Pernahkah anda terkena penyakit ulser mulut? Admin pasti anda tahu betapa sakit dan azabnya menanggung sakit yang satu ini. Hendak makanpun sakit, hendak minumpun sakit, hendak berkumur apatah lagi! Sakitnya kadang kala terasa berdenyut-denyut dan terlalu pedih sehingga membuatkan kita emosi.
Menerusi perkongsian oleh Doktor Rahim di laman Facebooknya, penyakit yang lebih dikenali sebagai penyakit ‘mata ikan’ dalam kalangan masyarakat Melayu ini boleh berpunca daripada beberapa perkara. Antaranya adalah akibat daripada tergigit lidah, kekurangan zat besi dan juga kecederaan semasa menggosok gigi.
Nama saintifik bagi penyakit mata ikan ini adalah aphthous ulcer atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai ulser mulut atau sawan mulut. Penyakit ini kerap berlaku pada kanak-kanak berumur 10 tahun dan keatas. Lazimnya, ulser berbentuk tompokan kecil yang berukuran 2-5 mm dan berwarna putih atau kuning pucat menyamai warna nanah.
Di sekelilingnya pula berwarna merah pekat dan membengkak. Ia boleh tumbuh berulang kali sama ada sebiji, dua biji atau lebih.
Kesakitan akibat daripada ulser memang tidak dapat dinafikan lagi. Ianya teramat pedih. Pesakit malahan akan kurang selera makan kerana rasa tidak selesa yang berpanjangan.
Tahap kesakitannya akan berkurang selepas 3-4 hari tetapi masa yang ambil untuk sembuh sepenuhnya boleh memakan masa sehingga 7-14 hari! Walau bagaimanapun, kebiasaannya penyakit ulser ini tidak meninggalkan sebarang parut dan ia juga tidak berjangkit. Tetapi, bahayanya pula adalah ia boleh tumbuh bila-bila masa sahaja. Jika tidak bernasib baik, terdapat juga ulser yang akan memakan masa berminggu untuk sembuh dan meninggalkan parut.
Selain daripada tiga jenis punca berlakunya penyakit ulser yang telah disebut tadi, Dr. Rahim turut kongsikan sebab-sebab lainnya seperti:
- Punca utama yang tidak diketahui
- Kecederaan atau tergigit
- Kekurangan zat besi, asid folik dan vitamin B12
- Alahan kepada sesuatu perkara
- Jangkitan kulat, virus atau bakteria
- Kesan sampingan radioterapi dan kemoterapi
- Kecederaan akibat penggunaan berus gigi atau gigi palsu
- Perubahan hormon sebelum haid atau putus haid (menopause)
- Genetik keturunan
- Tertekan (stress)
- Kesan sampingan ubat-ubatan seperti ibuprofen, aspirin, alendronate, nikotin, kokain dan lain-lain
- Boleh juga terjadi pada orang yang berpenyakit crohn, syphilis atau jangkitan HIV
Beberapa cadangan rawatan ataupun petua orang tua-tua bagi mengubati atau mengelakkan terkena penyakit ulser adalah:
- Kerap minum air suam
- Letakkan sedikit garam pada permukaan ulser ataupun berkumur dengan menggunakan air garam (awas, langkah ini sangat memedihkan ya!)
- Lebih mudah, sapukan garam pada jagung yang telah dimasak dan makan seperti biasa.
- Sapukan marjerin atau ubat gigi di permukaan ulser
Kebiasaannya, doktor akan memberi nasihat kepada pesakit ulser agar tidak terlalu bimbang jika saiz ulser yang kecil. Ia malah tidak memerlukan rawatanpun kerana ia boleh sembuh dengan sendirinya. Tetapi, ia mungkin akan kerap tumbuh semula.
Jika anda terkena penyakit ulser, anda boleh mencuba melakukan nasihat berikut untuk mengelakkan penyakit ini lebih melarat:
- Elakkan memakan makanan yang pedas atau masin
- Elakkan minum minuman panas
- Elakkan memakan buah-buahan yang berasid
- Gunakan berus gigi yang lembut
- Gunakan gigi palsu yang sesuai dan selalu mencucinya atau rendamkan di dalam air suam
- Rajinkan diri untuk berkumur menggunakan air garam yang cair (saline) atau pencuci mulut seperti Listerine
- Gunakan lozenges steroid atau defflam
- Sapukan krim Orabase atau gel choline salisilat (Bonjela)
- Ambil ubat tahan sakit Ponstan
- Ambil ubat antibiotik seperti pil Doxycycline
Di akhir entri yang dimuat naik oleh Dr. Rahim, beliau ada mengingatkan netizen agar sentiasa menjaga kebersihan mulut agar tidak mudah dijangkiti penyakit yang memeritkan ini.
Gigi hendaklah selalu diberus sehingga bersih. Doktor ini turut memberi amaran bahawa terdapat juga beberapa kes kanser mulut yang berpunca daripada ulser mulut yang tidak sembuh-sembuh!
Oleh itu, jika anda terkena penyakit ulser mulut yang tidak menunjukkan tanda penyembuhan sehingga lebih dari tiga minggu, atau berbeza saiz dan semakin tumbuh dengan banyak, segeralah berjumpa dengan doktor. Jangan sesekali ambil mudah hal ini ya!
Kredit: Rahim/Facebook