Zaman sekarang ini, lelaki perempuan dah bekerja. Disebabkan itu, isu penjagaan anak menjadi suatu cabaran bagi mereka yang tidak mempunyai banyak pilihan. Ada juga yang fobia dan memang jenis tak percaya pada orang luar untuk jagakan anak.
5 SEBAB JANGAN ‘SUSAHKAN’ MAK AYAH SEBAGAI PENGASUH ANAK KITA
Tak dinafikan sesetengah orang tua memang tak kisah menjaga cucu kerana berasa sunyi dan ingin meluangkan masa senggang mereka. Namun begitu, ada beberapa sebab kenapa kita tak digalakkan untuk menjadikan mak ayah sendiri sebagai pengasuh anak-anak kita.
1. MAK AYAH TAK SAMPAI HATI NAK CAKAP NO
Pertama sekali, mungkin mereka sendiri keberatan untuk menjaga cucu walaupun mereka tak pernah cakap begitu. Bayangkan saja tubuh mak ayah kita yang sudah tua. Makin banyak penyakit datang bertandang. Sudahlah kita tak ambil tahu tentang penyakit dan ubat-ubatan mereka, ini pula mahu menambah lagi beban pada mereka.
Takkan tak faham, anak-anak kita aktif dan banyak ragamnya – kalau kita yang menjaganya pun dah rasa penat, mereka apatah lagi. Namun hati mak ayah biasanya lembut. Sebolehnya mereka tentulah mahu menggembirakan anak cucunya. Tak sampai hati nak cakap ‘tak nak’!
2. BERI PELUANG UNTUK MEREKA FOKUS BERIBADAH
Siapa kata mak ayah tak ada aktiviti sendiri bila duduk di rumah? Kalau boleh, mereka nak luangkan lebih banyak masa untuk beribadah, pergi berjemaah di masjid dan mengikuti majlis-majlis ilmu. Ada yang suka pergi melancong, memasak, bertukang, dan sebagainya. Bila ada masa terluang, banyak juga kerja rumah yang perlu diuruskan sehari-hari.
Walaupun mak ayah dah bersara dan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa, biarkanlah mereka. Mungkin itulah yang mereka idamkan daripada hasil kerja keras selama ini. Sejak dulu mak ayah dah penat mengasuh dan membesarkan kita adik-beradik, berilah peluang untuk mereka ‘bersara’ juga.
3. MAK AYAH BERHAK DIBERI NAFKAH, BUKAN GAJI
Sama ada mengupah mereka atau tidak, itu soal lain. Ibu ayah kita berhak mendapat nafkah daripada anak-anak sekiranya mereka berada dalam keadaan memerlukan dan anak-anak pula berkemampuan. Jadi penting untuk kita faham di sini bahawa kita sebagai anak sememangnya patut menjaga kebajikan mak ayah tanpa mengenakan sebarang syarat; seperti menggajikan mereka kerana menjagakan anak-anak kita.
4. MEREKA SUSAH NAK BERITAHU KALAU ADA APA-APA YANG TAK KENA
Dah menjadi lumrah datuk dan nenek tentu akan manjakan cucu, lebih-lebih lagi yang rapat dengan mereka. Berbeza dengan pengasuh, mereka yang mempunyai pertalian darah ini mungkin lebih sukar menegur jika ada sebarang kesilapan. Takut-takut tersilap cakap boleh buat merajuk, tak bertegur sapa, dan timbul salah faham. Biasalah kalau ada orang marah anak kita, mesti ‘sentap’ juga kan?
5. KITA PATUT BELAJAR BERDIKARI
Akhir sekali, berundinglah sesama suami isteri dan cuba selesaikan masalah ini sendiri tanpa melibatkan mak ayah. Kalau sementara, boleh dimaafkan juga. Tapi, jangan sampai mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka.
Belajarlah berdikari dan uruskan keluarga sendiri. Apa salahnya upah orang gaji kalau semua pengasuh tak ‘ngam’ dengan cara kerja kita. Taska pun dah banyak yang buat perkhidmatan penjagaan anak sampai ke petang. Zaman sekarang, dah banyak medium yang meluas boleh digunakan untuk mencari perkhidmatan asuhan yang berkualiti. Jadi, jangan gunakan alasan demi alasan untuk membebankan ibu ayah untuk menjaga anak-anak kita.