Biasanya ibu bapa mudah risau apabila anak mereka merasa bosan. Kalau keluar mesti bawa banyak bekalan makanan, alat permainan, gajet supaya anak tak bosan
Perasaan bimbang tersebut makin menjadi-jadi terutama apabila membawa si kecil pergi ke tempat yang mereka tidak gemar seperti perjumpaan bersama kawan-kawan ibu bapa, restoran, membeli-belah barangan orang dewasa atau mengikut ibu bapa ke tempat kerja.
Mahukah anda menjadi ibu bapa yang hebat kepada anak-anak yang hebat? Siapa tak mahu. Salah satu caranya ialah membiarkan anak anda kebosanan.
“Habislah kalau tertinggal tablet ni. Nanti Rayyan cepat bosan. Susah mama nak bersembang dengan kawan nanti.” Mungkin itu antara reaksi ibu bapa apabila tertinggal ‘alat bantu’ mengurangkan anak kebosanan.
Tetapi perasan tak walaupun anda sudah menyediakan pelbagai permainan dan gajet untuk mengisi masa lapang, mereka akan tetap merasa bosan? Jadi apa yang patut kita lakukan?
Pakar perkembangan kanak-kanak menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu kalut dengan penyelesaian sedia ada kerana bimbang anak merasa bosan.
Para pengkaji mengatakan kebosanan menyediakan ‘inner quiet’ yang membantu kanak-kanak kesedaran diri. Mereka menghalang ibu bapa daripada memberi kanak-kanak melihat gajet lebih lama bagi mengurangkan kebosanan. Inilah sebabnya mengapa anak perlu dibiarkan bosan.
1. Daya imaginasi lebih tinggi
Bila rasa bosan, mulalah kanak-kanak ‘banyak akal’. Tak percaya cuba perhatikan gelagat anak anda. Sebenarnya ini bagus untuk merangsang imaginasi otak mereka.
Bukankah otak yang lebih banyak berfikir bermaksud lebih bijak. Biasanya bila bosan, si kecil boleh sahaja bermain berseorangan walaupun sekadar menggunakan apa sahaja objek yang ada depan mata mereka.
Anda akan kagum melihat anak boleh bermain ‘lawan-lawan’, atau ‘pondok-pondok’ seolah-olah ada ramai kawan dan banyak perkakasan depan mereka. Hakikatnya mereka bermain seorang diri dengan satu objek ditangan. Hebat kan anak kita! Tinggi daya imaginasi.
2. Anak jadi lebih kreatif & bijak
Oleh kerana merasa bosan, kanak-kanak akan menjadi lebih kreatif. Semua dilakukan demi menghilangkan rasa bosan yang dialami. Kanak-kanak mengembangkan kemahiran hidup penting apabila mereka perlu memikirkan penyelesaian bagi menghilangkan kebosanan.
3. Lebih banyak bercakap
Bila tiada gajet depan mata, barulah mereka hendak bercakap. Inilah masanya untuk tolong anak anda mengembangkan kemahiran bahasanya. Jangan marah pula kalau si kecil banyak bertanya bila dia dalam keadaan bosan. Layankan sahaja setiap pertanyaannya. Sekurang-kurangnya dapat mengeratkan hubungan anda anak beranak selain membantu anak lebih pintar.
4. Bertambah rajin
Biasanya bila tiada aktiviti yang dilakukan, si kecil akan lebih suka berada di samping anda. Masa inilah anda perlu ‘mengambil kesempatan’. Ajar anak menjadi orang yang lebih ringan tulang.
Selalunya mereka yang rela hati hendak membantu ibu atau ayah membuat kerja. Jadi, apa lagi gunakan kesempatan ini untuk mendidik mereka membuat kerja-kerja rumah yang mudah mengikut peringkat usia seperti menyapu sampah, melipat pakaian, membuang sampah, mengemas bilik tidur dan bermacam lagi. Tentu anak anda merasa seronok.
5. Belajar banyak perkara baru
Bila anak bosan ia sebenarnya memberi peluang kepada mereka belajar banyak perkara baru. Hanya masa mereka bosan sahaja, barulah mereka berminat untuk menolong ibu dan ayah.
Bosan sebab tak dapat main gajet akan membuatkan otak mereka kreatif berfikir untuk mencipta permainan baru daripada persekitaran di rumah. Secara tak langsung bosan itu sebenarnya membantu merangsang otak anak lebih bijak!
Kanak-kanak perlu melalui rasa bosan ini dengan sendiri kerana ia dapat membebaskan mereka daripada sebarang bentuk gangguan. Melalui cara ini, barulah mereka dapat mendengar suara hati sendiri- Dr Vanessa Lapointe dalam artikel World Economic Forum.