Umum

Kajian: Siapakah Mangsa Perceraian ?

Penyesalan terbesar bagi pasangan bercerai adalah kesan perpisahan mereka kepada anak. Ia adalah dapatan kaji selidik terbaru pengamal undang-undang London, U.K Seddons.

Tinjauan terhadap 867 orang yang sudah melalui perceraian atau perpisahan mendapati, kira-kira satu pertiga iaitu peratusan terbesar daripada responden, berkata penyesalan terbesar mengenai berakhirnya perkahwinan mereka adalah kesannya kepada anak.

Seddons menjalankan kaji selidik itu untuk Yayasan Perkahwinan, badan pemikir yang bertujuan mengurangkan kadar perceraian dan ditubuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Britain, Sir Paul Coleridge.

Penyesalan lain yang diberikan, termasuk kesan kewangan akibat perceraian dalam kehidupan pasangan (24.34 peratus) dan cara proses perceraian dijalankan (21 peratus).

Pasangan sama menyatakan, ada perubahan pada anak mereka sejak keluarga berpecah.

Sebanyak 32 peratus daripada ibu bapa berkata, perceraian menjejaskan keadaan emosi dan 22 peratus mengatakan, prestasi sekolah anak mereka terjejas.

Bagaimanapun, 24 peratus daripada responden berkata, perceraian tidak memberi kesan kepada anak, manakala 7.61 peratus mengatakan, perceraian itu memberi kesan positif kepada anak.

Jadi, apakah yang boleh ibu bapa lakukan untuk memastikan anak mereka tidak mendapat kesan negatif akibat perceraian?

Tempoh penting

Dalam laman blog, HuffPost Perceraian, ahli psikologi klinikal, Joe Nowinski menekankan, kepentingan membimbing anak melalui tiga tahun pertama selepas bercerai, terutama jika mereka masih kecil.

“Tiga tahun pertama adalah tempoh penting.

“Anak anda boleh muncul dari tiga tahun akan datang sebagai individu berkeyakinan diri yang lebih berdaya tahan. Anak anda betul-betul mampu hidup dalam pergolakan ini, tetapi mungkin akan memerlukan sokongan dan bimbingan di sepanjang jalan,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa bercerai yang mempunyai anak kecil perlu memastikan, kanak-kanak ini dapat membentuk dan mengekalkan pertalian yang kukuh dan stabil. – AGENSI

www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!