Orang sekarang ramai sibuk nak putih. Bukan muka saja nak putih, gigi pun samalah nak putih. Maka tak hairanlah macam-macam produk dah mula dicipta dan dijual di pasaran untuk tujuan ini.
Walaubagaimanapun, kebanyakan produk menggunakan bahan kimia ‘peluntur’ untuk memutihkan gigi dan tentu sekali ini akan menyebabkan pengguna berasa ragu-ragu untuk mencubanya. Harganya pula tidaklah murah. Perbelanjaan untuk rawatan atau produk sebegini boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.
Jika anda mahu mendapatkan gigi yang lebih putih tetapi mahu melakukannya secara selamat, cubalah beberapa bahan serta tips semulajadi ini.
KENAPA GIGI MENJADI KUNING?
Sebenarnya gigi yang sedikit kuning adalah normal. Ini kerana, apabila seseorang semakin meningkat dewasa, permukaan gigi akan menjadi haus dan mendedahkan struktur dentin yang berwarna kekuningan. Sebab itulah gigi orang dewasa akan nampak lebih kusam berbanding kanak-kanak.
Namun di samping itu, terdapat beberapa makanan yang boleh memberi kesan kekuningan pada enamel, iaitu lapisan paling luar pada gigi. Plak yang terhasil pada gigi juga boleh menyebabkan gigi menjadi kuning. Jika gigi anda menjadi kekuningan disebabkan 2 faktor ini, anda boleh mengatasinya dengan beberapa cara seperti di bawah.
1. MENGUNYAH MAKANAN ‘PENCUCI MULUT’
Mengunyah makanan seperti epal, sayur saderi (celery) atau lobak merah dikatakan dapat menjadikan gigi lebih putih disebabkan teksturnya yang berserat.
Dengan mengunyahnya sebagai snek, anda dapat membersihkan sisa makanan yang terlekat antara gigi dan serta mengesat plak-plak kekuningan yang terhasil di celahannya. Selain menjadi snek yang sihat untuk tubuh, anda juga dapat memiliki senyuman yang bersinar!
2. BAKING SODA
Antara petua memutihkan gigi yang paling popular adalah dengan menggunakan baking soda. Caranya, bancuhkan suku sudu teh baking soda dengan sedikit ubat gigi. Beruskan gigi seperti biasa dan bilas dengan air. Lakukannya sekali seminggu atau setiap 2 minggu.
Jangan berlebihan ya sebab penggunaan baking soda secara melampau juga dikatakan boleh menghakis enamel gigi anda.
3. GARAM
Penggunaan garam dipercayai mampu menambah sumber mineral pada gigi dan sekaligus menyerlahkan lagi warna putihnya. Caranya adalah dengan menyapukan garam pada gigi seperti langkah menggunakan baking soda di atas. Kemudian berus dan bilasnya seperti biasa.
Sekalipun dapat bertindak sebagai antibakteria, elakkan membubuh garam pada bahagian gusi kerana ia boleh menyakitkannya.
HADKAN KOPI & MINUMAN BERGULA
Kopi adalah salah satu musuh ketat gigi anda yang terkenal sebagai punca gigi kuning selain rokok dan minuman bersoda. Hal ini bukanlah bermaksud anda perlu mengelakkannya 100%, namun anda mungkin boleh mengehadkan kuantiti pengambilannya setiap hari.
Ini kerana minuman dan makanan bergula boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria Streptocuccus Mutans, iaitu bakteria utama penyebab plak dan gingivitis yang merosakkan gigi serta menjejaskan keputihannya.
3. GUNA STRAW KETIKA MINUM
Kalau nak elak gigi cepat kuning, minum minuman bergula atau kopi melalui straw kerana tindakan ini dapat menghindarkan direct contact dengan gigi. Kalau tak ada straw, cuba pastikan mulut anda dibilas selepas 30 minit menikmati minuman tersebut.
4. AMBIL MAKANAN BERKALSIUM TINGGI
Sesetengah gigi berubah menjadi kekuningan disebabkan lapisan enamel yang terhakis sehingga mendedahkan lapisan dentin di bawahnya yang berwarna kuning. Oleh itu, pengambilan makanan berkalsium tinggi seperti susu, keju dan brokoli boleh mambantu mengelakkan hakisan dan sekaligus mengekalkan keputihannya.
5. BERUS & FLOS
Jangan pandang rendah kepada rutin memberus dan membersihkan gigi dengan flos. Ubat gigi dapat membantu mengeluarkan kotoran daripada gigi manakala penggunaan flos dapat mengeluarkan sisa makanan dengan berkesan.
Sesetengah makanan yang terlekat di celah gigi tidak dapat dibersihkan dengan sempurna menggunakan berus gigi. Makanan yang terbiar lama di celahan boleh menghasilkan bakteria dan plak gigi.
RAWATAN PERGIGIAN YANG BOLEH DIDAPATI DI KLINIK
Proses pemutihan gigi boleh dilakukan di klinik, namun ia melibatkan penggunaan bahan aktif iaitu hidrogen peroksida. Bahan ini menghasilakan radikal bebas yang mampu bertindak untuk melarutkan warna kuning pada permukaan gigi.
Sungguhpun sangat berkesan, namun ia perlu dilakukan oleh pegawai pergigian yang bertauliah. Seeloknya, prosedur pemutihan gigi ini juga hanya patut dilakukan untuk keadaan tertentu sahaja. Jangan jadikan ia satu amalan harian kerana ia tidak sihat untuk kesihatan gigi.
Selain itu, elakkan membeli ubat pemutihan gigi di farmasi atau secara online tanpa mendapat nasihat doktor / pegawai pergigian. Ini kerana konsentrasi kandungan bahan aktif yang berbeza di dalam ubat-ubat tersebut akan memberi kesan sampingan yang mungkin lebih buruk kepada pengguna
*Sumber: Reader’s Digest, The Malaysian Medical Gazette, HealthLine.com