Inilah 8 Cara Hilangkan Kesan Kuning Pada Pakaian Yang Tersimpan Lama

“Elok-elok aku simpan baju Aina masa ‘baby’ dalam bekas bertutup, tak sangka pula ada kesan kekuningan macam ni. Dah cuci berkali-kali pun tak hilang. Apa lagi cara hilangkan kuning pada baju ni ya?”

Bagi ibu-ibu, tentu selalu mengalami masalah seperti ini, terutamanya ketika sedang mencari semula pakaian bayi sulung untuk dipakaikan kepada adik yang bakal lahir. Malah, baju dewasa, cadar katil, dan kain langsir juga boleh bertukar kekuningan apabila ianya tersimpan lama.

Antara puncanya mungkin disebabkan bekas protein daripada susu, muntah, atau peluh yang masih tertinggal pada fabrik. Walaupun telah dicuci, barangkali kesannya tidak dapat kita lihat pada mata kasar.

Jangan risau, pakaian tersebut masih boleh digunakan. Berikut adalah cara hilangkan kuning pada baju dengan menggunakan bahan semulajadi di rumah.

1. CUKA PUTIH & GARAM

Campurkan setengah cawan cuka putih bersama setengah cawan garam di dalam sebuah besen. Letakkan pakaian ke dalam besen dan gosokkan pakaian di dalam besen tersebut selama lebih kurang 30 minit. Kemudian, bilaskan seperti biasa menggunakan sabun pilihan anda.

Jika kesannya sedikit saja, anda boleh membuat pes dengan kedua-dua bahan seperti di bawah dan gosokkan pada pakaian.

2. UBAT GIGI

Ubat gigi boleh digunakan secara terus untuk menghilangkan kuning pada baju, dan sekaligus menjadikan warna pakaian menjadi lebih cerah. Seeloknya, gunakan ubat gigi jenis biasa, bukan jenis gel.

Caranya, sapukan ubat gigi pada bahagian yang terdapat kesan kekuningan dan gosok menggunakan berus gigi yang tidak digunakan. Dalam beberapa ketika, warna kuning tersebut akan hilang. Bilaskan pakaian seperti biasa untuk menghilangkan kesan ubat gigi.

Selain kesan kekuningan, ubat gigi juga berkesan menanggalkan kesan kotoran lain seperti lipstick, sos, dan kopi.

3. JUS LEMON

Keasidan dalam jus lemon bertindak sebagai bahan peluntur semulajadi yang membantu menanggalkan dan menghilangkan kesan kuning pada baju serta fabrik.

Perahkan sebiji lemon pada bahagian yang terkena kesan tersebut. Kemudian, jemurkan pakaian tersebut di bawah sinaran matahari sehingga kering. Setelah itu, cuci pakaian tersebut seperti biasa sama ada menggunakan cucian tangan mahupun mesin basuh. Kesan kuning akan hilang.

4. BAKING SODA

Baking soda juga merupakan agen pencuci semulajadi yang amat berkesan menanggalkan bau dan kotoran secara semulajadi. Caranya amat mudah, ambil sedikit baking soda dan campurkan dengan sedikit air. Kacau sehingga menjadi pes. Gosokkan pes ini pada baju dan bilas seperti biasa.

Untuk menggandakan keberkesanannya, anda boleh juga menggunakan jus lemon bersama yang dicampur dengan baking soda atau garam. Pes ini juga berkesan menghilangkan kesan deodoran yang melekat pada bahagian ketiak baju.

5. SABUN MANDI

Ramai yang mengatakan sabun mandi jenis ketul (bukan cecair) ini sangat efektif untuk menanggalkan kotoran dengan mudah, termasuklah kesan kuning pada baju. Tak kisahlah sabun jenama Fruitale, sabun Cap Kapak, Buruh, atau apa-apa saja. Sabun murah-murah pun boleh. Ternyata, ia memang berkesan!

Gosokkan saja ketulan sabun ini pada baju dan gosokkan dengan berus. Bilas seperti biasa. Kalau masih belum tanggal, parutkan sedikit sabun tersebut ke dalam besen berisi air. Tambahkan sedikit baking powder atau cuka pun boleh. Rendamkan selama 1-2 jam dan bilas.

6. DENTURE TABLET

Denture tablet adalah bahan pencuci dalam bentuk tablet untuk gigi palsu. Ia banyak dijual di farmasi dan bahan ini amat berkesan mencuci dan menghilangkan kotoran degil pada pelbagai permukaan, termasuklah fabrik.

Caranya, ambil 2 tablet pencuci ini dan larutkan ke dalam satu besen air. Rendamkan pakaian anda dalam larutan ini selama 8-12 jam. Cuci dan bilas seperti biasa dan anda akan mendapati kesan kekuningan tadi akan hilang sepenuhnya.

Menurut Reader’s Digest, tablet ini mempunyai banyak kegunaan lain seperti mencuci coffee maker, termos, kaca, cincin berlian, pasu, tandas, dan pinggan mangkuk enamel.

7. PENCUCI VANISH

Selain bahan di atas, anda boleh menggunakan serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.

Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan kuning, dan biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.

8. KERINGKAN DI BAWAH MATAHARI TERIK

Setelah membersihkan dan siap mencuci baju, jemurkan di bawah sinar Ultraviolet yang dipancarkan matahari. Ini merupakan cara memutihkan baju putih yang murah dan tersedia sepanjang tahun untuk kita di Malaysia!

SELAMAT UNTUK PAKAIAN BAYI

Itulah cara menghilangkan kuning baju menggunakan bahan-bahan semulajadi dan mudah didapati. Selamat digunakan walaupun untuk pakaian bayi. Selamat mencuba!

Author: JVC

Leave a Reply