Ramai dalam kalangan kita yang sudah mengetahui bahawa pengambilan oat merupakan satu amalan yang bagus untuk kesihatan. Mampu membantu untuk mengawal kadar kolestrol dalam badan, oat sudah semestinya menjadi pilihan bagi anda yang mahu diet juga. Namun, ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui bahawa oat ini terdiri daripada pelbagai jenis dan anda perlu tahu membuat pilihan supaya dapat khasiat oat yang terbaik!
OAT BAHAGIAN 1: JENIS-JENIS OAT, SAMA TAPI TAK SERUPA
Dah lama nak buat perkongsian berkenaan perbezaan oats ini. Hari ni saya sempat curi masa pergi Tesco tengok label produk oats untuk kepastian dan rujukan. Quaker Oats ada beberapa jenis yang popular. Instant, Quick dan flavoured. Bagi yang diet untuk kurus dan sihat, pemilihan jenis oat yang sesuai mungkin memberi impak yang berbeza dengan ketara.
Saya merasa perlunya membuat perkongsian ini kerana terdapat nasihat kurang tepat beberapa bulan yang lepas si ruangan komen artikel saya. Pengambilan “instant oats” dan “quick oats” dikatakan sama sahaja kesannya kepada kesihatan. Jika dilihat kandungan Quaker oats, kandungan nutrisi pada label Instant dan Quick Oats adalah sama 100% . Tiada beza langsung.
ADAKAH KANDUNGAN DI DALAMNYA BERBEZA TAPI TAK DINYATAKAN?
Saya tidak rasa begitu. Kandungannya adalah 100% oats tanpa pengawet dan tanpa aditif tambahan. Syarikat makanan ternama seperti Quaker Malaysia tak mungkin ambil langkah sedemikian. Maka apakah impak pada kesihatan adalah serupa antara kedua jenis oat ini? Tidak tuan puan. Ini yang dikatakan sama tapi tak serupa. Lupakan jenama. Saya cerita secara amnya ya..nanti ramai pula pm saya tanya macam-macam brand okay atau tidak..haru biru saya.
PERBEZAAN ANTARA OATS
Beza antara instant oats dan quick oats ialah kaedah PEMPROSESANNYA. Instant oats merupakan oat yang paling banyak diproses. Ia sudah sedia masak, dikeringkan, digelek dan dilenyek sangat nipis. Maka teksturnya sangat halus dan berkrim apabila bercampur dengan air panas. Oat jenis segera ini boleh terus dimakan!
Quick oats pula ialah oat instant yang dipotong kurang nipis berbanding instant oat. Maka ia perlu dimasak seminit dua. Rolled oats merupakan oat yang sudah digelek namun belum dimasak . Rolled oats juga dipotong lebih tebal. Maka ia perlu dimasak selama lebih kurang 5 minit.
Ia juga dipanggil oat “peseng lama” oleh orang teganu beginilah caranya oat dimakan oleh orang putih zaman dahulu kala. Potong halus dan gelek..lepas tu masak atas dapur. Oat yang paling kurang diproses ialah oat jenis “steel cut”. Oat jenis ini dipotong kasar-kasar daripada bijirin oat yang dipanggil oat groat. Bila dikunyah rasanya kenyal dan kekacangan sedikit perisanya.