Tanam Pokok Cili Nampak Mudah, Tapi Eloklah Pekebun Di Rumah Ambil Tahu 5 Masalah Asas Tanam Pokok Ni

Siapa kata tanam pokok cili ini semudah ABC? Haaaa… kalau tangan anda jenis sejuk pun, anda patut berhati-hati dengan masalah normal yang anda akan hadapi ini. Untuk lebih faham mengenai masalah tanam pokok cili, baca penjelasan penuh daripada Izham Alias yang ditulis di laman KEBUN BANDAR ini…

Pokok cili adalah antara pokok yang banyak cabarannya. Ia bukanlah tanaman yang mudah ditanam seperti kangkung, bayam dan sawi. Cabarannya bermula dari semaian sehinggalah menuai. Kalau nasib baik, dapatlah kita gunakan cili itu dalam masakan. Kalau tidak, kecewa tak berlagu.

Sesiapa yang pernah menanamnya pasti akan mengalami lma masalah lazim yang saya nyatakan ini. Saya berharap panduan mengenalpasti masalah dan cara penyelesaian ini dapat membantu anda sepanjang menanam pokok cili.

1. Buah busuk dan gugur

Kita melihat buah cili merimbun, hati kita trut berbunga ingin menuai cili bila tiba masanya. Apa bila tiba harinya untuk kita mengutip hasil, kita terkejut. Banyak buah gugur dan busuk. Oh, kecewanya hati!

Punca:

Cuba perhatikan pada buah cili, koyak dan lihat isi dalamnya. Adakah ada ulat di dalamnya? Jika ya, itu tandanya pokok cili anda telah diserang LALAT BUAH!

Lalat buah atau Batrocera latifrons menyerang mana-mana pokok berbuah yang ada. Ia akan menyuntik telurnya pada buah. Apa yang menarik, telur lalat buah ini akan menetas tepat pada masa buah mula meranum masak.

Cara Penyelesaiannya:

  1. Gunakan pelekat kuning. Pelekat kuning ini akan menarik dan memerangkap lalat buah.
  2. Sembur racun organik pada awal pagi sepanjang pokok cili berbuah.
  3. Balut buah cili sebaik sahaja putik buah kelihatan.
  4. Buang dan bakar cili yang telah busuk itu.
  5. Pastikan keadaan sekeliling kebun atau rumah kita bebas daripada buah busuk. Ini tidak kiralah pokok buah-buahan yang lain.

2. Bunga luruh

Normal untuk pokok cili gugur bunganya pada kali pertama berbunga tetapi anda patut risau kalau berlaku lebih daripada 3 kali. Bunga cili boleh gugur akibat kekurangan atau terlebih siraman. Oleh itu pastikan air secukupnya sahaja. Gunakan medium tanah yang sesuai seperti campuran tanah 3:2:1 jika bercucuk tanam di dalam pasu.

Baja merupakan unsur penting agar pokok berbunga dengan banyak. Apabila pokok kekurangan nutrien, maka perkara pertama yang akan pokok buat adalah menggugurkan bunga. Jadi pastikan anda telah membaja dengan cukup pada pokok cili.

3. Daun kerinting dan luruh

Apabila daun kering kerinting dan luruh, perkara pertama yang biasa saya buat adalah melihat di bawah daun pokok cili terutama daun tua di bahagian bawah pokok.

Jika dilihat dengan teliti anda akan nampak bintil-bintil hitam dan warna putih seakan tepung melekat di bawah daun. Itu adalah afid dan lalat putih. Kedua-dua serangga ini cukup suka hinggap pada pokok cili. Mereka akan menghisap pokok dan seterusnya membuatkan pokok diserang penyakit.

Kehadiran serangga perosak ini membuatkan pokok mula tidak sihat. Kita dapat lihat daun mula kerinting dan gugur. Akhirnya tinggal rangka sahaja tanpa sebarang daun.

Penyelesaian:

Anda cuma perlu sembur racun organik di bahagian bawah daun seawal pagi selepas subuh atau lewat petang sebelum maghrib. Kekerapan semburan sebolehnya 3 kali seminggu sehingga serangga hilang.

4. Ada semut hitam pada pucuk, bunga, buah dan daun

Semut adalah kawan baik kepada kutu daun atau afid. Apabila saya melihat semut pada sekitar pokok cili, saya tahu itu adalah tanda pokok telah dihinggap kutu daun. Jadi anda perlu rujuk kembali poit no.3.

5. Pokok mati setelah mula berbunga atau buah

Soalan pertama saya adalah biji benih diambil dari mana? Jika dijawab dari dapur tentunya saya akan terus dapat jawapan yang pokok anda tanam akan mudah mati.

Buah cili yang kita beli itu adalah buah daripada pokok cili generasi FF1, jadi benihnya akan tumbuh sebagai generasi F2. Kelemahan uatama generasi F2 adalah mudah diserang penyakit dan perosak. Sebab itulah pokok itu mati akibat daripada serangan bakteria pada akar.

Untuk atasi masalah ini, lebih baik anda gunakan biji benih berkualiti yang jenamanya telah dipilih dengan teliti oleh pengeluar biji benih agar pokok tumbuh dengan sihat!

Itulah 5 panduan ringkas yang dapatsaya berikan berkaitan masalah-masalah yang sering pekebun rumah hadapi sepanjang menanam pokok cili.

Author: JVC

Leave a Reply