Kalau Anak 2 Tahun Masih Belum Bercakap, Jangan Teragak-agak Jumpa Pakar

Secara umumnya, anak kecil yang normal sudah mula bertutur dan membebel bunyi tertentu bermula usia 1 tahun ke atas. Walaupun perkembangan setiap anak mungkin berbeza, namun ibu bapa perlulah peka dan memantau kebolehan pertuturan ini kerana ia berkait rapat dengan faktor kesihatan mereka.

Dalam artikel kali ini, kami berbesar hati kerana Puan Norakma Jamlos sudi berkongsikan kisah anak beliau yang lambat bercakap atau dikenal sebagai ‘late talker’. Semoga ia dapat memberi panduan dan juga inspirasi kepada ibu bapa yang mengalami masalah yang sama.

Mari ikuti coretan beliau selengkapnya di bawah.

ANAK MASIH BELUM BERCAKAP PADA USIA 2 TAHUN

Tergerak hati ingin berkongsi cerita kisah anak perempuan merangkap anak ketiga saya. Saya mula bawa dia berjumpa dengan doktor di Hospital Selayang pada umur dia 2 tahun.

Saya mula perasan dia bukan macam kanak-kanak lain dan nampak sangat berbeza terutamanya sebab dia masih tak boleh bercakap walaupun sudah berusia 2 tahun.

RENTETAN PERISTIWA & TEMUJANJI DOKTOR

Berikut adalah rentetan daripada temujanji doktor yang saya hadiri untuk mendapatkan diagnosis terhadap keadaan sebenar anak saya.

07/06/2017 – Pergi ke Klinik Kesihatan untuk imunisasi 2 tahun. Sambil itu saya bercerita kisah anak dan kebimbangan saya terhadap perkara di atas. Sehubungan itu, jururawat di Klinik Kesihatan telah membuat surat untuk saya mendapatkan appointment di hospital.

24/8/2017 – Berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak di hospital. Doktor sarankan untuk berjumpa dengan pakar telinga dan mata (ENT) terlebih dahulu.

18/9/2017 – Kami berjumpa dengan pakar ENT. Alhamdulillah, keputusannya normal hearing bilaterally.

30/11/2017 – Berjumpa lagi dengan doktor pakar kanak-kanak Hasil Ujian Saringan M-CHAT menunjukkan anak saya gagal dalam 10 item. Dan kesemua item yang gagal adalah item yang kritikal. Doktor diagnosis sebagai autisme tapi masih belum disahkan lagi. Allah sedihnya….

Ciri-ciri anak saya ketika berumur 2 tahun antaranya:

  • Tiada eye contact.
  • Bila panggil buat tak tahu .
  • Suka main sendiri.
  • Speech delay, sepatah perkataan tak pernah sebut, hanya aaaaa dan sangat bising mulutnya.
  • Tak pandai nak bersalam dengan orang mahupun kami Ummi dan Abah dia.
  • Tak berminat untuk bermain walaupun dengan kakak-kakaknya. Bila ajak main dia lari.
  • Tak pernah nak pedulikan orang disekeliling dia. Dia dengan dunia dia sendiri dan dia juga seolah-olah tidak mengenali kami.
  • Suka mengibas-ngibas tangan kalau dia gembira@ excited (flapping hands).
  • Alhamdulillah dia tak ada behavior problem.

Sekarang umur anak saya dah masuk 2 tahun 7 bulan. Banyak yang berubah cuma masih tak boleh bercakap lagi.  Tapi ciri-ciri autisme masih ada. Antara perubahannya:

  • Eye contact dah ada walaupun terhad.
  • Arahan-arahan mudah pun dia dah mula faham.
  • Bila saya marah, cepat-cepat datang dan peluk cium.
  • Bila panggil dah mula pandang. (kadang-kadang tak pandang sebab asyik panggil je)
  • Pandai cari saya bila saya tak ada, tahu dah nak cari Ummi kat mana. (office Ummi laaa kat dapur)
  • Sudah mula nak bermain.
  • Flapping hands masih ada. Tapi saya mula ajar jangan buat flapping hands dan tukar pada tepuk tangan (claps hands) bila rasa gembira @ excited.

Alhamdulillah banyak yang berubah. Cuma untuk ‘merawat’ ciri autisme memang agak susah, ada masanya boleh jadi ‘singa’, kadang-kadang pula jadi ‘tarzan’.

Banyakkan membaca dan tambah ilmu dari sumber yang dipercayai. Tips dari Group Autisme Malaysia di Facebook pun banyak membantu.

29/1/2018 – Kami akan berjumpa dengan Speech Therapist. Semoga urusan kami di permudahkan.

Puan Norakma Jamlos bersama suami dan ketiga-tiga anaknya.

PANDUAN UNTUK IBU BAPA JIKA ANAK LAMBAT BERCAKAP

Berikut adalah beberapa checklist yang boleh anda semak dalam memantau kebolehan pertuturan anak mengikut perkembangan usianya.

(Sumber: Poster Terapi Pertuturan Kementerian Kesihatan Malaysia)

JANGAN BERFIKIRAN NEGATIF, RUJUK SUMBER YANG BETUL

Akhir sekali, jika anda melihat anak orang lain masih tidak boleh bercakap dan tidak sama sifatnya macam anak anda, jangan terus berfikiran negatif ya.

Kajian telah membuktikan pengesanan awal masalah autisme dapat meningkatkan prestasi dan fungsi kanak kanak tersebut. Oleh itu, pengesanan awal dengan melakukan Ujian Saringan M-CHAT merupakan antara langkah paling berkesan bagi mengesan kanak kanak Autisme seawal 18 bulan.

Diharapkan dengan perkongsian cerita saya ini tiada yang menyinggung perasaan sesiapa. Saya sekadar berkongsi dengan tujuan meningkatkan kesedaran kepada umum. Yang penting, jangan teragak-agak untuk membawa mereka berjumpa dengan doktor pakar. Saya percaya masih ada lagi ibu bapa yang ‘menyimpan’ anak di rumah tanpa mengambil tindakan proaktif terhadap masalah ini.

Author: admin

Leave a Reply