BAGI sesetengah orang, memandu memang susah pada awalnya, tetapi menjadi semakin mudah apabila semakin kerap memandu. Bagaimanapun, ramai pemandu tidak sedar mereka sedang terbiasa melakukan tabiat buruk yang mampu merosakkan kereta.
Apabila menyentuh hal baik pulih kereta, semua orang tahu apa saja isu yang ada kaitan dengan kotak gear, gear atau transmisi memang menelan belanja mahal. Pastinya anda mahu lakukan sesuatu yang terbaik untuk melindungi bahagian kereta paling penting itu ataupun rela merana dengan jumlah bil tidak masuk akal.
Tahukah anda apakah tabiat memandu yang boleh menjahanamkan transmisi kereta? Mungkin anda boleh terus buat apa yang sudah biasa anda lakukan sambil menganggap tiada apa pun berlaku selama ini. Tetapi sekali terkena, menyesal pun tiada gunanya lagi.
Di bawah ini kami terjemahkan 5 tabiat buruk yang boleh merosakkan transmisi automatik kereta yang diolah daripada Engineering Explained.
* Pandu – D; Undur – R; Parkir – P
1. TURUN BUKIT DALAM GEAR ‘N’
Anda mungkin menggunakan posisi gear N ketika memandu menuruni bukit pada situasi tertentu, dan ramai pemandu tidak sedar mereka sedang melakukan aksi bahaya.
Dengan harapan dapat mengurangkan kos bahan api, pemandu biasanya akan membiarkan kereta mereka meluncur menuruni bukit tanpa perlu memijak pedal minyak. Tetapi, tahukah anda cara itu boleh memburukkan kondisi transmisi kenderaan, terutama apabila anda tiba-tiba memasukkan gear ketika kereta sedang bergerak laju?
Di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS), tabiat tersebut dianggap sebagai kesalahan dan boleh dikompaun kerana boleh mengundang bahaya. Ini kerana memandu dalam gear N ketika menuruni bukit membuatkan anda perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem brek selain menghilangkan fokus kawalan ke atas pengendalian kereta.
2. TIDAK BERHENTI SEPENUHNYA SEBELUM TUKAR GEAR
Dek mahu menjimatkan masa, gopoh atau mungkin tidak tahu, anda terus saja menukar gear daripada R kepada D, atau sebaliknya tanpa menunggu kereta berhenti terlebih dahulu. Jangan terkejut kalau ada sesetengah pemandu melakukan tabiat ini hampir setiap masa.
Setiap kali menukar gear, pengapit gelung transmisi (transmission band clamp) akan berada pada gear, tetapi jika anda tidak berhenti sepenuhnya, gelung transmisi itu sendiri yang berfungsi menghentikan kereta anda.
Disebabkan ia – gelung transmisi – tidak direka untuk berfungsi seperti sistem brek, anda sedang meletakkan tekanan yang tidak diperlukan ke atas transmisi. Menggantikan gelung tidaklah mahal, tetapi kerja mendiagnosis masalah itu yang menyebabkan ia mahal kerana memakan banyak masa dan usaha.
Biasakan diri membrek dan menghentikan kereta betul-betul sebelum bergerak daripada D kepada Ra atau R kepada D.
3. PECUT ALA DRAG GUNA ‘N’
Ini antara tabiat yang kerap dilakukan pemandu, iaitu memecut laju kononnya seperti seorang pelumba drag dalam posisi kereta berhenti atau gear N. Taktiknya, enjin dilahukan (rev) sehingga meter RPM mencanak naik sebelum memasukkan gear D bagi mendapatkan ekstra kuasa pecutan.
Ingat, apabila anda menukar gear selepas melahukan enjin, anda sedang meletakkan tekanan ke atas gelung transmisi, dan jika konsisten memecut cara ini, bersedialah mendapat resit bil bengkel yang tinggi.
Sebenarnya, melonjakkan kelajuan kenderaan daripada posisi berhenti boleh dilakukan tanpa tekanan ke atas transmisi dan merosakkannya. Anda sepatutnya biar saja kereta dalam D. Letakkan satu kaki pada brek, manakala satu kaki lagi memijak pedal minyak. (PENTING: Jangan ambil masa terlalu lama kerana kepanasan yang dibina juga mampu merosakkan transmisi). Angkat kaki daripada brek untuk menikmati lonjakan pecutan yang anda mahukan.
Menurut Jason Fenske daripada Engineering Explained, cara begini turut mengenakan tekanan ke atas transmisi, tetapi masih alternatif yang lebih baik berbanding memecut D daripada N.
4. ‘N’ DI LAMPU ISYARAT MERAH
[KONTROVERSI]
Dengan harga minyak semakin naik, carian dan usaha ke arah menjimatkan minyak seakan tidak pernah berakhir. Tetapi banyak perkara yang anda cuba lakukan untuk menjimatkan wang itu sebenarnya lebih cenderung mendatangkan keburukan dan masalah ke atas diri sendiri. Salah satunya ialah isu kontroversi seperti ini. Ada orang beritahu anda supaya meneutralkan gear untuk menjaga transmisi, tetapi Fenske pula berpendapat sebaliknya.
Selain cuba menjimatkan minyak, ramai pemandu percaya cara itu – letak posisi N setiap kali berhenti (DIULANGI: setiap kali) – boleh mengurangkan tekanan ke atas transmisi. Faktanya, salah!
Ini kerana enjin cenderung melahu lebih tinggi dalam posisi N berbanding D. Malah berpotensi menyebabkan masalah gelincir pada plat klac (melalui proses D-N-D), sekali gus menghauskan bahagian mekanikal tersebut.
Cara begini juga tidak menunjukkan perbezaan penjimatan bahan api yang ketara. Jika betul-betul mahu jimat minyak, caranya ialah mematikan terus kenderaan anda di lampu isyarat.
Anda sebenarnya tidak perlu pun menukar N setiap kali (DIULANGI: setiap kali) berhenti di lampu isyarat – atau ketika kesesakan – kerana proses anjakan D-N-D yang kerap itu boleh menyebabkan transmisi haus. Malah, berhenti dalam D, dengan membrek secara normal tanpa memijak pedal minyak tidak merosakkan transmisi seperti yang anda sangkakan.
5. TERUS TUKAR ‘P’ SEBELUM BERHENTI
Ia tidak ubah seperti melompat dari atas pelana kuda yang belum pun berhenti sepenuhnya. Silap haribulan, tulang anda patah.
Dalam situasi kereta, jika terus menolak gear pada kedudukan P, tuas parkir (parking pawl) akan berkait untuk menghalang kenderaan daripada bergerak. Jadi, meletakkan kereta sebelum berhenti boleh menyebabkan tuas parkir bertindak seakan brek dan boleh memusnahkan semua proses.
Berusaha mengubah tabiat buruk ini mampu memberikan kesan kepada bajet kewangan anda. Jadi sila beri perhatian tentang bagaimana menukar gear dengan betul. Ada cara yang lebih baik untuk anda menghentikan kenderaan sekiranya pedal minyak tersekat – atau dalam kecemasan.
Anda cuma perlu matikan kenderaan dan tekan brek perlahan-lahan. Ini akan memberikan anda hasil sama yang anda harapkan tanpa merosakkan sistem transmisi.
KESIMPULAN
Jika anda perasan, ada pelbagai isu tentang transmisi automatik yang kebanyakannya berpunca daripada tabiat buruk tanpa kita sendiri sedar. Jadi, setiap kali memandu, anda mesti selalu mengingatkan diri apakah cara anda memandu sedang perlahan-lahan merosakkan transmisi atau bahagian-bahagian mekanikal lain.
Tidak kira apa situasi, ingat perkara ini. Anda mesti sentiasa berhenti sepenuhnya sebelum menukar gear dan jangan tukarkan gear kepada N untuk jimatkan minyak. Sesetengah orang berjaya membuang tabiat itu dengan meletakkan nota kecil atas papan pemuka. Mungkin anda boleh mencubanya.
SUMBER: Proctocars Via Sumber: Petua Ibu