Akhir-akhir ini nampaknya makin ramai nak cuba diet dan ubah cara pemakanan. Dalam nak diet tu, biasanya yogurt akan dimasukkan ke dalam salah satu senarai wajib beli. Boleh buat salad dressing, boleh buat overnight oat, atau boleh juga dimakan begitu saja. Selain itu, ada juga mak-mak yang gemar bagi bayi makan yogurt oleh kerana komposisi nutriennya yang baik.
Umumnya, yogurt mengandungi sumber protein kalsium dan probiotik yang bagus untuk pencernaan. Tapi sekarang ni dah macam-macam jenis yogurt yang ada dekat rak pasaraya sampai keliru nak pilih yang mana, kan?
Jadi jom ketahui lebih lanjut tentang 4 jenis yogurt yang paling biasa kita jumpa di pasaran dan apa beza setiapnya.
PERBEZAAN 4 JENIS YOGURT YANG PALING BIASA DIJUAL DI PASARAN MALAYSIA
1. NATURAL / PLAIN YOGURT
Natural atau plain yogurt adalah yogurt kosong yang tidak ditambah sebarang perasa. Oleh sebab itu, yogurt jenis ini adalah pilihan yang paling sering digunakan dalam masakan sama ada jenis pencuci mulut, kek atau lauk-pauk. Kadangkala, plain yogurt ini juga dilabel dengan perkataan whole milk atau full fat yogurt.
Jangan takut dengan tulisan fat atau lemak pada yogurt jenis ini kerana kajian mendapati lemak yang terdapat dalam yogurt jenis ini adalah lemak sihat dan bukanlah jenis lemak tepu.
Salah satu kebaikan yogurt jenis ini ialah ia jarang ditambah dengan sebarang pemekat atau bahan tambahan yang digunakan dalam low fat atau non fat yogurt. Oleh sebab itu, yogurt jenis ini sesuai untuk diberikan kepada bayi atau anak kecil sebagai makanan tambahan.
Tips: Anda boleh mengolah rasa natural / plain yogurt dengan menggunakan buah-buahan segar seperti strawberry, pisang, mangga dan sebagainya untuk mendapatkan tekstur dan rasa yang lebih sedap!
2. LOW FAT YOGURT / NON FAT YOGURT
Yogurt jenis ini biasanya menjadi pilihan ramai kerana labelnya yang terang-terang tertulis non-fat atau low-fat. Tapi tahukah anda apa sebenarnya maksud di sebalik label ini?
Menurut aboutyogurt.com, yogurt yang diperbuat daripada whole milk memiliki sekurang-kurangnya 3.25% lemak. Low-fat yogurt pula diperbuat daripada susurendah lemak dengan kandungan lemak antara 2% hingga 0% lemak. Sementara itu, non-fat yogurt pula diperbuat daripada susu skim dan memiliki kurang daripada 0.5% lemak.
Wah, adakah ini bermaksud yogurt jenis ini lebih sihat? Tidak juga. Menurut BusinessInsider.com, yogurt jenis ini biasanya akan ditambahkan dengan lebih banyak bahan penstabil / pemekat di samping gula atau bahan pemanis seperti corn syrup, fructose bagi menjadikan rasanya sedap. Ini kerana, dengan membuang kandungan lemak daripada yogurt, tekstur yogurt akan berubah dan rasanya menjadi kurang enak. Selain itu, ia juga mungkin dicampur dengan krim, buttermilk, atau susu skim bagi mendapatkan tekstur yang ideal agar dapat dijual di pasaran.
Tips: Apabila memilih low-fat atau non-fat yogurt, pastikan anda membaca ramuannya dengan teliti sebelum membeli. Lebih pendek senarai bahannya, lebih baik.
3. GREEK YOGURT
Greek yogurt sememangnya makin popular, terutamanya di kalangan anda yang health conscious atau mereka yang tengah diet. Rasanya agak masam berbanding yogurt biasa dan ia memiliki tekstur yang lebih kental.
Jadi, kenapa ia menjadi pilihan ramai sejak akhir-akhir ini? Ini kerana, Greek yogurt memiliki kandungan protein hampir 2 kali ganda dan kurang laktosa / gula di dalamnya.
Menurut LiveStrong.com, proses pembuatan Greek yogurt ini disaring 3 kali berbanding yogurt biasa yang mengalami 2 kali penyaringan. Sisa cairannya (whey) dibuang dalam proses tersebut lalu menjadikan Greek yogurt lebih kental dan tinggi kandungan proteinnya. Maksudnya memang tepatlah pilihan orang yang tengah diet untuk makan yogurt jenis ini kerana nilai kalorinya juga lebih rendah ( sebab kurang gula dan karbbohidrat). Maka, tak hairanlah harganya juga lebih mahal!
Tips: Selain dimakan dengan buah-buahan, ia juga sesuai dijadikan sos dalam sandwich atau salad anda.
4. YOGURT BERPERISA
Yogurt berperisa buah-buahan seperti mangga, strawberry, pic, dan kiwi memang sedap dimakan begitu saja. Ia juga biasa didatangkan dalam bekas yang kecil dan mudah dinikmati di mana-mana. Ada yang jenis low-fat, non-fat, atau jenis yang biasa.
Namun begitu, kebanyakan yogurt berperisa ini memiliki tinggi kandungan gula atau pemanis walaupun ianya versi low-fat atau non-fat. Apa yang perlu anda faham, manfaat yogurt adalah lebih baik sekiranya ia kurang mengalami proses pengolahan sama ada dari segi rasa mahupun tekstur.
Tips: Jika anda salah seorang penggemar yogurt jenis ini, salah satu tips yang boleh anda lakukan adalah dengan mencampurkan yogurt berperisa dengan plain yogurtuntuk mengurangkan rasa manisnya dan menambah nutrisinya. Bahagikan semula kepada 2 portion – 1 portion untuk anda makan dan simpankan 1 portion untuk dinikmati kemudian.
JADI, MANA YANG PALING BAGUS?
Memang banyak jenama yogurt yang boleh didapati sama ada keluaran Malaysia ataupun luar negara. Setiapnya memiliki kandungan nutrien yang hampir sama berdasarkan label-label di atas.
Apapun, cara menikmati yogurt yang terbaik adalah
- memilih yang plain / tanpa perasa
- perasakan dengan buah-buahan sebenar
- mengambil dalam kuantiti sederhana
Jangan lupa, periksa dulu label pada setiap pek yogurt bagi memastikan kandungan nutrisinya. Yang penting, pelbagaikan juga hidangan harian anda dengan nutrisi dalam piramid makanan dan amalkan juga cara memasak yang sihat seperti mengukus.