Bubuk atau kutu beras memang musuh suri rumah. Ada seekor je dalam bekas beras, dalam masa yang singkat serangga kecil ini akan membiak dengan pantas. Menyakitkan hati betul. Beras yang diserang bubuk akan menjadi kurang enak, lembik dan mudah basi. Nak buang pula terasa rugi lebih-lebih lagi jika beras masih banyak. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, ada petua yang anda boleh cuba. Moga – moga ia bermanfaat dan membantu anda di dapur. Buatlah 6 cara mudah di bawah ini pasti sangat berkesan untuk halau kutu beras.
1. JEMUR BERAS DI BAWAH PANAS MATAHARI
Paling mudah untuk hilangkan kutu beras ialah dengan meletakkan beras di atas dulang kemudian jemur di tengah panas. Jika tiada dulang bersesuaian, jemur sahaja bekas beras yang telah dibuka penutupnya. Dengan cara ini kutu akan keluar dari beras untuk cari tempat lembap.
2. GUNA CILI KERING
Kedua, masukkan cili kering yang telah dipotong dua ke dalam bekas simpanan beras. Cili kering berbau kuat dan juga bersifat panas. Kutu tak suka cili kering dan ia dapat menghilangkan dan menghalau kutu dari bersarang dalam bekas beras anda.
3. LETAK BAWANG PUTIH
Kutu/bubuk beras dikatakan tidak suka pada bau-bauan. Jadi bahan-bahan yang beraroma seperti bawang putih juga boleh digunakan untuk menghalau serangga ini. Caranya mudah sahaja. Ambik beberapa ulas bawang putih dan masukkan ke dalam bekas beras anda.
4. GUNA KERATAN BATANG & DAUN PUDINA
Tangkai daun pudina perlulah dikeringkan terlebih dahulu dan kemudian ramas atau kisar jadi serbuk dan masukkan ke dalam uncang. Boleh juga digaulkan bersama-sama dengan beras. Cara ini agak berkesan menghalau serangga ini.
5. DAUN LIMAU PURUT
Letakkan daun limau purut ke dalam beras. Selain beras berbau harum, ia boleh menghalau kutu dari terus menghuni bekas simpanan beras.
6. BUAT UNCANG KULIT KAYU MANIS
Anda juga boleh letak kulit kayu manis di dalam bekas beras. Bau harumnya mampu menghalau kutu dari bekas beras. Caranya mudah sahaja. Ambik beberapa batang kulit kayu manis. Goreng dalam kuali tanpa minyak bagi menerbitkan bau harum. Kemudian masukkan ke dalam uncang dan letak dalam bekas beras. Selamat mencuba!
Sumber: rasa.my