Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, tak mudah nak cari pengasuh yang baik dan ikhlas jaga anak. Risau, tambah pula sudah banyak kes yang melibatkan anak kena d3ra dengan pengasuh.
Lagi teruk sampai ada kes l1wat dan rgl dengan ahli keluarga pengasuh. Nauzubillah… moga anak-anak kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Buat mak ayah yang masih bimbang memikirkan tentang pengasuh, jemput baca tip daripada ibu mudah, Puan Nadia Bakar, yang mana dia juga meletakkan anak di rumah pengasuh dengan mengamalkan beberapa tip ini.
Cari Pengasuh Untuk Anak
Mungkin ini rezeki. Kesemua pengasuh yang kami dapat baik-baik belaka. Dah ramai juga bersilih ganti waktu pengasuh tetap perlu bercuti, tetapi semuanya sangat bagus dan menyenangkan. Alhamdulillah. Biasanya ada 7 perkara yang saya sentiasa buat ketika di dalam proses mencari dan apabila sudah berjumpa pengasuh yang terbaik buat anak-anak saya.
1. Sentiasa mulakan dengan doa.
Saya belajar tentang “doa dulu” sewaktu nak cari pengasuh lepas bersalinkan anak kedua, Annur. Waktu tu memang “terpaksa” minta sungguh-sungguh pada Allah sebab pengasuh yang sepatutnya kami dah janji nak jumpa tiba-tiba dapat kerja di tempat lain.
Ya Allah! Lagi seminggu saya dah nak masuk kerja semula ni. Mana pulak nak cari pengasuh dalam masa yang singkat? Dalam pada susah hati tu, tiba-tiba terdetik.
“Apa kata aku cuba doa yang spesifik?”
Waktu tu saya minta nak pengasuh yang baik, sama wavelength, yang boleh tolak ansur dengan kami, yang sayang anak kami macam anak dia sendiri. Walau kita usaha macam mana sekalipun, tetaplah perlu minta petunjuk Allah sebab Dia jauh lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kan? Jadi, nak tak nak kena letak doa sebagai usaha pertama.
Nak tahu, esoknya kami dapat pengasuh yang sama macam dalam doa saya. Sampai hari ni pun masih meremang lagi bila cakap pasal pengasuh yang ini.
2. Sentiasa kenali pengasuh.
Bab ni paling penting. Walau macam mana sibuk sekalipun, mesti selidik dulu siapa yang bakal menjaga anak-anak sementara kita pergi kerja. Risik-risik daripada jiran tetangga pengasuh juga. Inilah orang yang akan gantikan kita sebagai ibu bapa setiap hari. Pengasuh bukan semata-mata jaga makan minum anak kita saja tau. Secara tak langsung mereka juga terlibat dalam proses membina diri anak kita. Pakat-pakat dengan suami, pergi ke rumah pengasuh. Sembang-sembang. Dari situ kita dapat gambaran macam mana tempat yang anak kita akan duduk nanti.
3. Upah pengasuh.
Biar pengasuh yang tetapkan harga. Muliakan perkhidmatan mereka. Kita tak perlu pandai-pandai nak letak harga dulu. Jika rasa kurang mampu dan nak minta kurang, mohon budi bicara pengasuh dan sertakan sebab kita sekali. Secara fitrahnya, orang takkan buat sesuatu tanpa kita bagi tahu sebabnya. Ada rezeki, pengasuh pun faham dan rela untuk kurangkan harga.
4. Mudahkan kerja pengasuh
Bekalkan makanan, pakaian dan keperluan asas anak-anak secukupnya. Kalau tak cukup, pengasuh pun susah hati. Contohnya, jika anak menyusu susu perahan. Tuang siap-siap ke dalam botol untuk sekali minum (per feeding). Mudah untuk pengasuh terus beri anak kita susu nanti.
Tidaklah pengasuh merungut di belakang kita sebab dia rasa susah bagi susu perahan beku yang perlu dicairkan terlebih dahulu sedangkan anak kita dah meraung-meraung kelaparan. Mana nak kisahkan susu lagi, anak kita lagi.
Saya pernah terbaca kisah pengasuh yang suruh si ibu belikan susu tepung sebab susah nak handle susu perahan. Sedangkan tinggi harapan kita nak menyusukan anak dengan susu perahan sampai 2 tahun. Mudahkan kerja orang, Tuhan akan mudahkan urusan kita kan?
5. Hargai dan sayangi pengasuh.
Kita rasa kalau majikan layan kita baik-baik macam keluarga dia sendiri, kita gembira tak? Bila pergi bercuti, beli buah tangan untuk pengasuh. Bila dapat bonus, hulurlah sedikit bonus juga. Bila dekat-dekat raya, beri duit raya. Boleh juga bayar lebih sikit setiap bulan sebagai sedekah. Sesekali bawa pengasuh makan best-best di luar. Untung-untung Allah lapangkan pintu rezeki buat kita dan jadi saham di akhirat nanti.
Bukan senang tugas seorang pengasuh. Kita yang ibu bapa kandung ni pun berapa kali dah bertukar jadi “mak pak kau hijau” kat rumah kan? Bila pengasuh gembira, selalunya dia akan jauh lebih gembira dan redha untuk jaga anak-anak kita. Silap-silap hari cuti pun dia minta hantar anak-anak ke rumahnya. Serius.
6. Jangan sesekali menipu.
Bab ni paling dibenci oleh sesiapa pun kan. Kita sendiri pun tak suka ditipu. Jadi, kalau kita ada hal peribadi di luar yang menyebabkan pengasuh terpaksa jaga anak kita lebih masa atau waktu yang sepatutnya pengasuh cuti (selalunya hujung minggu), cerita betul-betul pada pengasuh.
“Makcik, hari ni saya cuti. Tapi saya kena pergi Damansara, ada urusan peribadi sikit.”
Selalunya pengasuh boleh bertolak ansur kalau kita ni banyak menyenangkan dia. Malah dia sentiasa berbesar hati untuk tolong kita.
7. Teruskan berdoa dan berdoa.
Bila kita dah pun usahakan apa yang patut, jangan lupa untuk berdoa buat pengasuh dan anak-anak kita. Setiap hari.Doakan pengasuh diberikan kesihatan yang baik, diluaskan pintu rezeki dan dipermudahkan segala urusannya.Semoga Allah pelihara keselamatan pengasuh dan anak-anak kita sepeninggalan kita untuk bekerja. Boleh juga amalkan doa dengan Asmaul Husna.
Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Allah.
Ya Allah yang Maha Memelihara. Kau peliharalah keselamatan pengasuh dan anak-anak kami. Hanya Kau sebaik-baik pemelihara.Begitulah.