orang yang hanya berdiam tanpa membuat tindakan.
Apabila tiba bulan Ramadan ketika ayah dan ahli keluarga lain pergi menunaikan solat Tarawih, saya membaca mesej ayah.

Ternyata tekaan dan sangkaan saya selama ini tepat. Sejak daripada itu, sikap saya terhadap ayah sedikit dingin namun tidak sanggup hendak menceritakannya kepada ibu kerana saya yakin hatinya akan luluh.

Sehingga hari ini saya menyimpannya dan perubahan ayah yang mempunyai perempuan simpanan semakin teruk.

Sekarang dia kerap balik hingga lewat malam sekitar jam satu atau dua pagi.
Kadang-kadang saya terfikir, sebagai isteri tidakkah ibu merasainya seperti mana saya rasai?

Saya tertanya-apa, apakah yang mereka inginkan daripada ayah kerana kami bukanlah hidup dalam kemewahan. Saya sendiri tidak dapat menjamin tindakan saya andai kata berdepan dengan makhluk begini.

Sejak itu, saya amat membenci lelaki yang curang terhadap isterinya sehingga terlalu berhati-hati dalam mencari pasangan kerana tidak ingin kejadian serupa berulang.

Perkara ini membuatkan saya tertekan dan tidak boleh melupakannya walaupun sesaat.

Saya harap Dr dapat membantu menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya ini sejak bertahun lamanya.

TERTEKAN
Melaka

TEKANAN dan kekecewaan yang adik alami mempunyai sebabnya dan Dr memahami perasaan itu serta bersifat empati.

Tentunya sebagai seorang anak, adik inginkan ibu bapa mempunyai sebuah perkahwinan bahagia tanpa ada mana-mana pihak yang curang.

Hasil kecurangan ayah, pelbagai persoalan bermain di fikiran sehingga membentuk pola pemikiran, tingkah laku dan cara adik memilih bakal pasangan.

Sikap ayah yang curang memang akan memberi kesan kepada hubungan rumah tangga. Dr seperti adik juga tidak pasti sama ada ibu mengetahui mengenai hubungan sulit ayah dengan wanita lain.

Sebagai seorang isteri, banyak pertimbangan perlu diambil kira apabila mengetahui suaminya mencintai wanita lain.

Ada isteri yang tidak mahu bersuamikan lelaki curang akan meminta untuk tidak lagi bergelar isteri kepada lelaki itu. Namun, ramai juga isteri yang membuat pertimbangan untuk mengekalkan rumah tangga kerana sebab-sebab tersendiri. Antara yang menjadi faktor utama sebuah pasangan kekal dalam rumah tangganya ialah memikirkan kebajikan anak-anak.

Ibu mungkin cuba mempertahankan perkahwinannya walaupun ternyata ayah mempunyai perempuan lain. Jika ini berlaku kepada ibu adik, tentu besar sekali pengorbanannya atas penderitaan dialami.

Seorang wanita menjalinkan hubungan dengan suami orang bukan saja disebabkan faktor kewangan. Sebab penarik lain seperti kasih sayang, sikap mengambil berat dan cinta juga adalah penyebab kepada sebuah hubungan terlarang.

Ini boleh menjawab persoalan yang bermain di fikiran adik mengenai apakah wanita itu inginkan dari ayah.

Memang sukar bagi seorang anak untuk mencampuri urusan ibu bapa terutama dalam soal yang membabitkan hati dan perasaan.

Sebagai anak, adik boleh memberitahu perasaan kecewa adik terhadap sikap ayah kepadanya. Namun ini bukan jaminan ayah akan memberhentikan sikap curangnya itu. Sekurang-kurangnya adik sudah meluahkan ayah bagaimana perasaan yang ditanggung.

Untuk memberitahu ayah apa yang adik rasakan juga bukan perkara mudah.
Sebab itu, sehingga kini adik tidak meluahkan perasaan kecewa dan mendiamkan terhadap perbuatan curang ayah itu.

Sikap curang ayah ternyata membentuk sikap dan pemikiran adik dalam memilih pasangan. Adik kini amat membenci bakal pasangan yang curang selain sangat berhati- hati. Sikap terlalu berhati-hati ini boleh menyebabkan adik amat sukar memilih calon nanti. Ini kerana adik sudah mempunyai satu pemikiran awal mengenai lelaki curang. Walaupun bersikap berhati-hati dalam memilih pasangan adalah baik, apabila ia terlalu diberi perhatian, adik akan kecewa nanti.

Satu persoalan yang timbul ialah bagaimana adik dapat mengetahui bakal calon pasangan akan terus setia dan tidak akan berlaku curang sepanjang perkahwinannya dengan adik. Perkara ini amat sukar diukur kerana adik tidak akan mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan.

Apa yang adik boleh lakukan ialah mengubah pemikiran agar sebuah perkahwinan tidak diwarnai dengan kecurangan ialah pihak suami isteri dapat memenuhi keperluan masing-masing.

Soal keperluan emosi, kasih sayang dan seksual adalah antara faktor yang boleh mengikat sebuah perkahwinan.

Suami atau isteri boleh berlaku curang jika keperluan diri tidak dipenuhi dan cinta terhadap pasangannya tidak cukup kuat. Daripada terlalu berhati-hati dalam memilih calon, adik boleh memikirkan dan seterusnya berusaha (apabila sudah berkahwin nanti) untuk mewarnai rumah tangga dengan keindahan supaya pasangan tidak curang. Ini boleh menghalang adik daripada merasa takut sifat curang ayah akan berulang dalam perkahwinan adik.

www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

Author: admin

Leave a Reply