Wahai Suami Jangan Main-main Naluri Isteri, Fikirkan Semula Sebelum Nak Curang

BEBERAPA hari lepas, saya duduk berborak dengan mereka yang sudah melimpah ruah pengalamannya mengenai hal ehwal wanita. Walaupun sudah masuk umur 43 dan sudah hampir 20 tahun berumahtangga tetapi bercampur dengan mereka, saya berasa diri seperti anak muda mentah.

Rupanya masih banyak yang saya tidak tahu mengenai wanita. Betullah seperti apa yang dikata oleh seorang kawan, wanita adalah makhluk yang dijadikan ALLAH dengan seribu satu misteri. Dan meneroka misteri wanita adalah pengembaraan hidup yang sangat menarik. Namun pengembaraan ini tidak ada destinasi muktamadnya sebagaimana misterinya wanita yang tidak pernah ada jawapan tuntas bagi setiap persoalan membabitkan mereka.

Dalam perbualan itu, berkatalah seorang daripada bijak pandai ini bahawa lelaki jangan berasa diri mereka sudah cukup pandai untuk menyembunyikan rahsia daripada isteri, terutama suami yang daripada spesis patin buah iaitu mereka yang mengamalkan cara hidup liar, bebas seperti patin yang di luar sangkar.

“Orang perempuan ni kita tak tau, instinct depa kuat. Apa yang kita buat di luar rumah, depa boleh rasa. Tinggal lagi sama ada depa nak bising atau tidak saja,” katanya.

Menyusul selepas, macam-macam pandangan dikemukakan. Ada yang mengatakan dalam pada suami yang jenis patin buah itu berasa mereka sudah cukup bijak menyembunyikan kegiatan kokurikulum daripada pengetahuan isteri, keharmonian rumah tangga sebaliknya berjaya dikekalkan hanya bersebab kesabaran isteri.

“Isteri ni… depa saja tak mau buat kecoh. Selagi mana dirasa apa yang dibuat suami di luar rumah tak menjejaskan depa, selagi itulah depa bertahan. Ada juga yang fikir, kalau depa bising, keadaan akan jadi lebih haru biru. Anak-anak macam mana?

“Bagi mak-mak ni, anak-anak lebih utama. Sebab itu depa diam. Walaupun makan hati, depa tak bising sebab depa tau, kalau depa bising, akibatnya mungkin lebih buruk untuk depa.” Demikian salah satu pendapat yang dikemukakan.

Menariknya, untuk mengiyakan lagi tajuk itu, seorang daripada rakan saya itu buat pengakuan. Katanya, pernah suatu ketika bekerja di luar kawasan, dia terserempak dengan kekasih lamanya sewaktu universiti dahulu.

“Nak jadi cerita, ex-girlfriend aku tu tak kahwin lagi. Bila dah terjumpa, dan aku pun tengok dia masih lawa, semangat lama pun datang balik. Kami pergi makan dan berborak agak lama. Kiranya dalam hati aku memang ada niat nak sambung balik apa yang sudah terputus.”

Namun dengan tidak semena-mena kata kawan saya itu, keasyikannya menganyam impian tiba-tiba tersentap apabila isterinya telefon.

“Sebelum tu, tak pernah sekalipun dia call waktu kerja. Biasanya bila kerja outstation, malam aku yang call dia untuk tanya khabar, tahu-tahu hari tu, entah macam mana dia teringat nak call aku pulak. Dan lagi yang paling tak sedap, dia tanya aku ok ke tak? Tiba-tiba saja. Bila aku tanya dia sebab apa tanya macam tu, dia kata, entah, tiba-tiba saja rasa tak sedap hati,” katanya.

Sejak itu, kata si rakan, jangankan impian jangka panjang, impian jangka pendeknya pun terus terhenti di situ juga. Taubat nasuha terus dia. Kawan saya itu bukan spesies patin buah tetapi patin sangkar!

Saya teringat satu cerita yang lain. Ini berkaitan hipnosis. Hipnosis biasanya dikaitkan dengan keadaan seseorang yang kelihatan seperti tidur tetapi tidak tidur. Adapun apa yang berlaku kepada seorang kawan seperti yang dia sendiri akui, bagi saya adalah paling ‘membahayakan’.

Katanya, pernah terjadi dalam keadaan tidak sedar, dia sendiri bercerita habis apa yang dilakukan di luar rumah kepada isterinya.

“Esoknya dia bercerita balik pada aku apa yang aku ceritakan pada dia, walhal masa itu aku tidur. Rupa-rupanya time aku tak sedar (tidur) tu, dia interview aku dan aku pun ceritakan semuanya. Sejak itu, nak tidur malam pun aku takut, takut kena interview lagi,” katanya disambut gelak ketawa kami semua.

Kepada suami-suami patin buah, berhati-hatilah ataupun kembalilah ke sangkar menjadi patin sangkar.

SUAMI CURANG (KelateCreativeTv)

Author: JVC

Leave a Reply