DALAM berkasih sayang, wanita selalunya dikatakan lebih (kuat perasaannya) berbanding lelaki. Manakala lelaki pula dikatakan sering bersikap tidak memahami.
Benarkah begitu? Itulah soalan yang sebenarnya bukan soalan, bertalu-talu ditujukan kepada saya semalam. Saya sebut bukan soalan kerana mereka yang berkata demikian – sudah tentu wanita – lebih cenderung untuk memberikan saya peringatan. Malah mereka nampaknya begitu prasangka terhadap kaum Adam.
Puncanya remeh sahaja tetapi berubah menjadi tidak remeh apabila disulam dengan provokasi gender.
Tengah hari kelmarin, saya terima SMS isteri yang dihantar ketika saya solat Zohor. Selain SMS, ada juga panggilannya yang tidak dapat saya jawab. Selesai solat, saya segera hubunginya semula. Sebaik dijawab, saya dengar dia menangis. Lalu saya tanya, mengapa?
Katanya, sebelum itu, dia dapat panggilan dari telefon bimbit saya dan cemas apabila tidak pula mendengar saya bercakap dengannya melainkan hanya menyebut ‘ALLAHUAKBAR’ beberapa kali.
“Sapa tak risau, ingat apa-apa dah jadi kat abang!” katanya, tersangkut-sangkut menahan sendu.
Oh, begitu! Rupa-rupanya apa yang dia sangka saya dalam kecemasan kerana mendengar saya hanya menyebut ALLAHUAKBAR, itu sebabnya saya sedang solat.
Dalam keadaan tidak sengaja telah terdail nombor telefon isteri yang langsung menyebabkan berlakunya salah faham itu.
Ya, saya mengaku insiden ini remeh sahaja. Namun hal yang remeh ini telah menginsafkan diri saya betapa kuat kasih sayang isteri terhadap saya yang hanya dalam tempoh sekejap, dan belum pun jelas apa yang sebenarnya berlaku ke atas diri saya, telah menyebabkan dia resah, gelisah, jadi tidak tentu arah hingga banjir matanya.
Hal inilah yang kemudian saya kongsi dengan rakan-rakan dalam Facebook. Tidak. Tidak terlintas sama sekali niat saya untuk menunjuk-nunjuk akan perkara peribadi namun sejujurnya, saya hanya mahu berkongsi apa yang saya rasa baik. Tujuannya untuk kita sama-sama insaf dan lebih menghargai pasangan.
Iyalah, dalam keadaan diri kita yang saban hari tidak pernah tak sibuk dengan pelbagai urusan di luar rumah, kita selalunya terlupa atau buat-buat lupa bahawa ada insan yang sangat menyayangi diri kita, sentiasa ambil berat akan hal ehwal kita, sakit pening atau luka cedera kita.
Akan tetapi dalam keadaan sama-sama sibuk, perkara yang sangat penting seperti itu zahirnya menjadi seperti tidak penting. Kesibukan telah menyebabkan kasih sayang yang kita semai, jarang kita siram atau bajakan. Akhirnya benih yang baik pun lama kelamaan menjadi layu dan mungkin mati!
Lalu saya fikir ada baiknya hal yang seperti ini terjadi, sebagai peringatan. Dan apabila ia berlaku pada diri saya, saya ketepikan segan silu – walaupun dilarang oleh isteri – untuk saya kongsi dengan rakan-rakan kerana yakin, ini adalah sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk dijadikan pengajaran.
Dalam perkongsian itulah saya menyebut bahawa saya baru tersedar betapa kuatnya kasih sayang isteri terhadap diri saya. Ada pula rakan-rakan – wanita – yang menyambut keinsafan saya itu dengan kata-kata: “Memanglah, isteri mana tak sayang suami? Cuma suami yang selalu tak faham, atau sengaja buat-buat tak faham, selalu cari alasan … ”
Saya tahu, ini provokasi gender. Jadi tidak perlulah untuk saya jawab. Soal kasih sayang ataupun mentafsir kasih sayang, tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain. Ia juga bukan ditentukan mengikut jantina.
Ada lelaki yang sangat kuat cinta dan kasih sayangnya terhadap pasangan, ada juga yang tidak. Wanita pun begitu juga. Jadi tidak manis untuk kita pukul rata, menghukum bahawa lelaki semuanya sama, atau wanita semuanya tidak setia.
Rosaklah alam sejagat jika kita masing-masing berprasangka begitu!
Saya sendiri, andai kata berlaku seperti apa yang berlaku ke atas isteri, pastinya gubra juga. Walaupun tidaklah sampai menangis seperti dia, sudah tentu saya tetap akan berasa cemas. Tetapi wanita, bukan seperti kita. Air mata sahajalah teman setia mereka dalam keadaan seperti itu.
Jika rakan-rakan wanita begitu skeptikal terhadap saya, yang lelaki lain pula. Mereka punya terjahan lebih berbahaya walaupun tidak menyerang saya. Ramai yang beri komen, “nasib baik hang tengah sembahyang bro… kalau tidak!!!”
Ya, saya bukanlah orangnya yang seperti itu. Namun biasalah, anasir subversif ada di mana-mana!