Skrip Ucapan Teknik Nabi Kepada Anak-anak Kecil
Dalam amalan lazim, apabila anak-anak kecil melakukan kesalahan di dalam pelajaran seperti mewarna terkeluar daripada gambar yang diwarnakan, guru cenderung melakukan perkara-perkara berikut;
1. Memarahi pelajar
Contoh: “Berapa kali cikgu cakap, kalau mewarna jangan warna sehingga terkeluar-keluar. Tengok lukisan kamu ini, comot dan tidak cantik. Warna semula. Kalau tidak, cikgu tak mahu tanda buku kamu.” (SALAH)
2. Mengkritik hasil kerja pelajar
Contoh; “Apalah, mewarna pun comot. Tengok lukisan kamu ini suddah macam apa sahaja cikgu tengok. Kalau macam ini, jangan harap kamu nak dapat markah penuh.” (SALAH)
3. Mengkritik pelajar (kritik orang)
Contoh; “Kamu ini pernah sekolah ke tidak? Mewarna pun tidak tahu. Apa yang kamu belajar masa tadika dahulu?” (SALAH)
4. Mengugut atau mengancam-ancam pelajar
Contoh; “Siapa yang tidak mewarna betul-betul, cikgu tidak akan beri dia rehat. Kamu duduklah di dalam kelas sehingga waktu rehat tamat.” (SALAH)
5. Menasihati pelajar
Contoh; “Lain kali kalau mewarna, warnalah betul-betul. Barulah lukisan kamu cantik.” (SALAH)
6. Membanding-bandingkan pelajar
Contoh; “Cuba tengok lukisan Ali, dia warna cantik. Tak macam Tina. Warna entah apa-apa.” (SALAH)
Dalam mengaplikasi Teknik Nabi Muhammad Sollallahu alaihi wa alihi wasallam, kesemua ganjaran sosial negatif di atas tidak dilakukan. Sebaliknya ada beberapa teknik yang boleh diaplikasi bagi mendorong anak-anak kecil membetulkan kesilapan mereka dan mendorong mereka untuk lebih bagus dalam mewarna lukisan.
Antara teknik Nabi yang boleh diaplikasi adalah seperti berikut;
1. Teknik Menegur Kesalahan Dengan Menerangkan.
Contoh; “Lukisan yang cantik ialah lukisan yang diwarnakan dengan tidak terkeluar-keluar daripada gambar yang diwarnakan.” (BETUL)
2. Teknik Demonstrasi.
Contoh, “Apabila kita mahu mewarna sesuatu gambar, pastikan pensil warna yang digunakan untuk mewarna gambar / lukisan tidak terkeluar daripada gambar seperti ini (guru tunjukkan cara mewarna yang betul di papan putih)”. (BETUL)
3. Teknik Ayat Tawaran.
Contoh; “Murid-murid, nak tak cikgu beritahu bagaimana caranya supaya lukisan kamu nanti akan nampak cantik apabila diwarnakan?”
Apabila murid menjawab ‘mahu’, guru terangkan apakah kriteria-kriteria mewarna yang betul. (BETUL)
Sumber FB Ustazah Siti Khadijah