Penting bagi seorang suami mahupun isteri saling mempamerkan akhlak yang indah pada pasangan masing-masing. Ini kerana setiap pasangan suami isteri merupakan cerminan diri mereka.
Sebelum setiap pasangan mahu mencorakkan pasangan, adalah amat penting untuk mencorakkan diri mereka dahulu. Tidak ramai manusia yang suka dirinya diubah ataupun dibetulkan sekalipun mereka perlu diperbetulkan.
Itu hakikatnya. Namun apa yang boleh kita buat untuk mengubah karakter pasangan kita yang kurang baik ialah kita dahulu perlu mengubah diri kita.
Perkongsian pelakon Mustapha Kamal menerusi laman facebooknya ini boleh menjadi pedoman buat kita semua dalam melayari rumah tangga.
Isteri adalah cerminan suami
Cantik suamimu , cantiklah kamu . Elok suamimu , eloklah kamu . Beriman suamimu maka berimanlah kamu . Ahli syurga suamimu maka kamu jua ahli syurga . Begitu jua sebaliknya .
Wahai sang suami , jika kamu merasa isterimu sangat leceh , menyusahkan , keras kepala atau sebagainya . Maka , itulah diri kamu sendiri sebenarnya . Kamu yang telah mengajar , membentuk dan menyebabkan dia menjadi seperti itu .
” Lelaki yang hebat bukan yang dapat mengahwini perempuan solehah , tapi lelaki yang mengahwini wanita biasa dan berjaya bimbingnya menjadi perempuan solehah ” . InsyaAllah..
Wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).
Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).
Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.