Fenomena Sekarang Ramai Suami Menganggur & Isteri Bekerja. Tahu Tak Hukum Isteri Menafkahi Suami?

CUBA tanya bakal pengantin perempuan, waima wanita atau remaja perempuan yang sedang dibuai cinta monyet sekali pun, adakah mereka mahu bersanding dengan lelaki tanpa kerja, atau dalam bahasa kasarnya, penganggur.

Percayalah jawapan ‘tidak’ lebih banyak di bibir mereka atau paling tidak dalam bahasa rocknya… ‘OMG’… Hanya mereka yang sevel saja akan kata “aku akan terima akadnya, aku sedia sehidup semati dengannya…”

Begitulah, istilah menganggur sangat ditakuti mereka yang sudah tamat belajar, apatah lagi yang baligh dan ada hati mahu kahwin. Bagaimana mahu menyediakan mahar jika poket kosong, itu belum dikira hantaran serba satu yang diminta pihak perempuan.

Kalau kocek kempis, usahkan puteri raja, nak berangan seperti Mat Jenin pun belum tentu dapat. Namun, dalam kita menidakkan pertanyaan, pengangguran masih berlaku dalam masyarakat hari ini, sama ada yang belum kahwin atau sudah berkahwin.

Kesan ini lebih terasa kepada golongan lelaki. Ada yang kena pecat kerja, ada yang tahun ke tahun asyik mencari kerja tak dapat-dapat – konon tak sesuai dengan jiwa dan paling sadis ada yang tak suka bekerja, dia lebih suka melepak dan menghabiskan beras mak bapaknya @ yang sudah kahwin menghabiskan harta isteri.

Mentang-mentanglah isteri dia kaya! Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran merekodkan peratusan sebanyak 3.3 peratus pada Oktober 2013, meningkat 0.2 peratus berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini disebabkan peningkatan penduduk menganggur seramai 19,100 orang kepada 462,300 orang dan pada masa sama kesan daripada bilangan penduduk bekerja yang berkurang seramai 98,500 orang kepada 13.70 juta orang.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar pengangguran lebih tinggi sebanyak 0.1 mata peratus daripada 3.2 peratus pada Oktober 2012. Paparan ini satu daripada kajian oleh mereka yang arif.

Kita kena terima hakikat itu, namun bukanlah noktah kepada usaha mencari pekerjaan. Bagi sang isteri yang bersuamikan penganggur, cuba ajak bincang, dan suami pula jangan culas, jangan ambil kesempatan.

Tetapi bagi suami yang terpaksa menganggur kerana masalah kesihatan, di sinilah perlunya peranan isteri. Percayalah taat setia anda menjanjikan syurga firdausi. Redalah memikul tanggungjawab, akan ada bahagia di hujungnya nanti.

Bagaimanapun jika ada yang sangsi, suami buat derk, tak reti-reti nak cari kerja, siang malam baring tidur, bangun tahu makan je, bolehlah buat sesuatu… Opss… ini bukan saranan jahat…

PENGAKUAN 1: Tuntut cerai jika berlarutan

Saya kahwin agak lewat, ketika usia 33 tahun. Ya lah rupa pun tak ada, badan saiz XL, jadi apabila ada orang kenen-kenen dan berhajat, saya terima seadanya. Saya sendiri baharu dapat kerja tetap ketika itu.

Sebelumnya, kerja promoter sebuah syarikat telco. Walaupun tidak tetap, saya dapat hidup mewah kerana rajin buat jualan. Dek kejutan wang yang melimpah ruah, saya jadi lupa, kerap shopping dan sikap paling buruk apabila terlebih berbelanja dengan kad kredit.

Saya diisytihar muflis, terpaksa berhenti kerja – hidup menganggur sehinggalah dapat kerja baharu tersebut. Pendapatan taklah semewah kerja lama. Dengan gaji ‘ciput’ itu saya tamatkan zaman bujang.

Ketika dilamar saya sudah tahu bakal suami bukan orang senang dan berpelajaran. Dia hanya pemandu kontena sebuah syarikat pembekal besi. Dengan gajinya lebih kurang RM3,000 sebulan termasuk elaun, perkahwinan kami awalnya sangat bahagia, sehinggalah saya terpaksa berhenti kerja ibu saya sakit di kampung dan saya diharapkan oleh adik-beradik untuk jaga ibu, kononnya saya baru berkeluarga, belum ada tanggungan besar.

Saya ambil tanggungjawab tersebut dan tinggalkan suami di Kuala Lumpur, balik ke Perak jaga ibu, sekali-sekala suami balik atau saya yang turun ke Kuala Lumpur. Sejak itu jugalah saya bergantung pendapatan sepenuhnya daripada suami.

Pada awalnya semua berjalan lancar, suami beri duit setiap bulan, walaupun tak banyak – RM600, bagi saya itu sudah memadai dan memahami pekerjaan suami. Namun, makin lama kiriman berkurangan, malah ada ketika tertangguh.

Suami juga jarang balik. Lama-kelamaan, kiriman sudah tiada langsung. Saya cuba bertanya suami, dia beritahu syarikat ada masalah, tak ada barang nak dihantar, tak adalah duit. Saya mula bimbang keadaan ini dan cadangkan suami balik ke kampung, buat kerja-kerja kampung.

Suami setuju, dia berhenti kerja dan balik ke Perak. Namun sejak balik hingga sekarang, suami menganggur di rumah, bukan tak ada kerja kerana ibu saya ada kebun getah yang jika diusahakan boleh dapat hasil lebih kurang sama gaji memandu kontena. Saya sendiri sejak berhenti kerja ada buat bisnes kecil-kecilan jual nasi lemak.

Masalahnya suami mula tunjuk sikap malas kerja, dia beri alasan mahu rehat dulu. Sekarang saya seorang usahakan jualan nasi lemak, dia hanya makan tidur. Saya risau juga, apa kata adik-beradik yang lain, tapi suami buat tak faham.

Pernah saya nyatakan untuk berpisah jika dia tak mahu cari kerja, dia janji akan cari kerja sebab tak pandai buat kerja kampung. Sehingga sekarang saya masih menanti janji dia untuk cari kerja, saya nekad jika masih berlarutan, permintaan cerai kali kedua akan saya buat. – Masayu,35, Parit Buntar

PENGAKUAN 2: Suami terlantar empat tahun

Aku anggap ini dugaan hidup yang Tuhan tetapkan untuk aku dan anak-anak. Namun aku percaya suatu hari nanti, suami akan pulih dan dapat menjalankan tanggungjawabnya semula.

Aku tidak menyesali nasib, jauh sekali menidakkan takdir. Sudah tersurat suamiku diserang glaukoma akut menyebabkan matanya semakin sukar untuk melihat dan terpaksa berhenti kerja sejak 2009. Sejak itu jugalah aku ambil alih tanggungjawab suami bekerja menyara lima anak kami.

Gajiku bukanlah besar sangat, tapi bolehlah untuk menampung persekolahan anak-anak kami, namun dalam masa sama aku mengharapkan pendapatan sampingan sebagai bekal masa depan kami. Jadi, aku berniaga online menjual pakaian. Alhamdulillah rezeki ada di situ.

Aku tidak salahkan suami kerana tidak bekerja. Dengan sakit yang dia alami dan perlukan rawatan bulanan, dia kini sudah pasrah, berbanding ketika awal diserang glaukoma dulu. Dia berasa malu kerana perlu serah tugas keluarga kepada ku. Namun aku yakinkan dia, yang aku boleh galas tugas itu.

Setiap pagi sebelum ke tempat kerja aku menyuapkan suami makan, hantar anak ke sekolah dan nurseri dan bergegas ke tempat kerja. Kalau ikutkan aku mahu berhenti kerja tumpu sepenuhnya kepada niaga online tapi bimbang duit tidak cukup untuk tampung perubatan suami.

Aku harap rutin ini akan berubah suatu hari nanti, namun bukanlah aku menyesali nasib diri. Selagi terdaya aku akan setia di sisi suami. Kepada isteri-isteri di luar sana, jika anda diuji sepertiku, percayalah khidmat bakti anda kepada suami adalah lorong rezeki yang tak terduga Tuhan beri. – Masturiah,45, Bandar Baru Uda, Johor [sinarharian]

Author: admin

Leave a Reply