?
Kisah Rumahtangga, Masalah Keluarga, Masalah Kewangan

Kisah Rumahtangga: Tak Cukup Duit, Suami Lepas Tangan

Gambar Hiasan

[PERMASALAHAN] Saya selalu rasa iri hati dengan jiran-jiran yang memiliki kehidupan lebih baik dan mewah berbanding saya dan suami. Suami saya bukanlah orang besar di mana-mana syarikat gah.

Dia juga bukan pegawai tapi sekadar pekerja bawahan di syarikat milik kerajaan. Gajinya? Hanya cukup-cukup makan kami sekeluarga. Apabila bilangan ahli keluarga bertambah, saya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah tangga termasuklah duit bil dan dapur.

Terus-terang, apabila kami dihimpit masalah kewangan, saya mula rasa tidak suka kepada suami. Kesilapan lalunya mula terbias di ingatan saya sehingga saya fikirkan yang bukan-bukan terhadap masa depan kami. Maksud saya, rasa nak tuntut cerai.

Awal perkahwinan, suami tidak pernah berterus-terang tentang jawatan sebenarnya. Saya juga tidak tahu yang suami jenis cepat mengalah dalam setiap tindakan dan percubaannya. Saya ambil contoh masa kami cuba-cuba berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi lemak di tepi jalan. Kalau ikutkan hati, memanglah saya penat.

Tapi saya perlu fikir jalan untuk cari duit lebih. Balik kerja sebelah petang saya akan beli barang-barang keperluan memasak nasi lemak. Malamnya saya masak dahulu sambal dan esok seawal jam 4 pagi saya bangun untuk tanak nasi dan mula membungkus.

Tugas suami hanya hantar saya menjual di tepi jalan sebelum dia pergi kerja. Saya yang akan menjual kerana kerana waktu kerja saya lewat sedikit. Kadangkala jualan memberangsangkan.

Dalam tempoh dua jam sebanyak 30 ke 50 bungkus terjual. Kadangkala, nak jual dua hingga lima bungkus pun tak lepas. Saya sedih tapi saya tetap berniaga. Malangnya suami akan mula putus asa dan sudah tidak mahu membantu. Alasannya kerja tak ada untung.

Disebabkan itu, saya berhenti jual nasi lemak dan cuba berniaga cara lain pula. Ambil tempahan kuih dari rakan-rakan pejabat dan macam-macam lagi. Saya sedih sebab merasakan hanya saya seorang berusaha untuk memperbaiki kedudukan kewangan kami. Tapi sikap suami seolah-olah lepas tangan.

Saya tahu dia sedar yang gajinya tidak pernah cukup untuk saya dan anak tapi dia tidak pernah mencuba untuk buat sesuatu. Kalau saya terlewat balik kerja, dia mula masam muka dan tak mahu bercakap dengan saya seperti saya melakukan kesilapan besar. Saya penat dan amat tertekan. Apa yang perlu saya buat doktor? – Rohana, Kuala Lumpur.

Guna kreativiti, motivasi suami

[Saya fikir anda pun tahu bahawa tugas mencari rezeki untuk keperluan rumah tangga itu adalah tugas orang lelaki / suami / ayah. Kewajipan dialah untuk keluar bekerja untuk memberikan keselesaan kepada orang di bawah tanggungannya iaitu isteri dan anak-anak.

Melihatkan pengorbanan anda selama ini sepatutnya suami menyokong apa-apa juga usaha tambahan yang anda lakukan itu. Anda telah membantu meringankan bebanannya, sepatutnya dia berterima kasih, malangnya hal begitu tidak berlaku.

Daripada cerita anda, saya simpulkan suami anda sebagai;
i. Lemah mental

Seseorang yang lemah mental memang malas hendak berfikir. Dia lebih selesa dengan keadaan yang dilaluinya. Memandangkan jawatannya pada kedudukan serupa itu, akuilah hakikat bahawa suami anda bukan seorang yang bijak.

Bolehkah anda hadiahkan dia sebuah buku bertajuk ‘Laluan Kedua ke Puncak’ supaya dia lebih terangsang untuk berubah. Laluan kedua adalah alternatif untuk membina kejayaan bukan mengikut kaedah biasa.

ii. Lemah spiritual
Apabila seseorang itu mudah pasrah dengan kehidupan, tidak mahu berusaha keras dia adalah seorang yang lemah motivasi diri. Bolehkah anda hadiahkan dia senaskhah buku motivasi misalnya, “Sendiri Mahu Ingat”.

iii. Lemah fizikal
Orang yang lemah wawasan diri sebenarnya mengalami masalah fizikal juga meskipun kelihatan cergas sepanjang hari. Sebenarnya dia dalam keterpaksaan, memaksa diri untuk menggunakan tenaga walhal dirinya membantah. Galakkan dia bersukan atau jika dia enggan, anda sendiri lakukan dahulu ‘Senaman Terapi 3E’. Siapa tahu dia akan jatuh minat.Maklumat lanjut lawat www.shop.drtuah.com

Tiga kaedah ini moga-moga dapat mengubah fenomena lelaki tidak unggul di sisi wanita anggun. Dalam masa yang sama, mengadulah ke jabatan agama terdekat. Masalah serupa ini kadang-kadang memerlukan campur tangan undang-undang untuk mengubahnya.

Saya telah menyemak e-Kemusykilan di web Jakim untuk mencari jawapan yang lebih baik daripada apa yang telah saya berikan di atas. Namun, kesemua jawapan yang diberi adalah ringkas, terlalu umum dan menghala pada kreativiti untuk menyelesaikan masalah.

Misalnya, jawapan begini;
Inilah fenomena yang banyak berlaku pada masa kini, suami sebagai ketua keluarga yang sebenarnya memikul tanggung jawab perbelanjaan rumah tangga. Tindakan suami puan adalah tidak memenuhi kehendak syarak melainkan isteri kaya…

Selain melaksanakan langkah-langkah diberikan tadi, serta bantuan pejabat agama daerah, gunakan kreativiti anda untuk menangani suami yang begini. Sebagai isteri anda tentu lebih tahu di mana kelemahan dan kelebihannya.

Rangsanglah kelebihannya itu supaya dia tidak terlalu melebih-lebihkan kekurangannya lagi. Moga berjaya menjadi wanita yang hebat meskipun di sisi lelaki yang penuh kesumat. – Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, Motivator, www.drtuah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!