Resepi Pertama Kali Dikongsi Oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ‘Nasik Lemok Ikang Aye’ Di Geng Suami Masak

Setelah sejak kira-kira setahun SMAHI ditubuhkan, akhirnya pada malam tadi group ini telah menerima ‘kunjungan’ daripada bekas menteri agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri buat pertama kalinya.

Perkara tersebut diumumkan oleh pentadbir (admin) yang juga selaku pengasas SMAHI, Rodk Raymee dalam satu pengumuman di groupnya.

Justeru itu selang beberapa jam sahaja, bersempena dengan penampilan pertamanya dalam SMAHI, Dr. Zulkifli membawakan perkongsian resipi pertamanya berupa makanan tradisi Terengganu, iaitu ‘nasik lemok ikang aye’.

Jom ikuti perkongsian resipi oleh Dr. Zulkifli di bawah ini. Oh ya, beliau menulis dalam loghat Terengganu kalau tak faham boleh komen untuk sebarang pertanyaan. Selamat mencuba!

Resipi ‘nasi lemok ikang aye’

“Terima kasih terima saya untuk masuk group ni. Hari ni nak kongsi resepi sambal Nasik Lemok Ikang Aye.

“Istimewanya sambal Nasik Lemok Ikang Aye ni, mesti ada ikang aye (ikan tongkol). Kemudian bawang merah, bawang putih, asam keping, gula melaka, asam jawa, belacan, garam, daun pandan, cili boh.

“Kukus ikang aye, lapik dengan daun pisang dan tutup daun pandan. Blend bawang merah, bawang putih, belacan, cili boh dengan air asam jawa. Tumis bahan-bahan ni sampai pecah minyak.

“Masuk daun pandan, asam keping, gula melaka, garam, gula dan perasa sikit. Masak sampai betul-betul pekat, pecah minyak, kemudian baru masuk ikang aye,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Menariknya, selain sudi membawa resipi tradisi Terengganu, Dr. Zulkifli juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu mengenai kebaikan para suami terhadap isteri dalam kehidupan berumahtangga.

Pesan Dr. Zulkifli, “Hidup rumahtangga ni kena saling bantu membantu suami isteri. Kerja rumah itu bukan kewajipan isteri tapi atas sifat ihsannya dan kasih sayang yang Allah kurniakan kepada isteri, isteri buat kebanyakan urusan tu.

“Justeru, untuk bahagiakan isteri antaranya kita niat belajar memasak walaupun sikit. Insya-Allah berpahala. Bagus ada group macam ni. Sama-sama belajar masakan semua bangsa. Kita ringankan tugas isteri dan…biasanya kalau suami masak, kadang-kadang lagi sedap dari isteri masak!” tambahnya.

Kehadirannya selaku mantan mufti Wilayah Persekutuan serta bekas menteri agama itu dipercayai mampu menambahkan lagi ‘seri’ dalam group tersebut.

Rata-rata warga SMAHI berpendapat, selain dapat saling bertukar resipi masakan, dalam masa sama mereka juga boleh menimba ilmu yang dicurahkan oleh Dr. Zulkifli sendiri.

Sumber: SMAHI

Author: admin

Leave a Reply