Kesan Penggunaan Pil Tahan Period

Kesan Penggunaan Pil Tahan Period

Saya akan mengerjakan umrah pada 13 April dan tarikh itu sama dengan tarikh kitaran haid saya. Sebelum itu saya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.

Bilakah sebenarnya saya harus memulakan pengambilan pil supaya saya lancar mengerjakan umrah dan melambatkan haid terbabit?
Selepas empat hari haid (sebelum ini), saya mula mengambil pil. Selepas 11 hari mengambilnya, saya mula sakit belakang, perut meragam dan rasa seperti senggugut.

Adakah saya harus berhenti dan adakah haid itu akan keluar awal kerana sakit yang saya alami ini simptom hendak didatangi haid?

Mala,

Selangor

Anda tidak menyatakan jenis ubat yang diambil. Ubat yang mengawal pendarahan haid boleh sama ada mengandungi hormon menyerupai progesteron saja ataupun ubat pil perancang yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan hormon menyerupai progesteron.

Anda juga tidak menyatakan bilangan kitaran haid anda dan jumlah hari pendarahan haid anda. Ini kerana maklumat ini penting untuk memahami pada hari ke berapa dalam kitaran haid anda memulakan pengambilan ubat terbabit.

Jika anda menghentikan ubat berkenaan, anda dijangka akan kedatangan haid selepas tiga hingga empat hari atau selewat-lewatnya tujuh hari dari hari anda berhenti mengambilnya.

Maka, anda sempat bersih daripada haid sebelum tarikh umrah terbabit. Namun ini bergantung kepada bilangan kitaran haid anda. Jika kitaran haid anda melebihi 30 hari, mungkin anda tidak didatangi haid dalam seminggu ini walaupun setelah anda berhenti mengambil ubat terbabit.

Sebaliknya, jika anda meneruskannya pula, ada kemungkinan anda tidak didatangi haid selagi me-ngambilnya tetapi ada juga kemungkinan anda boleh mengalami pendarahan tidak menentu kerana anda mula mengambilnya lewat iaitu setelah lapisan endometrium mula menebal. Sesetengah wanita menunjukkan tindak balas bertentangan seperti di atas.

Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan serta imbasan ultrabunyi ke atas lapisan endometrium rahim serta jika ada cyst ovari sebelum membuat keputusan untuk meneruskannya atau tidak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

− 4 = 1