Baca 5 Tip Ni Sebelum Hantar Telefon Anda Untuk Dibaiki

Dalam era zaman sekarang dimana majoriti orang memiliki telefon pintar, pasti akan banyak berlaku kes di mana skrin pecah kerana kecuaian kita. Apatah lagi apabila pengeluar telefon seolah berlumba-lumba untuk menggantikan material telefon pintar kita yang selama ini diperbuat daripada polycarbonate, sejenis plastik kepada material kaca bukan sekadar pasa skrin, malahan pada bahagian belakang badan telefon pintar kita juga.

Wujud banyak kedai membaiki telefon dengan pelbagai gelaran yang menawarkan perkhidmatan untuk membaiki telefon anda di depan mata anda dan boleh disiapkan dalam masa satu jam, bagi menambah keyakinan anda kepada pembaiki.

Bagaimanapun, pasti akan ada berlaku kes di mana pengguna perlu meninggalkan telefon pintar mereka dan setelah diperiksa, tiba-tiba muncul beberapa masalah lain yang sebelum itu tidak berlaku, tetapi hanya diberitahu setelah ditinggalkan di kedai membaiki.

Pengguna pasti akan merasa was-was kerana sudah banyak kes tiba-tiba banyak benda lain rosak walaupun pengguna hanya pada awalnya mahu menggantikan skrin yang pecah.

Berikut adalah langkah yang patut diamalkan oleh anda sebagai pengguna jika anda diminta meninggalkan telefon pintar anda atau tablet anda, di kedai. Saya tulis panduan ini dengan menganggap anda masih lagi mampu akses menu telefon anda.

1. Pastikan buang apa yang perlu dibuang

Kebanyakan kes penyebaran data yang tidak sepatutnya tersebar berlaku kerana pengguna terlupa untuk membuang data yang tidak sepatutnya dikongsi dengan pihak lain. Ini kerap berlaku pada kes baiki komputer dan telefon. Simpan data anda itu ditempat yang selamat serta log keluar semua akaun email dan stor aplikasi. Pastikan telefon kita kosong. SMS juga boleh disimpan di dalam storan awan.

Ini kerana untuk tujuan membaiki, pengguna perlu memadamkan kata atau kod laluan bagi membolehkan pembaiki mengakses telefon.

2. Periksa dulu peranti anda sebelum menghantar

Setiap telefon pintar kebanyakannya mempunyai peranti-peranti untuk bahagian berikut – skrin, skrin digitizer, pembesar suara, kamera, butang, pemancar wifi, pemancar bluetooth, pemancar data mobil, lampu dan beberapa jenis sensor yang mengukur segala macam benda.

Semak dahulu setiap satu sebelum menghantar telefon anda. Simpan rekod dan kenalpasti mana satu peranti yang bermasalah.

3. Periksa telefon bersama pembaiki

Tak banyak kedai mengamalkan perkara ini jadi saya harap benda ini boleh dijadikan amalan. Apa yang pengguna dan pembaiki boleh buat adalah dengan menyemak semula semua peranti yang disenaraikan di poin saya yang kedua, bersama-sama, sebelum telefon hendak diserahkan.

Pekedai patut menyediakan senarai bagi menjadi bukti mana satu peranti yang berfungsi dengan baik dan mana bahagian yang rosak. Ini penting bagi mengelakkan kes di mana pengguna merasa curiga dengan pembaiki yang tiba-tiba sahaja mengesan kerosakan-kerosakan lain yang pengguna sendiri sebenarnya tidak pasti ada. Pastikan juga kesan calar pada telefon diperiksa bersama pembaiki supaya segala kecuaian pembaiki dapat dikenalpasti.

4. Hanya pilih pembaiki yang menawarkan waranti

Alat ganti telefon pintar sebenarnya agak tinggi apatah lagi apabila melibatkan skrin atau kamera. Kebanyakan pembaiki pula tidak menggantikan bahagian yang rosak dengan alat ganti tulen tetapi memilih untuk menggunakan alat ganti yang disebut ‘grade A’ atau ‘copy ori’ atau apa saja frasa yang mereka cipta sendiri.

Pastikan anda mendapat waranti untuk mana-mana bahagian yang diganti kerana belanja yang anda keluarkan itu tetap perlu dilindungi risiko pembayaran anda, oleh pembaiki. Tak usahlah memilih pembaiki yang tidak mampu menawarkan waranti ke atas alat ganti kerana ini akan mengakibatkan anda hilang hak anda sebagai pengguna.

5. Jika anda rasa berlaku penipuan, jangan mengalah

Kisah-kisah pengguna yang seolah-olah terpaksa saja menerima barangan yang telah dibaiki walaupun sebenarnya tidak seperti dijanjikan masih lagi kerap berlaku. Kebanyakan peniaga yang tidak bertanggungjawab ini akan mengamalkan dasar lepas tangan kerana pada mereka, apabila dah dibaiki, cukuplah walaupun mungkin berlaku pemasangan yang tidak sempurna atau ada berlaku calar di bahagian yang sempurna sebelumnya.

Jangan mengalah. Jika anda rasakan berlakunya ketidak puas hatian dan peniaga tidak mahu bertanggungjawab, layari laman web eAduan, isikan borang yang diberikan dan ikutlah khidmat nasihat yang bakal diberikan.

 Begitulah serba sedikit nasihat yang saya rasakan berguna untuk orang ramai. Tips yang dikongsikan ini bukan sekadar sesuai untuk digunakan bagi kes telefon pintar malahan juga sesuai untuk kes baiki kereta, baiki komputer dan baiki alat elektrik.

Sebagai pengguna, anda perlu ketahui hak anda.

Sumber: Petua Ibu

Author: admin

Leave a Reply