Apakah Di Bolehkan Berdoa Agar Di Jodohkan Dengan Orang Yang Di Sukai?

Persoalan jodoh sebenarnya termasuk dalam perkara yang telah ditakdirkan, sama macam rezeki, ajal maut dan sebagainya. Jodoh termasuk dalam perkara ghaib yang siapa pun tak mampu mengetahuinya, termasuklah tukang tilik atau tukang karut.

Bila kita tak tahu persoalan jodoh, macam mana kita hendak tahu yang seseorang itu adalah jodoh kita atau bukan jodoh kita?

Adakah melalui firasat, tarikan hati, degupan jantung ketika bertentang mata, lambungan duit syiling bunga atau kepala?

Kalau kita tak tahu macam mana rupanya kereta, macam mana kita nak tahu pilihan kita adalah kereta proton dan bukannya BMW?

Sebab itu dalam persoalan jodoh ini, lebih mudah difahami kalau kita bandingkan dengan persoalan rezeki.

Rezeki juga telah ditetapkan oleh Allah semenjak kita dalam perut ibu lagi, tapi kita diperintahkan oleh Allah untuk bertebaran atas muka bumi ini untuk mencari rezeki.

Bahkan Allah juga menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha untuk mengubahnya.

Daripada sini, kita dapat memahami bahawa ada ketetapan (takdir), Qada Allah yang tidak akan berubah dan ada juga takdir yang boleh berubah, iaitu Qadar, bergantung kepada usaha kita (atas pilihan kita sama ada nak memilih yang itu atau yang ini).

Kita bukanlah berfahaman Jabbariah yang meyakini semua yang berlaku itu ditentukan oleh Allah dan tiada kaitan dengan perbuatan manusia, seolah-olah menunjukkan Allah itu kejam kerana telah menetapkan seseorang itu menjadi baik atau jahat, ataupun menjadi ahli syurga atau neraka tanpa diberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalannya sendiri.

Kita juga bukanlah berfahaman Qadariah yang meyakini segala perbuatan manusia tiada kaitan dengan takdir yang telah ditentukan Allah. Semuanya bergantung atas manusia itu sendiri.

Kita meyakini takdir Allah dan kita juga memahami kaitannya dengan amalan manusia kerana walaupun Allah telah mentakdirkan sesuatu, tetapi manusia mampu memilih sama ada untuk melalui jalan yang baik mahupun yang buruk dengan panduan akal dan hati, tempat letaknya ilmu dan iman.

Sama ada kita hendak menjadi seorang yang taat beribadah, atau menjadi ahli maksiat, itu adalah pilihan kita sendiri tanpa menafikan ia juga adalah takdir Allah.

Yang tidak boleh diubah adalah sesuatu yang di luar bidang kemampuan manusia seperti waktu kematian, pertukaran malam dan siang, pergerakan bintang dan sebagainya.

Berbalik kepada persoalan jodoh, ia sama juga kaedahnya seperti rezeki. Kita diperintahkan untuk mencarinya.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW menyuruh untuk memilih wanita (pasangan) yang beragama.

Ini menunjukkan bahawa ia juga satu usaha dan pilihan manusia untuk mencari pasangan yang beragama, bukannya sekadar menunggu jodoh turun daripada langit.

Begitu juga dengan rezeki, walaupun ia telah ditetapkan, kita tetap disuruh untuk mencari rezeki Allah di atas muka bumi ini.

Ikhtiar dan usaha kita ini adalah sebagai tanda ketaatan kita kepada perintah Allah, juga sebagai ujian terhadap kita sama ada kita meyakini rezeki yang kita cari itu adalah disebabkan usaha kita sendiri, ataupun kita meyakini yang rezeki itu datangnya daripada Allah.

Hasil keyakinan inilah yang akan membezakan kedudukan kita, sama ada syirik kepada Allah atau beriman kepada-Nya.

Jadi, oleh kerana jodoh itu juga sesuatu yang mampu kita usahakan, maka tiada salahnya untuk kita berdoa semoga disatukan dengan pilihan hati kita. Berdoa itu juga termasuk dalam usaha dan ikhtiar.

Namun, keyakinan kita tetap kepada Allah yang menetapkan jodoh. Seandainya kekasih hati itu menjadi jodoh, kita akan bersyukur dengan jodoh yang ditentukan Allah itu.

Jika ditakdirkan dia bukan jodoh, kita akan sabar dan redha kerana yakin jodoh itu ditentukan oleh Allah.

Namun begitu, daripada berdoa supaya seseorang itu menjadi jodoh kita, adalah lebih baik beristikharah memohon petunjuk daripada Allah.

Sebab ilmu dan pengetahuan kita ini sangat terbatas, ditambah lagi dengan dorongan nafsu yang kadang-kadang membutakan penilaian akal.

Kita cuma nampak apa yang zahir pada pandangan mata. Kita tengok jejaka itu putih melepak, mungkin kita menyangka beliau seorang pembersih, sentiasa wangi, ketiak licin, tapi mungkin hakikatnya bukan begitu.

Hanya Allah saja yang mengetahui sama ada seseorang itu baik atau tidak, layak dibuat pasangan atau tak.

Jadi, jika nak berdoa, berdoalah dengan penuh pengharapan dan penyerahan.

“Jika ditakdirkan dia adalah jodoh yang terbaik buatku, mudahkanlah urusanku untuk bertemu jodoh dengannya. Jika ditakdirkan dia bukan jodoh terbaik buatku, padamkanlah perasaan ini dan jauhkanlah aku daripadanya.”

Semoga memberi manfaat.

Author: admin

Leave a Reply