Inilah Cara Mudah Buat Mee Sendiri Walaupun Tak Ada Mesin. Sedap, Tiada Pengawet & Pewarna Tiruan

Ada masa-masa tertentu, tekak rasa teringin sangat nak makan mee. Tapi bila periksa barang dapur, memang tak ada langsung mee. Nak keluar ke kedai pula malas. Jadi, apa nak buat?

Inilah masanya untuk anda cuba membuat mee sendiri. Walaupun tak ada mesin khas, sebenarnya anda boleh membuat mee sendiri di rumah. Tak susah pun rupanya!

Kami kongsikan cara buat mee homemade hasil resepi asal Puan Fahrini Marsyaley. Langkahnya amat mudah dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang biasanya memang ada di rumah. Mari ikuti perkongsian beliau selengkapnya.

CARA BUAT MEE TANPA MENGGUNAKAN MESIN

Mee ’emergency’ ini saya buat, sebab nak makan sangat. Tapi, gara-gara tak ada mee langsung di rumah dan malas pula nak keluar pekan, saya pun cuba Google resepinya. Kebetulan semua bahan dah ada di dapur.

Tiba-tiba dapat idea dari langit. Jadi, apa lagi. Beraksilah saya walaupun saya tak ada mesin membuat mee. Saya canai doh pakai kayu pencanai, potong halus-halus pakai pisau, rebus dan tadaa siap mee goreng saya. Licin pula tu. Sedap, satu famili suka. Mee yang terhasil ala-ala kuey teow. Yang paling best, ianya buatan sendiri dan tak menggunakan sebarang bahan pengawet, pewarna, atau MSG. Pewarna cuma guna kunyit saja.

Ini saya senaraikan bahan dan langkah-langkah membuatnya.

BAHAN-BAHAN
*untuk hidangan 2-4 orang

  • 250gm tepung gandum
  • secubit garam
  • 1 biji telur ayam
  • 50ml air (tapi saya lebihkan sedikit sukatan supaya doh dapat di uli dengan baik)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit

CARA-CARA
1. GAULKAN BAHAN
Pertama sekali, gaulkan semua bahan sampai menjadi doh dan tak melekat di tangan.

2. BAHAGI DOH KEPADA BAHAGIAN KECIL
Seterusnya, potong doh kepada 4-5 bahagian.

3. CANAIKAN
Kemudian, canaikan satu-satu hingga nipis. Bila dah puas hati, potong halus-halus guna dengan menggunakan pisau.

Begini hasilnya.

4. REBUS
Pastikan air rebusan mendidih baru masukkan mee ke dalam air. Rebus dalam jangka masa seminit dua saja. Jangan terlalu lama ya, nanti mee jadi lembik.

Angkat dan toskan cepat-cepat di bawah aliran air paip sejuk supaya memberhentikan mee daripada terlebih masak. Ulangi proses ini hingga doh habis.

5. GORENG SEPERTI BIASA
Bila dah ada mee, bolehlah sediakan bahan untuk menggoreng mee seperti biasa. Letak bawang, ayam, telur, sawi, atau apa-apa saja yang ingin diolah mengikut menu pilihan. Bila dah masak, beginilah kejadiannya. Nampak sedap tak?

MEE HOMEMADE LEBIH SIHAT DAN SEDAP!
Bagi yang ada mesin membuat mee lagi senang. Masukkan saja ke dalam mesin. Memang cantiklah nanti kejadiannya. Oleh kerana saya tak ada mesinnya, sebab itulah saya cari idea ini. Alhamdulillah menjadi juga.

Terima kasih sahabat semua yang sudi membaca perkongsian saya. Alhamdulillah dapat share ilmu baru dengan anda semua. Selamat mencuba!

HOMEMADE EGG NOODLES or CARA MEMBUAT MEE KUNING/ MEE TELUR

Author: JVC

Leave a Reply