Soal Jawab:Dua Tahun Tak Datang Haid

Dua tahun tak datang haid


Selepas bersalin anak kedua, saya tidak didatangi haid dan kini sudah masuk dua tahun setengah.

Untuk pengetahuan doktor, saya mengambil pil perancang (Noriday) dan memberikan susu badan sepenuhnya pada bayi. Adakah normal bagi saya mempunyai masalah lambat didatangi haid ini? Harap doktor dapat memberi penerangan.

Jawapan

Hormon prolaktin bertanggungjawab dalam penghasilan susu badan. Peningkatan hormon prolaktin boleh menyebabkan ketiadaan haid. Namun, peningkatan hormon prolaktin boleh juga disebabkan oleh penyakit lain di dalam kelenjar pituitari otak kita.

Walaupun wanita yang mengambil pil terbabit boleh mengalami ketiadaan haid, ia lebih jarang. Selain itu, jika anda tidak mengambil pil berkenaan mengikut aturan (sama waktu setiap hari), kemungkinan kehamilan perlu difikirkan setiap kali anda tidak didatangi haid.

Ini tambah menyukarkan pemantauan. Jika anda sudah menjalani pemeriksaan pakar sakit puan berhampiran dan didapati tidak mempunyai penyakit berkaitan ketiadaan haid mahupun kehamilan dan anda mengambil pil ini mengikut aturan, tiada yang perlu dibimbangkan.

Namun tidak salah jika anda tetap menjalani pemeriksaan doktor setiap tiga hingga empat bulan sekali.

Oleh Dr Adilah Ahmat

Author: admin

Leave a Reply