Ketahui Jenis Keperluan Bagi Seorang Ibu Yang Hamil

Apakah keperluan ibu hamil? Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Seorang wanita yang sarat hamil sudah pasti mengharungi pelbagai halangan dalam aktiviti hariannya

Jika dahulu boleh bergerak cergas, semasa hamil aktiviti terpaksa dikurangkan. Namun begitu ibu hamil masih mampu bergerak cergas mengikut kemampuan masing-masing asalkan tahu keperluan dirinya.

Bila memperkatakan tentang keperluan ibu hamil, ramai yang menganggap bahawa keper­luan ibu hamil hanya tertumpu kepada keperlu­an pemakanan mereka saja namun sebenarnya tidak. Selain daripada pemakanan banyak lagi keperluan lagi yang perlu diadakan oleh seseorang ibu hamil.

Antaranya adalah keperluan fizikal, emosi, ilmu, material dan juga bayi. Keperluan ini perlu dipenuhi bagi memastikan ibu dapat melalui proses kehamilan dengan baik. Berikut adalah beberapa keperluan yang dipertimbangkan oleh ibu hamil.

Keperluan fizikal

  • Rehat sekurang-kurangnya 10 jam sehari termasuk waktu tidur.
  • Sekurang-kurangnya 10 kali pertemuan dengan doktor bagi pemeriksaan sepanjang kehamilan.
  • Penambahan berat badan sekurang-kurangnya 8 hingga 10 kilogram dan tidak melebihi 15 kilogram sepanjang kehamilan.
  • Pengambilan vitamin dan zat makanan yang kaya dengan asid folik dan kandungan besi
  • Minum banyak air sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas sehari bagi mengelakkan sembelit.
  • Paras Hb mencapai sekurang-kurangnya 10 gram semasa pemeriksaan doktor.Ujian ultrasound yang penting semasa awal mengandung dan selepas 28 minggu bagi melihat kedudukan bayi dan uri.
  • Bersedia untuk penyusuan bayi, sekiranya puting pendek atau terbenam gunakan pam vakum dan latih agar anda bersedia untuk menyusukan bayi.

Keperluan Emosi

  • Ketidakseimbangan hormon menyebabkan tubuh terasa hangat dan perasaan sering ter­ganggu. Anda mungkin merasa mudah berkecil hati meskipun berhadapan dengan persoalan yang remeh-temeh.
  • Amalkan sikap tidak ambil kisah dengan pergolakan di sekeliling anda.
  • Kekalkan keceriaan kerana emosi anda turut mempengaruhi bayi dalam kandungan. Sekira­nya ibu hamil sentiasa murung, tidak mustahil anak yang dilahirkan nanti akan banyak mera­gam dan juga menangis.
  • Amalkan saranan orang tua dengan banyak­kan mengaji dan berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan comel.
  • Bersabar meskipun anda ditimpa gejala-geja­la semasa mengandung seperti muntah, sakit belakang dan lain-lain. Berjumpalah doktor dan dapatkan nasihat bagaimana mengatasinya.

Keperluan material

  • Apabila hamil faktor ekonomi keluarga perlu juga difikirkan. Langkah berjimat cermat perlu diambil sekarang kerana sejajar dengan penam­bahan ahli keluarga, perbelanjaan turut bertam­bah.
  • Tidak semua orang mampu berbelanja lebih. Sebagai contoh, penggunaan lampin pakai buang boleh dikurangkan jika ibu menggunakan kain lampin. Begitu juga dengan pemak­anan bayi, penggunaan bahan semula jadi yang murah dan mudah didapati adalah lebih menjimatkan dan lebih berkhasiat berbanding makanan yang sudah diproses, zat makanan juga lebih banyak dan bermutu tinggi.

Keperluan bayi

  • Keperluan ibu dan bayi yang di kandung adalah saling kait mengait. Apabila zat makanan ibu mencukupi maka keperluan makanan bayi turut mencukupi. Ibu yang riang dan gembira akan mendapat cahaya mata yang riang dan gembira.
  • Makanlah makanan yang mengandungi banyak zat yang diperlukan ibu hamil. Buah-buahan dan sayuran dan juga susu adalah antara yang paling baik untuk diamalkan oleh ibu hamil bagi mendapatkan bayi yang sihat.

Keperluan ilmu

  • Selain penjagaan diri, ibu hamil perlu rajin menimba ilmu. Ilmu boleh didapati melalui pembacaan buku-buku dan majalah. Lengkapkan diri dengan tip-tip ber­guna yang membantu memudahkan bersalin seperti saranan senaman dan posisi bersalin yang sesuai.
  • Anda juga boleh menghadiri ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh klinik-klinik ibu mengandung dan dapatkan maklumat tepat bukan sahaja untuk diri anda sekarang tetapi juga untuk membantu si kecil kelak.
Author: admin

Leave a Reply