Umum

Wanita Bujang Dalam Islam

Wanita bujang adalah sebahagian daripada ahli masyarakat Islam. Hak dan tangggungjawab yang diberikan dan diamanahkan kepada umat Islam secara amnya adalah juga hak dan tanggungjawab wanita bujang. Neraca utama yang menentukan kedudukan wanita bujang, lelaki bujang, maupun lelaki dan wanita yang mempunyai pasangan hidup, telahpun ditetapkan oleh Islam.

Wanita bujang yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah wanita yang tidak mempunyai suami. Termasuk dalam golongan ini adalah wanita yang tidak berkahwin, yang telah bercerai dan juga wanita yang telah kematian suami.

Kedudukan lelaki beriman dan wanita beriman

Maksud Firman Allah Yang Maha Pengasih dalam surah ke-9 :

“Orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf, mencegah kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah at-Taubah ayat 71

Inilah Firman keramat yang telah menjelaskan kedudukan wanita dan lelaki di sisi Pencipta dan Pemilik segala yang wujud. Lelaki beriman adalah penolong kepada wanita beriman, wanita beriman adalah penolong kepada lelaki beriman. Ini adalah Firman Hakim Agung yang wajib di terima oleh sesiapa pun. Tidak akan ada seorang lelaki atau wanita yang beriman dengan iman yang benar yang akan menafikan hakikat ini.

Setiap lelaki dan wanita mukmin sedar akan tidak perlunya emansipasi wanita untuk menjelaskan dan mengangkat darjat atau memperjuangkan hak wanita di sisi Islam. Ini kerana sememangnya tidak ada kelebihan lelaki dari wanita mukmin, yang sama-sama menyuruh kepada yang makruf dan sama-sama mencegah kemungkaran. Tidak ada yang perlu diperjuangkan kerana kedudukan itu telah ditentukan oleh Pencipta dan Hakim Agung itu sendiri.

Begitu juga tiada yang perlu diperjuangkan oleh wanita bujang untuk mengangkat darjat atau memperjuangkan hak kerana yang menentukannya adalah keimanan dan amal itu sendiri.

Ganjaran bagi lelaki beriman dan wanita beriman

Maha Besar Allah yang Maha Adil, telah menjelaskan dalam mukjizat yang dianugerahkan kepada kekasihnya. Muhammad s.a.w. ganjaran kepada lelaki dan wanita beriman.

Maksud Firman Yang Maha Pemurah, Penyayang dan Adil:

“Allah menjanjikan kepada oang-orang mukmin laki-laki dan perempuan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan tempat yang baik di syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung.” At Taubah:72

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” Al Ahzab : 35

Tidak ada ganjaran yang dilebihkan kepada lelaki beriman berbanding wanita beriman. Ampunan dan pahala yang besar adalah jelas diperuntukkan kepada kedua-dua pihak lelaki dan wanita yang beriman, yang tetap dalam ketaatan, yang sabar, yang khusyu’, yang bersedekah, yang memelihara kehormatan dan yang banyak menyebut nama Allah.

Ganjaran syurga ’Adn, ampunan dan pahala ini adalah keputusan muktamad yang telah ditentukan Yang Empunya hak mutlak ke atas syurga ‘Adn, keampunan dan pahala itu sendiri. Hak dan keputusan ini tidak mampu dipersoalkan oleh mana-mana pihak pun kerana ianya adalah milik Allah semata-mata. Tidak ada kuasa lain yang mempunyai sedikit hak pun untuk mempertikaikannya.

Inilah hak seorang insan di sisi Allah. Beginilah Allah telah menentukan hak seorang wanita beriman,tidak kira ia seorang wanita yang telah berkahwin maupun wanita yang tidak berkahwin atau bujang.

Khusus buat wanita bujang – berita gembira yang dikhabarkan kekasih Yang Maha Pengasih

Firman Allah dalam kitab terakhir, Al Quran, melalui Rasul terakhir, yang tidak akan berubah selama-lamanya telah menyatakan sejelas-jelasnya kedudukan dan ganjaran kepada setiap lelaki dan wanita beriman, sama ada berpasangan maupun bujang. Walaupun begitu khusus bagi wanita bujang, umat Islam telah dipesan dan diingatkan oleh junjungan besar s.a.w. melalui hadis Al Bukhari ini.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., sabdanya bermaksud: “Orang yang berusaha membantu wanita yang tidak bersuami dan orang miskin, adalah seperti orang yang berjuang di jalan Allah.” Abdullah bin Maslamah al Qa’nabi berkata: “Saya rasa Malik berkata: “…seperti orang yang mendirikan sembahyang malam tanpa rasa lemah, dan orang yang berpuasa tanpa berbuka.” Hadis diriwayatkan oleh Al Bukhari

Seorang yang berjuang di jalan Allah adalah pejuang Allah. Orang yang membantu wanita yang tidak bersuami adalah seperti orang yang berjuang di jalan Allah. Perumpamaan yang diriwayatkan daripada Imam Malik pula meletakkan orang yang membantu wanita tidak bersuami ini seperti orang yang mendirikan solat malam tanpa rasa lemah dan yang berpuasa tanpa berbuka.

Inilah berita gembira kepada wanita yang tidak bersuami yang telah dikhabarkan oleh kekasih Allah, junjungan besar Muhammad s.a.w. Inilah pesanan yang telah ditinggalkan baginda kepada umat Islam supaya sentiasa menjaga kebajikan wanita yang tidak bersuami. Pesanan ini juga jelas menunjukkan wanita tidak bersuami adalah golongan yang mendapat keprihatinan khusus daripada manusia paling utama kedudukannya di sisi Allah s.w.t.

Motivasi yang telah diberikan kepada masyarakat Islam supaya sentiasa prihatin dan memberi bantuan terhadap wanita bujang ini adalah hadiah besar buat wanita bujang yang telah dimaktubkan dalam Islam.

Wanita bujang terbaik dalam sejarah

Satu contoh wanita bujang terbaik dalam sejarah dunia adalah Maryam binti Imran. Beliau telah sentiasa menjaga kesucian dirinya, sentiasa taat mengerjakan ibadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah. Apabila beliau ditakdirkan hamil tanpa suami, beliau ditohmah dengan berbagai fitnah. Dugaan seberat ini juga tidak menjadikan beliau hilang kesabaran menghadapi ujian. Beliau menerima dugaan ini dengan tetap menyerahkan dirinya kepada Allah dan yakin akan ketentuan Penciptanya. Keyakinan dan kekentalan iman beliau terhadap janji Allah melebihi kekerasan berlian yang tidak tercalar oleh semua jenis batu di dunia ini. Dugaan semasa hamil, melahirkan dan membesarkan Isa a.s bukanlah mudah, tetapi dijalani dengan iman yang tetap teguh kepada Allah. Inilah contoh wanita bujang yang telah dinobatkan sebagai salah seorang wanita yang istimewa di sisi Allah.

Wanita bujang ingin terus bujang

Mungkin ada dari golongan wanita yang tidak ingin berkahwin kerana menyaksikan kegagalan perkahwinan orang lain. Walaupun begitu pensyariatan perkahwinan dalam Islam telah jelas

Maksud Al Quran: An Nur : 32

‘Dan kahwinilah orang-orang bujang lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan’’

Maksud Hadis Rasulullah saw.

” Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku “. ( Riwayat Ibnu Majah )

“Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng”. ( Riwayat Muslim )

Hukum berkahwin juga telah ditetapkan dalam Islam berdasarkan nas-nas yang sahih. Dalam situasi tertentu hukumnya menjadi wajib dan dalam situasi tertentu pula hukumnya boleh menjadi haram. Oleh itu untuk kekal bujang atau menamatkan gelaran bujang perlulah berdasarkan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam kerana Islam itu terlalu syumul. Tidak ada urusan hidup manusia ini yang tertinggal atau terlepas daripada hukum Islam.

Wanita bujang menyusukan anak angkat

Naluri keibuan dan keinginan mempunyai keluarga sendiri memang tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun tidak ada seorang manusiapun yang akan mendapat semua yang diinginkan dalam hidup ini. Seorang wanita yang tidak berpeluang mempunyai suami juga kadangkala ingin mengambil anak angkat untuk membentuk keluarganya sendiri.

Ilmu Allah yang begitu luas telah melahirkan teknologi moden yang memungkinkan seorang wanita yang tidak melahirkan anak mampu mengeluarkan susunya menggunakan pil penggalak susu. Syarak telah menetapkan anak susuan sebagai mempunyai hukum yang sama seperti anak sendiri dalam hubungan seharian dengan ibu susuan. Bagi wanita bujang yang mampu mengambil anak angkat dan menyusukannya, maka ini menjadikan bayi tersebut muhrim baginya.

Menurut hukum syarak, menyusukan anak angkat telah dijelaskan dengan sirah Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang disusukan seorang wanita lain, bukan ibu kandung, iaitu ibu angkatnya, Halimah AsSaadiah

Kesimpulan

Seorang wanita bujang tidak pernah kerugian walau sebesar zarah berbanding wanita bersuami maupun berbanding dengan seorang lelaki. Apa yang menentukan kedudukannya di sisi Allah adalah iman dan amalnya.

Selain itu kemaslahatan wanita bujang telah diberi perhatian khusus oleh baginda junjungan besar Muhammad s.a.w. Umat Islam telah dimotivasi dan dijanjikan dengan hadiah yang sangat besar melalui hadis Rasulullah s.a.w. supaya prihatin dan memberi bantuan kepada wanita bujang. Perumpamaan mereka yang membantu golongan ini disamakan dengan pejuang Allah dan orang yang solat malam tanpa rasa lemah dan seperti orang yang berpuasa tanpa berbuka.

Normah Abdul Aziz
Institut Pendidikan Guru,Kampus Pendidikan Teknik Kuala Lumpur

Rujukan
Al Quran
2.Bahagian Terjemah & Editorial (2007), Kitab Al Adab, Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
3. www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt

Sumber: Wanita Ikram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!