Benarkah Kebaikan Suami Tidak Diterima Selagi Tidak Memberi Nafkah Kepada Isteri Dan Anak-Anak

Soalan:
Adakah amalan kebaikan seorang suami tidak akan diterima oleh Allah selagi dia tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak ?

Jawapan:
Kami mulakan jawapan bagi persoalan ini dengan menjelaskan berkenaan hukum seorang suami memberi nafkah kepada isteri terlebih dahulu.

Hukum memberi nafkah kepada isteri adalah wajib ke atas seorang suami. Di antara dalilnya adalah firman Allah S.W.T:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوف

Maksudnya: Dan (menjadi kewajipan) ke atas seorang bapa itu (untuk menyediakan) rezeki untuk mereka (ibu-ibu) dan juga pakaian mereka dengan cara yang makruf.
Surah al-Baqarah (233)

Berdasarkan ayat di atas, para ulama mengatakan bahawa wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata:

“Perintah melakukan sesuatu itu merupakan suatu larangan terhadap meninggalkannya”.

Justeru, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ianya ditinggalkan maka ia termasuk dalam perkara yang dilarang.

Bahkan berkata Imam Ibn al-Munzir Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawa ke atas seorang lelaki itu (kewajipan) untuk memberikan nafkah ke atas anak-anaknya yang tidak memiliki harta.

Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi S.A.W yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.
Riwayat Abu Daud (1692)

Kesimpulan:

Berkenaan dengan persoalan adakah seorang suami itu tidak diterima amalannya sekiranya tidak memberikan nafkah, maka kami tidak menjumpai sebarang nas yang boleh dijadikan sebagai sandaran bagi kenyataan tersebut.

Oleh itu, sekiranya sesuatu amalan yang dibuat oleh seorang suami itu dilakukan dalam keadaan yang ikhlas kerana Allah S.W.T serta bertepatan dengan Sunnah Nabi S.A.W maka ia dikira amalan yang diterima. Manakala perbuatannya tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak itu merupakan suatu dosa yang perlu ditinggalkan.

Akhir kalam, kami nasihatkan kepada para suami di luar sana supaya jangan sesekali meninggalkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Pimpinlah keluarga anda dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Baca dan hayatilah doa berikut:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.

Sumber:muftiwp

HUKUM NAFKAH SUAMI TERHADAP ISTRI – Ust. Khalid Basalamah

Author: JVC

Leave a Reply