9 Cara Mudah Hilangkan Bau Hanyir Ikan Sebelum Dimasak

Bau hanyir ikan memang boleh menyebabkan selera makan terbantut. Sedap macam mana pun, kalau sudah ada bau hanyir, memang terpaksa tolak ke tepi! Sesetengah ikan meskipun baru tapi bau hanyir ni memang melekat terutama sekali kalau ikan sungai.

Sebab itu penting untuk mengetahui teknik yang betul bagaimana cara hilangkan bau hanyir pada ikan sebelum memasaknya. Ini 9 cara hilangkan hanyir ikan yang akan dimasak. Mudah saja, menggunakan bahan-bahan harian yang terdapat di pantri rumah.

1. RENDAM DALAM SUSU

Masukkan ikan yang sudah dibersihkan dalam susu dan biarkan seketika kemudian bilas dengan bersih. Susu mengandungi casein yang bertindak menghilangkan trimethylamine oxide yang menjadi penyebab kepada bau hanyir ikan.

2. SAPU DENGAN PES CAMPURAN SERBUK KUNYIT, GARAM DAN TEPUNG JAGUNG

Campurkan ketiga-tiga bahan di atas dan sapu pada ikan. Perap sehingga 30 minit atau lebih. Terpulang pada anda jika ingin membilas ikan sehingga bersih atau guna sahaja pes tersebut untuk menggoreng ikan.

3. GUNA CUKA

Campurkan cuka dalam air dan rendam ikan di dalamnya untuk seketika. Cuka dapat mengurangkan sehingga 50 peratus bau hanyir ikan. Selepas rendam, bilas dengan air bersih untuk menghilangkan bau cuka.

4. PASTIKAN IKAN DIBERSIHKAN DENGAN BETUL

Buang segala organ dalaman, insang dan membran putih yang terdapat dalam bahagian dalaman ikan. Apabila dibersihkan dengan betul, ia dapat mengurangkan bau hanyir.

5. DAUN JAMBU BATU

Ambil beberapa helai daun jambu batu, bersihkannya, kemudian ramaskan daun dalam bekas yang berisi air. Lepas itu, masukkan ikan ke dalam bekas berisi air daun jambu batu tadi atau tuangkan air tersebut dalam bekas yang berisi ikan.

Daun jambu batu mungkin susah sedikit untuk didapati bagi yang tinggal di bandar. Tapi, bagi yang ada, manfaatkanlah ia kerana ia memiliki pelbagai khasiat juga!

6. TITISKAN JUS LEMON

Titiskan sedikit jus lemon pada ikan. Biarkan ia meresap baru dibilas dengan bersih. Kalau tiada, boleh juga gunakan limau purut.

7. RENDAM DALAM AIR GARAM

Selepas dibersihkan, rendam ikan dalam air garam selama 15 minit. Semua bau hanyir akan hilang.

8. GUNA HALIA

Halia bukan sahaja menghilangkan bau hanyir malah membuang toksin yang ada pada ikan. Caranya, cincang halia halus-halus dan sapu pada ikan. Biarkan selama 30 minit.

9. SAPU MINYAK BIJAN

Sapu minyak bijan pada ikan dan biarkan seketika. Minyak bijan menghilangkan bau hanyir dengan cepat.

HIDANGAN IKAN LEBIH MENYELERAKAN

Mudah saja cara hilangkan hanyir ikan sebelum dimasak, bukan? Ikan perlu diambil dalam diet seharian adalah sumber protein yang baik untuk kesihatan. Oleh itu, jangan sebab hanyir, anda menjauhi daripada memakan ikan. Bahkan, anda patut lebihkan makan ikan daripada ayam ataupun daging.

Sumber: Petua Ibu

Author: admin

Leave a Reply