Jangan Buang Dulu, Ini 5 Idea Selamatkan Kek Yang Bantat & Tak Naik

Bukan semua orang pandai buat kek. Bagi first timer terutamanya, kebarangkalian nak dapatkan kek gebu macam di kedai tu mungkin susah sikit walaupun kita dah ikut resepi sebiji-sebijiSelalulah kita dengar orang komplen kek yang dia buat tak jadi, bantat, tak naik, keras, mendap dan sewaktu dengannya.

Secara teknikalnya ada macam-macam punca kek tu bermasalah. Tapi dalam artikel kali ni kita bukan nak cerita tentang punca kek tak jadi, tapi kita punya fokus lebih kepada ‘misi menyelamat’. Yelah, nak mengubat hati yang duka lara dek mengenangkan kek yang tak jadi tu. Mana tak frust bila dah labur duit beli bahan-bahan semua jenis kualiti, kononnya nak dapatkan hasil yang terbaik. Lepas tu tunggu kek masak dengan penuh harapan sambil terbau aroma sedap… Tengok dalam oven elok je naik tadi. Tapi tiba-tiba dah angkat keluar, boleh pulak dia mendap balik!

Jangan risau, anda hanya perlukan sedikit kreativiti dan beberapa bahan mudah supaya kek yang bantat tadi kita boleh olahkan semula menjadi beberapa jenis dessert menarik.

5 CARA KREATIF ‘SELAMATKAN’ KEK YANG BANTAT & TAK NAIK

1. BUBUH TOPPING ALA BROWNIES

Mungkin ada kek yang kita buat tak jadi tu rasanya masih sedap, cuma ada bahagian yang tak berapa jadi, permukaannya tak rata dan sebagainya. Anda boleh alter kek tu dengan menambahkan topping coklat ganache, sos karamel, cream cheese, peanut butter, whipping cream, taburan keju parut atau kekacang ala brownies. Sebabnya brownies ni pun sebenarnya macam kek yang tak naik juga, kan? Kalau rasa ada bahagian tak rata atau kurang comel, bolehlah potong ikut bentuk yang kita nak. Mesti nampak lebih menyelerakan!

2. KEPALKAN JADI CAKE POP / BEBOLA COKLAT

Kalau rupa kek kita yang bantat tu memang tak boleh nak diselamatkan lagi, ada juga cara lain yang lagi senang iaitu dengan mengolahnya menjadi cake pop atau bebola coklat.

Tahu tak cake pop ni apa? Lebih kurang macam lolipop, tapi isi dia kek dan luarnya bersalut coklat. Nak lagi menarik, bolehlah tambahkan stick macam lolipop tu supaya lagi cantik dan senang nak makan. Kalau tak ada, buat jadi bebola pun ok sangat dah.

Caranya, potongkan kek yang tak jadi tu kecil-kecil dan lepastu hancurkan. Lepas tu kepalkan dengan tangan menjadi bentuk bebola. Kemudian, celupkan atau curahkan coklat yang dah dicairkan ke atasnya. Akhir sekali, sejukkan dalam peti sejuk dan tunggu coklat dan kek tu keras. Siap! Budak-budak mesti suka.

3. LAPISKAN DENGAN AISKRIM ALA PARFAIT

Parfait ni sejenis dessert sejuk yang selalunya dihidangkan dalam gelas atau bekas kaca. Kalau nak ikutkan, parfait ni asalnya menggunakan bahan asas seperti aiskrim, meringue, dan buah-buahan segar. Tapi kini ia telah banyak diubahsuai dan menggunakan pelbagai bahan lain.

Caranya senang sangat, anda boleh masukkan kek yang dipotong kecil ke dalam bekas atau gelas, kemudian lapiskan dengan aiskrim vanila. Boleh ulang lapisan ni 2,3 kali kemudian taburkan dengan buah-buahan segar. Kalau malas, nak buat 1 layer saja pun dah cukup sedap tau. Kalau kita buat kek buah, boleh juga gabungkan dengan yogurt.

4. GUNA SEBAGAI BASE PUDING TRIFLE 

Yang ini pun lebih kurang macam buat parfait, tapi lain sikit. Dengan kek bantat tadi, kita boleh buat puding trifle, iaitu sejenis puding yang asasnya ada 3 tingkat – kek, kastad, dan jelly buah-buahan.

Untuk buat puding ni, biasanya lapisan paling bawah ni orang akan gunakan kek span atau kek gulung. Tapi memandangkan kita dah ada kek tadi, kita cuma perlu tambah lapisan kastad dan jelly di atasnya.

Nampak macam susah, tapi sebenarnya simple saja. Untuk buat adunan kastad, anda perlukan masakkan susu cair, sedikit gula, dan sedikit air di atas api. Lepas tu, bancuhkan dengan tepung kastad hingga melarut. Bila kastad dah agak mengeras, boleh susun apa-apa jenis buah-buahan. Kemudian, buat lapisan ketiga iaitu jelly. Guna jelly segera yang jenis serbuk tu mudah. Cuma masakkan jelly dengan membancuhnya bersama sukatan air mengikut arahan pada kotak dan siramkan ke atas lapisan kastad.

Biarkan sejuk seketika dan masukkan dalam peti sejuk. Walaupun kek tadi kurang menjadi, tapi lepas dikombinasikan bersama kastad dan jelly – memang ummpphh!

5. POTONG KECIL & BAKAR SEMULA JADI BISKUT

Satu lagi cara yang menarik anda boleh buat dengan kek yang tak naik tadi ialah transform menjadi biskut atau biscotti.

Senang sangat dan confirm tak membazir, caranya pun mudah. Mula-mula potong kecil atau nipis ikut citarasa anda. Kalau rasa perlu boleh tambah coklat atau taburkan chocolate rice dan sebagainya. Kemudian bakar lebih kurang dalam 20 minit pada suhu 140 darjah atau ikut oven masing-masing. Bila ada bau macam dah garing boleh tutupkan apinya. Hasilnya tak mengecewakan, rangup dan sedap makan kudap-kudap.

KEK TAK MEMBAZIR, LAIN KALI BOLEH CUBA LAGI

Tak sangka, macam-macam idea boleh kita olah untuk elakkan pembaziran kan? Bagi yang takut-takut nak baking tu, jangan putus asa. Lain kali boleh cuba lagi! Insha Allah kalau rajin praktis, kek akan menjadi juga satu hari nanti.

Author: JVC

Leave a Reply