?
Soal jawab

Soal Jawab: Tiga Bulan Ditinggal Suami

Tiga bulan ditinggal suami

Suami memfailkan perceraian terhadap saya sewaktu usia kandungan mencecah tiga bulan.

Sebelum memfailkan perceraian, suami keluar dari rumah dan tinggal bersama ibu bapanya namun seminggu selepas itu, barulah saya menyedari saya hamil.

Saya memberitahunya keadaan itu tetapi dia tidak mempercayainya. Kami mempunyai dua anak lelaki.

Bolehkah saya menuntut hak penjagaan anak sebelum kami disahkan bercerai di Mahkamah Syariah?

Untuk pengetahuan tuan, sudah tiga bulan suami meninggalkan saya tetapi baru dua kali dia datang melawat anak-anaknya dan hanya sekali memberi nafkah.

————————————————————————————————————————-

Undang-undang keluarga Islam memberi hak yang jelas kepada ibu sebagai penjaga (hadhinah) ke atas anak-anaknya yang masih kecil ataupun belum mumayyiz, sama ada dalam tempoh perkahwinan mahupun selepas perceraian.

Walau bagaimanapun, jika terdapat pertikaian mengenai hak penjagaan ini seperti pihak bapa juga berhasrat untuk mendapatkan penjagaan anak-anak atas alasan tertentu, maka satu perintah yang menentukan hadhinah anak-anak hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Syariah bagi mengelakkan perebutan yang tidak berkesudahan antara ibu dan bapa anak-anak itu.

Bagi seorang ibu yang memenuhi syarat sebagai hadhinah tidak perlu risau dengan perebutan yang berlaku.

Ini kerana mahkamah pada kebiasaannya akan menyerahkan hak penjagaan anak kepada ibu berdasarkan kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Antara perkara yang menjadi pertimbangan mahkamah ialah pegangan agama, akhlak, keadaan persekolahan, tempat tinggal anak-anak, taraf perkahwinan, kesihatan mental dan kemampuan fizikal untuk menjaga anak-anak.

Jika perkara itu dipenuhi si ibu, maka hak penjagaan anak-anak akan jatuh kepadanya.

Pihak bapa pula akan diberikan peluang melawat dan menghabiskan masa bersama anak-anak mengikut masa yang ditentukan.

Dalam kes puan, saya berpendapat elok puan dapatkan perintah mengenai penjagaan anak-anak seberapa segera yang boleh bagi mengelakkan suami puan membawa lari anak-anak seperti yang banyak berlaku ketika ini.

Jika keadaan itu berlaku, ini akan menyulitkan lagi situasi hingga terpaksa berulang-alik ke mahkamah untuk mendapatkan anak-anak kembali.

Bagi memulakan kes tuntutan hadhanah ini, puan perlu hadir sendiri ke Mahkamah Tinggi Syariah di tempat puan bermastautin dan memfailkan kes dengan bayaran yang ditetapkan.

Puan dan pihak suami akan dipanggil untuk menyatakan pendiriannya mengenai tuntutan itu. Jika tiada persetujuan, suatu perbicaraan penuh akan dimulakan.

Sebaliknya jika ada persetujuan, mahkamah akan merekodkan persetujuan itu sebagai perintah mahkamah yang wajib dipatuhi semua pihak.

Mengenai isu nafkah pula, puan boleh segera membuka fail di Mahkamah Rendah Syariah tempat puan menetap.

Bagi meyakinkan tuntutan nafkah anak-anak adalah bertepatan dengan keperluan anak-anak, puan hendaklah kemukakan secara jelas butiran kos perbelanjaan disertakan bukti mengenai perbelanjaan itu.

Tindakan ini boleh dimulakan sama ada puan sudah memperoleh perintah penjagaan ataupun belum.

Oleh Datuk Zaidi Zain



www.bicararumahtangga.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!