Wali enggan menikahkan anak
Soalan:
Kakak saudara saya ingin mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan sendiri. Bagaimanapun wali enggan menikahkan anaknya. Apa tindakan yang boleh dilakukan?
Jawapan:
Pernikahan sah adalah dengan mematuhi dan memenuhi semua syarat dan rukun pernikahan iaitu; pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi lelaki dan juga ijab Kabul (akad nikah tersebut).
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 11, suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Setiap pasangan Muslim di negara ini yang ingin berkahwin perlu mengetahui prosedur perkahwinan menurut Undang-undang Keluarga Islam Negeri tempat menetap masing-masing.
Prosedur ini adalah perlu untuk memastikan perkahwinan yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan undang-undang yang berkuat kuasa. Ini kerana perkahwinan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul sahaja akan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang sekiranya berlaku apa-apa di kemudian hari.
Kebelakangan ini, banyak isu berkenaan dengan bapa yang enggan untuk menjadi wali, lalu si anak ambil keputusan untuk kahwin lari tanpa kebenaran dengan terpaksa membelakangkan keluarga dan mengetepikan undang-undang sedia ada.
Dalam konteks perkahwinan, wali adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menikahkan bakal isteri dengan bakal suaminya.
Daripada Abi Musa RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali’. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)
Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu : wali mujbir, aqrab, ab’ad dan wali raja / hakim.
Faktor perlu wali hakim
Sebagai seorang bapa, beliau adalah wali mujbir iaitu wali yang mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak. Sekiranya wali enggan untuk menikahkan pengantin perempuan maka bolehlah menggunakan wali hakim.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.
Antara faktor yang dibenarkan untuk menggunakan wali hakim adalah seperti berikut;
1. Tidak ada wali nasab.
2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat.
3. Wali yang ada tidak cukup syarat.
4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah.
5. Wali enggan.
Dalam kes di mana seorang bapa yang tiada alasan munasabah enggan menikahkan anaknya, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. Kalangan pihak terutama si anak haruslah duduk berbincang dan faham serta mengerti mengapa seorang ayah itu enggan.
Jarang si ayah ingin melihat anaknya menderita. Seorang ayah akan melindungi si anak dan melihat kepentingan dan kebajikan anaknya dalam perkara hal sebegini.
Sebagai seorang bapa, hendaklah beliau duduk berbincang dan terangkan sebab mengapa calon pilihan anaknya tidak dipersetujui. Seorang bapa hendaklah berfikiran matang dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatannya.
Golongan fuqaha sependapat wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya”. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)
Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Bincang cara baik
Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang akan menikahkannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Satu contoh dapat dilihat dalam kes Azizah binti Mat lawan Mat bin Salleh berkenaan dengan wali enggan, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, Azizah berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan
Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
Seperti tertulis di dalam Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan; sekiranya wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Dalam perkara ini setelah berbincang dengan keluarga, sekiranya tidak boleh diselesaikan secara baik, si anak boleh membuat permohonan untuk bernikah menggunakan wali hakim.
Sebagai seorang bapa juga haruslah bertimbang rasa dan prihatin terhadap anaknya. Bapa hendaklah cuba berfikiran matang dan boleh bertolak ansur sekiranya pilihan si anak tidak mendatangkan kemudaratan yang besar ke atas anak itu.
Kaedah fiqh menyatakan hendaklah dihapuskan kemudaratan yang besar. Sebagai contoh dalam kes ini haruslah diambil kira sekiranya anak tidak dibenarkan bernikah dengan pilihannya, pelbagai kemudaratan boleh timbul seperti kahwin sempadan, kahwin lari dan melakukan maksiat.
Permohonan boleh dilakukan di mahkamah syariah berhampiran tempat tinggal masing-masing dengan mengisi borang dan disertakan dengan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan dan lain-lain yang perlu.
Selain itu, pemohon perlu memfailkan notis permohonan, afidavit dan bayaran pendaftaran akan dikenakan. Pemohon boleh merujuk kepada peguam untuk sebarang nasihat dan tindakan lanjut sekiranya difikirkan perlu.
Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang dalam kehidupan. Oleh itu kedua–dua belah pihak seharusnya cuba untuk bekerjasama dalam memastikan perkara yang disamakan dengan perbuatan mendirikan masjid ini berjalan sempurna.
Sebagai seorang anak pula, berbincanglah cara baik dengan ibu bapa kerana walau apa jua sekalipun merekalah yang menjaga dan membesarkan kita daripada sekecil tapak tangan sehingga dewasa.
Soal Jawab Guaman oleh Datuk Khairul Anwar Rahmat, Pengerusi Sukarelawan Peguam untuk Semua (Sukaguam)
www.panduansuamisteri.blogspot.com