Jika anak anda enggan makan, berusahalah untuk mencipta suasana makan yang menceriakan. Pada masa yang sama, pelbagaikan menu dan cara sajian makanan untuk mereka. Harus diingat, kepelbagaian makanan yang disajikan perlulah mengutamakan vitamin dan zat agar tumbesaran tubuh dan perkembangan minda kanak-kanak tidak terjejas. Kuantiti makanan yang diambil anak anda biarpun sedikit tetapi mestilah berkhasiat. Ini lebih baik daripada makan banyak tetapi tidak berzat.
Tip Makanan Untuk Anak Kurus :
– Pastikan anak diberi pelbagai makanan mengikut saranan Piramid Pemakanan Malaysia. Jangan beri anak makan makanan yang rendah lemak.
– Makanan tinggi kalori sangat sesuai untuk meningkatkan berat badan ke tahap yang normal.Beri anak makanan sekurang-kurangnya 5 hingga 6 kali sehari.
– Bekalkan anak snek sihat seperti biskut lemak, buah-buahan kering, sandwic dan kekacang setiap kali dia ke sekolah. Rehatkan anak anda daripada sebarang aktiviti sekurang-kurangnya 15 minit sebelum waktu makan.
– Elakkan memberi anak anda makanan yang tinggi kandungan gulanya seperti makanan ringan dan minuman berkarbonat.
Panduan Menggalakkan Anak Makan :
– Beri anak makan dalam keadaan tenang dan bukan marahkan dia setiap kali dia enggan makan.
– Sediakan sendiri makan untuk anak dan bukan dibeli di restoran makanan segera atau di gerai-gerai yang belum tentu berkhasiat.
– Sesibuk mana pun anda, pastikan seisi keluarga makan bersama-sama setiap kali tiba waktu makan agar anak anda lebih berselera.
– Sekiranya anak anda masih kecil, ajaklah dia makan sambil bersiar-siar di taman permainan agar dia rasa lebih selesa.
Makanan Khas Untuk Anak Kurang Berat Badan :
– Nasi atau bubur perlulah ditambah dengan ayam atau daging dan minyak.
– Roti mestilah dihidangkan bersama mentega, keju dan mentega kacang.
– Biskut kraker mesti dimakan dengan marjerin dan mentega kacang.
– Susu kosong ditambah dengan serbuk coklat.
– Telur rebus dihidangkan bersama mayones, keju dan mentega.
– Kentang rebus dilenyek dan ditambah dengan susu dan mentega.
Kenapa Anak Tidak Mahu Makan?
– Bermasalah dengan gigi.
– Bosan dengan makanan yang diberikan.
– Terlalu banyak bermain.
– Tidak ada kawan untuk makan bersama-sama.
– Tidak berselera untuk makan.
– Ibu bapa terlalu memaksa mereka menghabiskan makanan.
Semoga info ini membantu ?