LANGKAH PERTAMA MENUJU BAHAGIA DALAM PERHUBUNGAN
Sudah menjadi lumrah dalam perkahwinan kini, kita akan sentiasa mengeluh tentang pasangan kita yang tak menepati kehendak hati. Sebelum kahwin, bayangan selepas kahwin semuanya indah belaka. Tetapi apabila realiti mencengkam kehidupan berkahwin, barulah terasa rupanya, berkahwin ini tidaklah seperti yang diimpikan.
Satu kesilapan saya suatu ketika dulu, yang menjadi ibu yang melahirkan pelbagai masalah rumahtangga, adalah MENGHARAP pada pasangan. Membayangkan pasangan jadi seperti yang kita impikan dan menjadi segala-galanya untuk kita, hakikatnnya ternyata tiada manusia yang sempurna yang mampu memenuhi segala yang kita mahukan.
Bila kita meletakkan harapan bahagia perkahwinan kita di tangan pasangan kita, akhirnya kecewalah yang menjamah diri dek kerana pasangan kita yang banyak kelemahan itu dan ini. Sebaliknya, pernahkah kita melihat pada kelemahan kita sendiri yang banyak mengecewakan pasangan? Tidakkah kita merasa berdosa kerana tidak berusaha menjadi seorang suami persis Rasulullah, yang sentiasa berlembut dengan isteri? Tidakkah kita merasa berdosa kerana tidak cuba untuk menjadi isteri persis Siti Fatimah yang tidak berani meminta apa-apa dari suaminya walaupun sudah menggigil kelaparan akibat tidak makan selama 3 hari kerana tiada apa yang boleh dimakan di rumahnya?
Dengan nama Allah, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Adakah kita telah beri yang terbaik pada pasangan kita? Pernahkah kita peluk dan cium isteri kita tatkala si isteri sedang menyiksa hati kita? Pernahkah kita merangkul tangan suami sambil menangis meminta maaf pada suami kerana tidak taat padanya?
Percayalah, sebaik-baik balasan nikmat adalah dari Allah, bukan dari pasangan kita. Jangan mengharap pengorbanan kita dihargai pasangan, tetapi haraplah pengorbanan kita akan dibalas dengan hadiah dari Allah yang jauh lebih membahagiakan.
Semoga hidup kita terus dirahmati Allah.