Oleh Siti Zarinah Sahib
“Tahniah anda disahkan mengandung tujuh minggu.” Bagi wanita, ucapan sebegini pasti ditunggu-tunggu terutama bagi mereka yang sudah lama menantikan keha-diran cahaya mata pertama.
Namun, tidak semua wanita mampu meneruskan kehamilan sehingga sembilan bulan kerana kajian menunjukkan kira-kira 10 hingga 20 peratus mengalami keguguran sebelum kehamilan memasuki minggu ke-20 manakala 80 peratus daripadanya terjadi pada 12 minggu pertama (tiga bulan pertama).
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Rawatan Putra Su-ngai Buloh Datuk Dr Zarul Azham Zulkifli, keguguran adalah keadaan apabila kelahiran janin sebelum usia kandungan mencecah 24 minggu.
Biasanya ia ditandai dengan keadaan seperti pendarahan semasa awal kehamilan dan berpanja-ngan sehingga dua minggu, kesakitan pada bahagian rahim diikuti pendarahan secara berketul-ketul, lendir daripada faraj serta demam melebihi suhu 38 darjah Celsius. Justeru, wanita itu dinasihatkan segera bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan.
Walaupun di Amerika Syarikat mengklasifikasikan sebagai 20 minggu, penjagaan serta ubat-ubatan memungkinkan kandungan dapat diselamat-kan. Namun, di Malaysia kebanyakan keguguran berlaku pada atau sebelum tiga bulan mengandung dan ia dianggap biasa.
“Namun sekiranya wanita mengalami keguguran berulang sehingga tiga kali berturut-turut, ia dianggap tidak normal dan mereka perlu menjalani rawatan untuk mengenal pasti puncanya. Dalam keadaan biasa, keguguran normal berlaku hanya dalam 15 peratus saja, berbeza dengan keguguran berulang peratusannya sangat kecil iaitu satu peratus wanita saja mengalami masalah ini,” katanya.
Terdapat banyak sebab dikaitkan dengan keguguran dan hanya satu perempat daripada sesete-ngahnya tidak mempunyai sebarang masalah. Hanya Allah saja mengetahui sebab keguguran.
Namun, ada beberapa faktor yang boleh me-nyumbang kepada keguguran dalam tempoh trimester pertama (tiga bulan pertama) iaitu masalah pada kromosom.
“Kromosom ialah struktur sangat kecil dalam sel yang berperanan membawa banyak maklumat genetik (gen). Gen inilah yang menentukan sifat fizikal seseorang seperti jantina, warna mata dan rambut serta jenis darah. Lebih 50 peratus keguguran trimester pertama disebabkan masalah kromosom pada janin.
“Lazimnya, ketidaknormalan kromosom ini berpunca daripada sel telur atau sperma kurang baik yang mempunyai terlalu banyak atau sedikit kromosom.
Ketidaknormalan kromosom ini meningkat apabila wanita mengandung lewat usia dan mereka berisiko lebih tinggi mengalami keguguran,” katanya.
Hampir 15 hingga 20 peratus keguguran berulang disebabkan masalah pada rahim iaitu saiz dan bentuk yang tidak normal. Apabila ada spektrum dinding tambahan pada rahim ini, ia akan menyebabkan pembentukan embrio tidak terhasil atau terhenti pada peringkat awal. Walaupun pada awalnya telur atau ovum yang tersenyawa melekat pada dinding rahim, lama-kelamaan ia akan menyebabkan keguguran.
Contoh rahim yang tidak normal ialah parut akibat prosedur dilatation and curettage (D&C), ketumbuhan dalam rahim seperti fibroid yang membesar sama dengan saiz janin atau uterine septa. Gejala pangkal rahim longgar atau cervical incompetence juga boleh menjadi punca kepada keguguran berulang yang terjadi pada trimester kedua.
“Apa yang berlaku pada trimester kedua, pintu rahim menjadi longgar dan terbuka. Keadaan ini biasanya terjadi kepada wanita yang kerap bersalin, kecederaan pada serviks disebabkan proses D&C serta pembedahan. Keadaan ini menyebabkan keguguran berlaku dengan mudah,” katanya.
Keadaan kesihatan ibu ketika mengandung sama ada mengalami kencing manis yang tidak terkawal, masalah hormon, jangkitan, penyakit tiroid, lupus (SLE) dan penyakit autoimun yang lain juga boleh meningkatkan risiko keguguran.
Namun bagi mereka yang segera mendapatkan rawatan, ia mungkin boleh menyelamatkan kandungan.
Selain itu, sering kali terjadi sindrom antipospholipid iaitu sejenis antibodi yang mengganggu kandungan. Ia biasa dikesan terutama pada wanita yang mengalami keguguran berulang selepas mereka menjalani ujian.
Untuk itu, sejenis ubat akan diberikan bagi mengawal antibodi daripada terus mengganggu kehamilan sehingga menyebabkan janin gugur.
Jangkitan kuman pada faraj juga antara punca utama keguguran berulang. Ini kerana virus yang terdapat dalam faraj akan bertindak menyerang sehingga ke dalam rahim, sekali gus menyebabkan janin tidak dapat bertahan. Wanita yang kerap mengalami keguguran juga dinasihatkan supaya me-ngamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok, tidak mengambil dadah atau minum minuman beralkohol kerana kedua-duanya menjadi punca keguguran dan kecacatan bayi.
Ujian dan rawatan
Bagi keguguran kali pertama dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan, biasanya doktor tidak melakukan sebarang ujian kerana punca keguguran itu tidak diketahui walaupun ia mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan kromosom.
Namun sekiranya wanita mengalami keguguran berulang sehingga tiga kali, maka doktor menyarankan beberapa ujian untuk mengetahui puncanya. Ini kerana mereka masih ada harapan untuk hamil sekiranya punca sebenar keadaan ini dikenal pasti lebih awal. Antara ujian dan rawatan yang dapat diberikan adalah:
1. Ujian
– Ujian darah untuk me-ngesan ketidaknormalan kromosom pada ibu dan ayah (dipanggil kariotip), masalah hormon tertentu dan gangguan sistem imun pada ibu.
– Ujian ultrabunyi pada rahim.
– Histerokopi (melihat ke dalam rahim menggunakan alat khas yang dimasukkan melalui saluran peranakan)
– Histerosalpingongrafi (uji-an sinar-X ke atas rahim).
– Biopsi endometrium (di mana sedikit tisu diambil dari dinding rahim untuk memeriksa kesan hormon).
2. Pembedahan
Sekiranya wanita me-ngalami parut di dalam rahim atau rahim yang tidak normal, pembedahan mungkin dapat memulih-kan rahim supaya implantasi dapat berlaku dan janin dapat membentuk dengan baik.
3. Analisa kromosom
Sekiranya didapati wanita mengalami masalah kromosom, pakar genetik boleh menasihatkan cara terbaik untuk mengurang-kan risiko mendapat anak yang mempunyai masalah genetik atau cacat.
4. Ubat hormon
Terapi hormon boleh menolong mengembalikan ketidakseimbangan hormon.
5. Ubat anticoagulan
Sekiranya penyakit darah beku yang menyebab-kan keguguran berlaku, ubat anticoagulan mungkin dapat membaiki perjalanan darah dalam uri. Ubat aspirin dan heparin selalunya digunakan untuk merawat masalah ini.
6. Mengikat serviks
Bagi individu yang kerap mengalami keguguran pada semester kedua, kemungkinan mereka me-ngalami serviks yang longgar.
Doktor mungkin menyarankan satu prosedur dinamakan ‘cervical cerclage’ bagi merawat keadaan ini. Ia adalah prosedur kecil apabila pangkal rahim diikat dan dibiarkan sehinggalah kandungan berusia 36 hingga 38 minggu dan ikatan itu akan dibuka semula bagi memudahkan proses kelahiran.
Selepas keguguran
Mengikut amalan orang Melayu, wanita yang keguguran perlu berpantang sama seperti selepas melahirkan anak. Dari segi perubatan moden, berpantang sangat perlu terutama daripada mengadakan hubungan kelamin atau memasukkan sesuatu ke dalam faraj termasuk meng-gunakan tampon atau melakukan douche (memancutkan air ke dalam vagina untuk membersihkannya) sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Mereka juga tidak digalakkan berenang atau berendam dalam sauna panas. Sekiranya mengalami kesakitan pada bahagian bawah ari-ari sama seperti sakit ketika haid selepas menjalani D&C, segeralah bertemu doktor untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.
Wanita juga disaran untuk tidak mengandung selama dua hingga tiga bulan walaupun ada kajian menunjukkan tidak ada peningkatan risiko jika mengandung lebih awal, namun ia bagi memulihkan keadaan fizikal serta memberi peluang wanita berehat sepenuhnya. Bagi keba-nyakan wanita, haid mereka akan kembali dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas keguguran.
“Ini kerana biasanya badan wanita mengambil masa beberapa minggu sehingga beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya. Tempoh ini bergantung kepada lama seseorang itu mengandung (usia kandungan) sebelum keguguran berlaku.
Bagaimanapun, mereka tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk mengandung semula. Ini kerana pemulihan fizikal dan emosi sangat penting sebelum mereka meneruskan hasrat untuk hamil,” katanya. [hmetro]