“Lambat balik lagi nampaknya suami aku hari ni… Dahlah anak tak sihat hari ni, banyak betul urusan di rumah yang tergendala.”
Walaupun hidup serumah dan tidur sekatil, sebenarnya bukan semua yang dirasai oleh isteri dapat difahami oleh suami. Dalam diam, begitu banyak perjuangan dan pengorbanan seorang wanita bergelar isteri dihadapi dari hari ke hari. Mungkin rasa bersalah untuk meluahkannya, atau mungkin juga tidak mahu membebankan suami.
Berikut adalah antara pengorbanan isteri yang tidak wajar dipandang remeh oleh suami.
7 PENGORBANAN ISTERI YANG SUAMI SELALU TERLEPAS PANDANG
1. KESUSAHAN MENEMPUH ALAM KEHAMILAN
Masa mengandung sebenarnya adalah tempoh yang mencabar bagi wanita, tidak kiralah kandungan yang ke berapa pun untuknya. Setiap kehamilan itu berbeza dan ia boleh mengundang pelbagai jenis masalah kesihatan kepada isteri yang terpaksa ditanggung selama lebih 40 minggu.
Awal kehamilan, rasa tak selera, loya, mual, muntah-muntah, diikuti dengan sakit belakang, sukar tidur, dan bengkak kaki. Semua ini bukan saja menjejaskan kekuatan fizikal mereka, tetapi juga boleh menjejaskan emosi. Oleh itu, janganlah menganggap mereka mengada-ada, malas, atau ‘lembek’ jika mereka kelihatan tidak bermaya.
Dalam tempoh itu juga, ramai isteri yang pergi menjalani check-up bulanan seorang diri dengan alasan suami tak ada masa. Tak apalah kalau tak ada masa, tapi sekurang-kurangnya tunjukkanlah keprihatinan dan bertanyalah tentang keadaan kesihatan isteri dan bayi dengan lebih kerap.
2. SAKIT BERSALIN & MELAHIRKAN
Kesakitan bersalin adalah kesakitan yang begitu sukar digambarkan sampai ada yang sampai fobia dan takut untuk hamil lagi. Malah dalam sesetengah kes, mereka tergolong dalam kategori berisiko dan perlu menjarakkan kehamilan seterusnya. Tapi, ada suami yang buat endah tak endah dan tidak mengambil berat hal merancang kehamilan. Sudahnya, si isteri juga yang perlu menanggung kesakitan seorang diri.
Semasa berpantang juga, isteri terpaksa menggagahkan diri berjaga malam dan menjaga semua urusan bayi. Ada suami yang rasa susah bila terpaksa jaga isteri dalam tempoh ini. Nak senang cerita, isteri dihantar berpantang di rumah ibu ayah mereka. Bukan tak boleh, tapi dengan cara ini mungkin suami kurang memahami keperluan seorang isteri.
3. MENYUSUKAN ANAK
“Alah, apa susah. Selak baju, bagi bayi hisap. Kalau saya ada susu badan, saya pun boleh bagi.”
Mungkin begitulah tanggapan para suami yang tidak berfikir panjang. Sanggupkah mereka menyusukan bayi 2 jam sekali, menahan diri daripada makanan kesukaan, dan mengepam secara rutin setiap hari? Itupun belum masuk melakukan segala persediaan untuk menyimpan stok susu perahan. Kalau tak disiplin, susu badan boleh drop dan bengkak susu boleh terjadi.
Puting melecet? Jangan ceritalah. Rasa nak menangis setiap kali bayi menyusu.
Ibu menyusu juga sebenarnya tak pernah dapat tidur yang cukup setiap malam. Awalnya memang rasa susah sangat. Tapi bila dah lama-lama, rasa terbiasa. Sebagai suami, pernahkah anda menemani isteri yang bangun tengah malam seorang diri dan awal pagi?
4. MELAKUKAN HAMPIR SEMUA KERJA RUMAH
Daripada hal mengurus bayi hinggalah urusan makan minum suami, semua kerja ini tak pernah berhenti.
Tidak kiralah sama ada isteri seorang surirumah atau bekerja, mereka hanya mahu memberi layanan yang terbaik dan memastikan semua urusan dapat berjalan lancar. Semua ini dilakukan tanpa mengira masa dan ramai suami tidak menyedarinya. Bila rumah kemas, tak ada siapa berterima kasih padanya. Tapi, bila ada yang tak kena, mulalah kedengaran suara-suara.
5. MENGORBANKAN ‘ME TIME’
Susahnya nak dapat ‘me time’ walaupun 10 minit sehari. Isteri dah tak kenal apa itu hobi dan kenalan lama tak lagi dihubungi.
Semua masa dan tenaga kalau boleh mahu dicurahkan buat anak dan suami. Sekali-sekala, berilah peluang isteri pergi ke kedai atau shopping barang rumah sendiri. Itupun dah rasa macam dapat pergi bercuti!
6. MENDAHULUKAN KERJAYA SUAMI
Bila anak sakit, isterilah yang selalu minta cuti dan jaga anak di rumah. Bila suami terpaksa berpindah ke tempat yang jauh, isterilah juga yang biasanya akan mengalah dan mengorbankan cita-cita demi mengikut suami.
Ramai isteri sanggup tinggalkan semuanya demi melihat suami mereka berjaya. Malah, ada yang sanggup menerima kecaman dan kritikan apabila menjadi surirumah sepenuh masa.
7. MERAHSIAKAN KESUSAHAN DARIPADA SUAMI
Tak dinafikan semua wanita tidak mahu kelihatan ‘lemah’ di samping suami. Masing-masing tak mahu membebankan suami. Semuanya nak buat sendiri, hantar anak ke sekolah, uruskan makan minum, dan kalau boleh bil-bil pun mahu ditanggung dengan kudrat sendiri.
Di malam hari, mungkin ada yang menangis kerana terlalu letih atau terluka dengan sikap suami. Tapi demi anak-anak, isteri tetap akan bersabar dan berusaha lagi keesokan harinya, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
ISTERI BUKANLAH MAHU DILAYAN SEPERTI PUTERI…
Apapun, percayalah bahawa semua kesusahan ini ada hikmahnya tersendiri. Sekalipun ia kurang dihargai oleh seorang suami, namun Tuhan kita sentiasa memerhati.
Bukan semua wanita mengharap layanan seperti seorang puteri. Tetapi dengan pelukan dan keprihatinan seorang suami yang menyantuni isteri, semua bebanan terasa ringan kembali.
Jangan lupa, isteri juga perlu cuba memahami suami dan memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri. “Apa yang penting, kerjasama!”
Sumber: Sirap Limau