Kisah Penceraian, Kisah Rumahtangga

Kekeliruan Yang Menjadi Persoalan Ramai Berkenaan Isteri Failkan Cerai Fasakh dan Jatuh Taklik

SOALAN – Puan, isteri saya memfailkan perceraian fasakh di mahkamah syariah atas alasan terseksa dari segi emosi, selepas mendapat tahu saya berkahwin lain tanpa pengetahuannya.
Saya begitu terkilan dengan tindakannya kerana dialah wanita yang paling saya cintai walaupun tidak dikurniakan zuriat sepanjang 11 tahun perkahwinan. Apa pandangan puan mengenai perkara ini?

JAWAPAN – Dalam pemahaman saya, saudara memilih untuk berpoligami kerana isteri saudara tidak mampu memberikan zuriat, walaupun zuriat itu adalah ketentuan rezeki daripada ALLAH SWT yang mungkin saudara terlepas pandang akan hakikat tersebut.

Saya faham tindakan saudara yang berpoligami adalah untuk memastikan kelangsungan zuriat dan seterusnya menambah umat Nabi Muhammad SAW. Cuma mungkin tindakan saudara yang mengambil jalan pintas tanpa terlebih dahulu berbincang akan perkara ini dengan isteri saudara membuatkannya dia rasa tertipu.

Saudara mengatakan amat menyayangi isteri saudara. Sebagai ketua keluarga, saudara berhemah dan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai pegangan dan ikutan. Segala tindakan saudara dalam menangani masalah ini perlu berpandukan iman dan akal.

Saudara perlu faham akan hakikat perasaan dan emosi isteri yang begitu tersentuh dengan tindakan saudara yang berpoligami tanpa pengetahuannya. Lebih-lebih lagi, saya pasti isteri saudara berasakan dirinya serba kekurangan kerana tidak dapat memberikan zuriat kepada saudara.

Nasihat saya, perkara ini perlu dibincangkan dari hati ke hati antara saudara dan isteri. Sebenarnya, isteri saudara memerlukan sokongan dan perhatian saudara dalam menerima kelemahan dirinya.

Saudara perlu akui kekhilafan saudara yang berpoligami tanpa pengetahuannya dan memohon maaf kerana bertindak tanpa memikirkan hati dan perasaan isteri.

Sesungguhnya berpoligami adalah perkara yang diharuskan tetapi perlu dilakukan secara berhemah. Berbincanglah dengan isteri akan pembahagian yang sepatutnya dalam menjalani kehidupan berpoligami.

Perlu diingat, segala usaha yang cuba dilakukan untuk membaiki hubungan saudara dan isteri perlulah dengan sepenuh keikhlasan hati dan dengan sepenuh pengharapan kepada reda dan rahmat-Nya.

Janganlah saudara berasa benci dan terkilan dengan tindakan isteri, sebaliknya cuba fahami keadaan dan pergolakan jiwa yang dihadapi isteri saudara sehingga dia mengambil tindakan sedemikian.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman; dan sesiapa yang melakukan sedemikian, sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.” (Surah Al-Baqarah: 229)

Sebaiknya, berbincanglah akan masalah ini dengan keluarga dan semoga mereka boleh memberikan pandangan ke arah perdamaian antara saudara dan isteri.

Hayatilah maksud firman ALLAH daripada Surah Asy Syura ayat 30 agar menjadi iktibar buat kita bersama: “Dan setiap musibah yang menimpa kamu, adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri; dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya.”

Jatuhkah talak mengikut taklik?

SOALAN – Saya bergelar isteri kedua dan ketika hamil tujuh bulan, rahsia kami diketahui isteri pertama. Sejak itu, suami saya jarang pulang dan hanya mengirim wang saku setiap bulan. Apakah talak boleh jatuh jika suami tidak memberi nafkah selama tiga bulan mengikut taklik?

JAWAPAN – Puan, perkahwinan diharuskan dalam Islam bagi memenuhi tuntutan fitrah manusia dan menjadi kewajipan suami isteri untk menyempurnakan hak antara satu sama lain. Seorang suami wajib menafkahi isteri dan anaknya, manakala isteri wajib melayani suami dan memenuhi tanggungjawabnya berdasarkan tuntutan syarak.

Ikatan kekeluargaan terbina atas kasih sayang kedua suami isteri dan kejujuran keduanya akan menghasilkan keluarga bahagia. Persoalannya, adakah dia berlaku adil kepada puan dalam mengamalkan poligami yang diharuskan syarak?

Adakah dia telah memenuhi kewajipan nafkah batin kepada puan? Adakah wang saku yang dikirim suami benar-benar untuk anak atau puan sendiri mengandaikannya untuk anak berdasarkan jumlah yang dikirim? Adakah perlakuan suami puan tidak melaksanakan tanggungjawab menafkahi puan telah melanggar taklik yang dibacanya sewaktu pernikahan dengan puan?

Puan pastikan suami ada membaca taklik selepas pernikahannya dan di mana pernikahan puan dengan suami dijalankan iaitu adakah ia dijalankan dan didaftarkan di negara ini.
Dalam sesebuah ikatan perkahwinan, tidak dijalinkan untuk seorang suami menunaikan nafkah zahir sahaja.

Keperluan nafkah batin juga suatu yang utama dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Soal emosi puan juga perlu diambil kira. Adalah tidak wajar suami menyeksa puan dengan melaksanakan poligami tanpa mengikut lunas Islam.

Meskipun isteri pertama suami tidak merestui pernikahannya dengan puan, suami harus bertindak dengan bijaksana bagi melaksanakan tanggungjawabnya dalam berpoligami kerana jalan itu yang dipilihnya.

Taklik ialah talak yang disertai dengan syarat, seperti kata suami kepada isterinya, “Jika engkau pergi ke rumah si polan, engkau tertalak.” Talak hanya akan jatuh apabila ada atau berlaku perkara yang ditaklikkannya.

Manakala contoh taklik lengkap yang kebiasaannya dibaca suami sewaktu pernikahan adalah seperti berikut: “Manakala saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut, padahal dia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badan atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian dia mengadu ke mahkamah syariah dan manakala sabit aduannya dan dia memberi kepada mahkamah syariah bagi pihak saya RM1, maka kita itu tertalaklah dia dengan talak khuluk.”

Jelas di sini, apabila seseorang isteri inginkan perceraian secara taklik, perlulah dia pergi mengadu ke mahkamah syariah dan setelah aduannya disabitkan melalui keterangan di mahkamah, disokong oleh keterangan saksi-saksinya barulah mahkamah akan mensabitkan taklik tersebut.

Jika puan tidak pernah mengadu ke mahkamah rendah syariah, tidaklah taklik yang dilafazkan suami puan itu akan sempurna berlaku dengan sendirinya. Maksud mengadu adalah dengan mengisi borang saman dan penyata tuntutan yang disediakan mahkamah syariah dan memfailkannya di mahkamah tersebut.

Selepas perbicaraan dijalankan dengan keterangan puan dan saksi puan, barulah hakim mahkamah syariah akan membuat keputusan atas tuntutan tersebut. Jika puan tidak mengadu atau memfailkan saman di mahkamah syariah, maka adalah jelas ikatan perkahwinan puan belum lagi terbatal atau lebih tepat lagi belum jatuh talak terhadap puan.

Kredit: Wartawan Sinar Harian

Wanita PERLU Tahu Supaya TIDAK Teraniaya (Kaedah Fasakh) | Dr Nidzam Abdul Kadir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

70 − 66 =

error: Content is protected !!