Jangan tinggal istighfar. Ajal tuhan tak siapa boleh menjangkakan. Walau tengah menyusukan anak, andai sudah dipanggil pulang ke kampung akhirat, kita akan kembali juga kepadaNya.
Cerita viral guru SMK Bandar Putra, arwah Siti Rohana Redzuan yang ditemui suaminya meninggal dunia di samping dua orang anak masing-masing berusia 19 bulan dan kira-kira sebulan. Punca kematiannya dikatakan diakibatkan paru-paru berair dan masalah jantung.
Pilu sekali membaca kisah arwah. Salam takziah buat keluarga arwah, semoga dapat melalui ujian Allah ini dengan penuh ketabahan. Kebimbangan sesetengah netizen menyebarkan berita kematian yang diakibatkan pendarahan pembedahan sama sekali tidak benar. Namun, persoalan berpantang sendirian tetap menjadi satu isu yang perlu diperhalusi dengan baik.
Ramai sebenarnya, ibu-ibu di luar sana yang terpaksa melalui keadaan sedemikian. Apabila keadaan memaksa dan mereka tiada pilihan, itulah yang perlu mereka lalui. Ini panduan untuk ibu-ibu yang terpaksa melalui tempoh berpantang sendirian.
1. Kuatkan Mental & Emosi Dengan Sentiasa Mengingati Allah
Banyakkan beristighfar. Jangan sampai lepas zikir ini dari bibir anda. Masa pantang ini memang kita akan jadi extra sensitif, suami lambat tolong pun dah rasa macam dunia nak terbalik.
Relaks, tenangkan diri dan ingatkan diri kesakitan berpantang ini juga sebahagian penghapus dosa. Masa berpantang nanti memang akan ada macam-macam nasihat yang anda akan dengar. Mana yang memberi manfaat bolehlah diambil, mana yang anda fikir tidak mampu melakukannya boleh tolak tepi siap-siap. Jangan difikirkan sangat. Bimbang jatuh meroyan.
2. Cari Tukang Urut Yang Boleh Mandikan Bayi
Semasa umur kandungan 7 bulan, bolehlah recce mana-mana tukang urut atau bidan untuk membantu anda semasa berpantang nanti. Upah tukang urut agar dapat datang ke rumah paling pendek tempohnya tiga hari.
Boleh lanjutkan sampai seminggu. Selepas berurut, bertungku, memakai pilis dan param minta tukang urut mandikan bayi anda. Anak kecil ini bukannya kotor mana, nanti belah petang, ibu boleh bersihkan badan bayi dengan kain basah. Tidaklah ibu perlu menggunakan kudrat mengangkat bayi, besen mahupun air mandian.
3. Upah Tukang Masak
Untuk tiga hari, ibu bolehlah upah orang untuk masakkan lauk berpantang. Makan secara moderate dan ambil jenis-jenis makanan yang cepat menyembuhkan luka dalaman. Biasanya selepas 2 minggu, ibu dah boleh masak sendiri. Lakukan perlahan-lahan, pantangkan diri dari mengangkat beban air yang berat. Jangan sesekali curi-curi makan lauk yang boleh menyebabkan luka dalaman lambat sembuh, contohnya udang mahupun sotong. Ikan pun cari yang jenis tak gatal.
Sekarang ini zaman dah canggih, online sebenarnya membantu. Ada dijual makanan sejuk beku untuk ibu berpantang. Kalau berkemampuan boleh google, tempah lauk pauk dan penghantaran terus ke depan pintu rumah.
4. Pakai Bengkung
Jika bersalin normal, dalam tempoh berurut itu bolehlah berbengkung. Pakai dengan kemas agar dia dapat pegang bahagian peranakan ibu dengan kemas. Tidaklah nanti bentan atau tumpah darah. Kalau bersalin ceaser, boleh menggunakan bengkung jenis yang lembut dan tak ketat. Sebaiknya rujuk dahulu pada doktor, minta nasihatnya adakah tubuh anda sudah bersedia untuk berbengkung.
5. Stoking Jangan Tinggal
Ini bagi mengelak angin masuk dalam badan. Memang macam nampak leceh, tapi ia membuatkan tubuh terpelihara dari bentan. Kalau bentan, ibu boleh menggigil kesejukan. Dan akhirnya terpaksa berurut satu badan nak bagi hilang bentan.
6. Jaga-jaga..Jalan Perlahan
Risau kalau tengok orang berpantang bila berjalan macam nak kejar kereta api. Bersalin ceaser memang tak rasa sakit di bahagian bawah, bila cerita bab berjalan memang ibu boleh berjalan laju. Tapi luka dalaman tetap beri kesan pada tubuh. Sebab itu, ibu kena latih diri jalan perlahan. Masa inilah tisu-tisu dalam tubuh tu nak pulih kembali. Kena sentiasa ingatkan diri dan sayang tubuh kita. Badan kita ini nak pakai lamakan.
7. Tolong Bagitahu Suami
Serius, suami kita ini kadang kala macam tak nak faham yang isteri baru saja melalui satu proses melahirkan yang melibatkan pertarungan nyawa ‘antara hidup dan mati’ (tapi bukan semua ya). Sebab itulah, kena terangkan jelas-jelas padanya. Apa yang ibu tak boleh buat, bantuan bagaimana yang anda perlukan, keprihatinan suami apa yang diharapkan. Kalau macam tak faham, silalah buat ‘list’ lekat dekat peti ais atau cermin almari.
8. Ambil Jamu, Herba & Makanan Tambahan
Kalau bayi alami demam kuning, ibu jangan ambil herba, madu, kunyit, lada hitam malah halia yang bersifat panas. Bila bayi dah bebas sepenuhnya dari penyakit kuning, barulah ibu boleh makan jamu, herba dan suplement untuk pulihkan kembali rahim. Ada sesetengah tukang urut atau bidan yang menjual jamu, boleh juga ibu beli terus dengannya.
9. Dua Minggu Tempoh Berteman
Selepas keluar dari hospital dan ibu kembali ke rumah, pastikan anda ditemani seseorang yang kuat dan berupaya membantu. Masa ini tentulah suami sudah kembali ke rutin bekerja. Dalam tempoh ini, ibu masih lagi lemah. Bimbang ibu pitam atau alami tumpah darah jika terpaksa membuat semua kerja sendirian.
10. Pejam Mata Tengok Keadaan Rumah
Percaya atau tidak, masa berpantang inilah ibu rasa nak buat macam-macam. Tiba-tiba rasa nak menyapu sampah, membasuh, kemas rumah dan macam-macam lagilah. Semua itu permainan emosi. Belajar bertenang, dan abaikan keinginan yang boleh membahayakan tubuh ibu.
Kerja-kerja mengemas ini biarlah serahkan pada suami ataupun orang yang anda upah. Tak payahlah nak pegang penyapu bagai. Simpan dan fokus saja pada kesihatan tubuh dan penyusuan bayi secara eksklusif.
11. Belajar Teknik Penyusuan Sampai Mahir
Buat ibu yang kali pertama menyusukan bayi, anda pasti akan terkial-kial mahu memberi susu badan. Macam-macam cabaran, bayi menolak puting, air susu tak keluar, cara pegang tak kemas buat bayi merajuk. Allah.. memang boleh buat ibu putus asa dan akhirnya beri susu botol pada bayi.
Kuatkan semangat dan tekad mahu beri susu badan pada anak. Biar sampai dua tahun. Ada keberkatan di sebalik pemberian susu badan pada anak ini. Minta tunjuk ajar ibu, jururawat mahupun bidan. Fahamkan cara bendung bayi, letak kedudukan bayi yang selesa baik semasa anda duduk, baring mahupun terlentang. Bila bayi menyusu selesa, anda akan lalui saat berpantang yang tenang.
Selamat berpantang!