PERKAHWINAN saya dan suami baru sahaja berlangsung beberapa bulan yang lalu. Kami berkenalan pun tidak sampai setahun sebelum saya berkeputusan untuk menikahinya memandangkan dia adalah kenalan lama saya ketika di sekolah menengah lagi.
Saya seorang janda anak satu. Dua tahun bercerai dengan bekas suami, saya bertemu dengan suami baru saya sekarang.
Suami berterus-terang selama dia mengenali saya, dari kecil memang dia menyimpan perasaan yang amat dalam terhadap saya. Hanya selepas mengetahui saya sudah dimiliki orang, dia membuang perasaan itu jauh-jauh.
Dan siapa sangka jodoh itu ada pada usia kami berdua 30 tahun. Ia suatu mimpi yang paling berharga buat suami kerana akhirnya dapat memiliki saya.
Ustazah, baru-baru ini saya menemui mesej dalam telefon bimbit suami.
Berdasarkan pengalaman perkahwinan lalu, saya jadi amat teliti, berhati-hati dan paranoid terhadap perhubungan baru. Saya sentiasa ada perasaan was-was dan curiga dengan gerak geri suami.
Saya selalu tidak percaya yang suami tidak pernah bercinta selama hayatnya, selain daripada saya. Mungkin kerana saya trauma dengan perkahwinan lalu yang gagal kerana gangguan orang ketiga.
Entah kenapa hari itu, saya terdetik untuk menyemak telefon bimbit suami. Mesej bertarikh April 2013, iaitu beberapa hari sebelum saya dan suami menjadi kekasih begitu mencengkam jiwa saya. Kata-kata pada mesej yang dihantar keduanya tidak seperti sahabat biasa.
Mereka menggunakan bahasa sayang dan ada perkataan-perkataan tidak elok yang menggambarkan mereka berdua seperti berkongsi gambar dan membuat video call.
Saya teliti Whatsapp dan panggilan keluar masuk. Nombor dan nama yang sama masih ada dan kerap membuat panggilan.
Hari itu juga kami bergaduh besar. Suami tetap dengan sikap sabarnya (yang sebenarnya mengikat jiwa saya untuk bersamanya), tenang menjawab setiap pertanyaan sedang saya pula dah macam orang gila.
Ya ustazah, saya tahu perbualan itu berlangsung sebelum kami menjadi kekasih, tapi satu yang saya tak dapat terima apabila suami menipu saya. Dia pernah kata tiada kekasih. Tidak pernah bercinta dan hanya menyimpan perasaan terhadap saya seorang.
Rupa-rupanya, gadis itu pernah menjadi kekasihnya tujuh tahun dulu.
Percintaan suami dengan gadis itu tidak lama apabila gadis itu mengahwini lelaki lain. Dan sejak itu, suami tidak pernah bercinta lagi dan membujang sehingga dia menemui saya. Suami mengakui mereka masih bersahabat baik kerana satu tempat kerja.
Ustazah, jika betul kata-katanya yang mereka hanya sahabat, kenapa suami tidak berterus-terang sebelum ini? Kenapa suami perlu menipu dan kenapa perlu ada orang ketiga dalam sesebuah perhubungan? Apakah saya yang bersalah kerana terburu-buru mengakhiri zaman janda sebelum sempat mengenali suami baru secara sepenuhnya?
Untuk pengetahuan, suami seorang pendiam, punya sifat sabar yang tinggi, hormat orang tua dan punya rupa. Dia rajin belajar agama sebelum mengambil saya menjadi isterinya.
* Norhasni, 30, Kuala Lumpur.
RESPON PAKAR
Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA
Puan Norhasni yang dikasihi ALLAH SWT.
Semoga ALLAH SWT menerangi kehidupan puan dengan cahaya keimanan dan takwa kepadaNya. Saya bersimpati terhadap apa yang puan alami. Daripada cerita puan, saya boleh merasai betapa berat perasaan yang puan tanggung.
Kemunculan orang ketiga dalam rumah tangga adalah racun yang boleh membunuh secara senyap keharmonian yang terbina.
Puan juga mengakui kekuatan peribadi yang dimiliki suami seterusnya menjadi daya tarikan yang mengikat puan dengan suami. Ini menunjukkan betapa puan masih sayangkan suami dan rumah tangga yang telah sedia terbina.
Perbezaan puan dengan kekasih suami sekarang ialah puan merupakan isteri yang sah, mempunyai hak dan peluang yang lebih berbanding dengan kekasih yang dimaksudkan.
Puan masih ada peluang untuk membaiki keadaan dan mengembalikan semula suami ke pangkuan. Apa yang penting puan tidak boleh mudah berputus asa dan kecewa dengan kejadian yang berlaku.
Menyalahkan suami kerana dikatakan menipu atau menyalahkan diri sendiri kerana terburu-buru berkahwin bukanlah jawapan yang baik kepada masalah yang dialami.
Sebaiknya puan kembali kepada takdir Allah SWT yang telah mempertemukan puan dengan seorang suami yang baik dan penyabar. Manakala masalah yang mendatang dalam rumah tangga adalah adat dan lumrah. Hadapilah dengan bijaksana dan uruslah konflik itu dengan jalan yang terbaik.
Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tiada rumah tangga yang aman damai tanpa gelora.
Cuma yang membezakan antara kita ialah bagaimana cara kita mengurus konflik dan permasalahan yang datang. Puan sudah mempunyai pengalaman berumah tangga sebelum ini.
Puan juga menghadapi masalah yang sama dengan rumah tangga pertama dahulu, iaitu orang ketiga.
Mungkin ada sebab atau mesej yang mahu disampaikan kepada kita melalui masalah sama yang dihadapi ini.
Kadang-kadang juga hubungan kita dengan suami sudah ada masalah, dingin dan hambar. Jadi kemunculan orang ketiga itu hanya tempelan kepada masalah rumah tangga yang sudah sedia retak. Itu juga mungkin berlaku.
Dalam isu rumah tangga puan, saya menasihati puan agar koreksi diri dan muhasabah diri, di mana kurangnya puan sehingga suami begitu mudah beralih arah. Mungkin kelemahan diri sendiri juga menjadi penyebab kepada gangguan orang ketiga tanpa kita sedari.
Mungkin juga sikap paranoid puan yang mendorong kemunculan orang ketiga. Mungkin juga cemburu puan yang berapi-api itu menutup hakikat yang mahu diterangkan oleh suami tentang duduk perkara yang sebenar.
Sebaiknya ambil langkah bertenang dan tarik nafas yang panjang. Renunglah sejenak dan fikirlah sedetik, mengapa suami masih mahu mengahwini puan walaupun sudah bertaraf janda anak satu. Sekiranya bukan cinta dan ikatan hati yang terbina antara puan dengan suami.
Puan hanya perlu menyuburkan dan membaja ikatan itu biar terus subur dan segar.
Hubungan suami isteri bukan sahaja diikat dengan hubungan seksual dan nafsu serta kemewahan harta dan kecantikan rupa paras. Ikatan ini tidak tidak kekal lama, ia akan rapuh dan rosak bila tiba waktu luputnya.
Sebaliknya suami isteri yang mempunyai ikatan hati dan jiwa yang kuat, masih boleh bertahan dengan stamina yang tinggi walaupun badai melanda dan ujian bertimpa-timpa. Kemunculan orang ketiga contohnya masih boleh diurus dengan bijaksana sekiranya ikatan hati suami isteri sangat kuat dan kukuh.
Ikatan hati yang kuat ini hanya boleh terbina sekiranya suami isteri mempunyai hubungan yang kuat dan dekat dengan ALLAH SWT. Sebab itulah saya menasihati puan agar segera membina hubungan yang rapat dengan ALLAH SWT.
Hati kita berada dalam kekuasaanNya.
Hanya Dia yang boleh mengikat dan mengukuhkan antara dua hati, sebagaimana Dia mencampakkan perasaan itu dalam hati suami puan untuk menyunting puan sebagai isterinya.
Perbanyakkanlah munajat dengan ALLAH SWT memohon ampun dan rahmatNya bagi puan suami isteri. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim sambil meminta mereka mendoakan kesejahteraan rumah tangga puan.
Selain daripada itu, sekiranya puan mempunyai bukti yang cukup tentang kewujudan orang ketiga ini, puan boleh membuat aduan ke Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam supaya orang ketiga ini disiasat dan didakwa oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.
Kesalahan mengikut Seksyen 36, 37, dan 38 di atas tergolong dalam kesalahan boleh tangkap di mana pada kebiasaannya Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) boleh menangkap orang ketiga ini tanpa waran.
Sama ada orang ketiga akan didakwa atau tidak, puan menang atau kalah kes berkenaan berdasarkan kepada beban bukti, saksi, bahan bukti, dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada cakap-cakap kosong atau cerita dari mulut ke mulut.
Apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang boleh didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu atau memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka bercerai mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.
Puan juga boleh memujuk suami untuk berpindah tempat kerja demi menjauhkan suami dengan kekasih lamanya.
Terpulang kepada kebijaksanaan puan bagaimana mengurus konflik ini sehingga berjaya. Apa yang penting ialah puan tidak boleh berputus asa daripada terus mencuba dan mencuba. Sekiranya ikatan hati puan bersama suami masih kuat insya-Allah, banyak pintu penyelesaian terbuka untuk puan lalui.
www.panduansuamisteri.blogspot.com