Meminta pertolongan dan meminta sesuatu dengan berdoa adalah antara cara yang terbaik kita boleh lakukan dalam mendekatkan diri kepada Ilahi. Ada ketikanya, dalam sujud terkakhir, dan doa selepas solat, kita akan mengambil masa yang panjang untuk berdoa kepadaNya.
Namun begitu, pernahkah terdetik di dalam hati, walau sedikit, di mana kita sering mempersoalkan mengapa doa yang diminta tidak pernah termakbul, sedangkan tidak pernah putus untuk meminta.
Dalam tidak sedar, kita sebenarnya telah dapat apa yang diinginkan, tapi kita rasa perkara tersebut adalah biasa sahaja. Mungkin dengan cara ini doa kita dimakbulkan.
“Lama dah aku doa,” bisik hati kau Tak pernah tinggal. Setiap sujud akhir, setiap lepas solat, dalam tahajud, dalam dhuha. Mulut dan hati kau sentiasa mengadu dan meminta. Tangan kau turut lenguh, menadah tinggi-tinggi di malam hari.
Kau terfikir, “Mengapa belum terkabul lagi?” Rasanya kau dah buat semua benda. Dosa-dosa besar kau tak buat. Sekali sekala terlajak, kau cepat-cepat istighfar.
Puas kau memerah otak. Apa lagi yang silap? Tiba-tiba kau tersentak, seperti ditampar-tampar. Sudah berapa lama kau tak ditimpa sakit? Kalau dulu, selang sebulan kau akan jadikan klinik dan hospital itu tempat persinggahan. Kereta dan motor kau juga, sudah lama tak meragam. Lancar. Tak banyak kerenah.
Kemudian kau teringat beberapa kali kau terselamat dari bala bencana dan kemalangan. Kereta kau hampir dilanggar, namun tak kena. Kau sendiri hampir menyondol orang, namun sempat brek.
Orang sekeliling kau melayan kau dengan baik. Tidak ada yang memusuhi kau, bahkan semakin ramai yang ingin berkawan dengan kau.Tanpa kau sedar, Tuhan telah lama menjawab doa dan rintihan kau. Cuma mata kau terlalu ralit dengan apa yang kau mahu, kau terlupa Tuhan telah cukupkan apa yang kau perlu.
Lalu kau tunduk, malu. Di atas hamparan sejadah itu, kau teresak-esak seorang diri. “Tuhan tidak pernah lupakan aku. Hanya aku yang jarang bersangka baik dengan Tuhan.”
Kita ini hamba yang terlalu kerdil dan hina, taatnya sedikit, sering merungut. Tuhan pula, sentiasa membuka pintu untuk kita memohon pada-Nya. Sabar dan gantunglah sepenuh harapan. Takkan Tuhan nak biarkan kau begitu saja.
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ أَبَدًا
“Wahai Tuhan yang Maha hidup, Maha Berdiri Sendiri dan tidak memerlukan kepada segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusanku. Janganlah kau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walau sekelip mata selama-lamanya.”
Sumber: Bahagian Dakwah JAKIM